JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memberi jaminan ekonomi negara itu kekal stabil dan kukuh, meskipun nilai rupiah terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat susulan ketidaktentuan sejagat dan konflik di Asia Barat.

Ketika berucap semasa lawatan ke Nganjuk, Jawa Timur pada 16 Mei, Encik Prabowo berkata rakyat biasa terutama di kawasan luar bandar tidak terlalu terkesan dengan turun naik mata wang asing kerana kehidupan harian mereka lebih bergantung kepada keperluan asas.

“Rakyat di kampung bukan guna dolar pun, betul tak?” katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Menurut beliau, keadaan ekonomi Indonesia masih berada dalam keadaan baik berbanding beberapa negara lain yang kini berdepan tekanan ekonomi lebih serius.

“Makanan selamat, tenaga juga selamat. Banyak negara panik tetapi Indonesia masih okey,” katanya ketika merasmikan Muzium Marsinah.

Encik Prabowo turut menggesa rakyat supaya terus yakin terhadap kekuatan ekonomi negara dan kemampuan Indonesia menghadapi cabaran sejagat.

“Percayalah ekonomi kita kuat, asas ekonomi kita juga kuat walau apa pun orang kata.

“Indonesia kuat. Percaya kepada kekuatan kita dan percaya kepada rakyat kita,” katanya.

Dalam satu lagi ucapan pada hari sama, beliau secara berseloroh berkata kelemahan rupiah lebih dirasai oleh golongan yang kerap melancong ke luar negara.

“Yang pening mungkin orang yang selalu pergi luar negara,” katanya, sambil bergurau dengan beberapa anggota Kabinet dan bekas isterinya, Cik Siti Hediati Hariyadi.

Nilai rupiah dilaporkan berada sekitar 17,592 rupiah ($1.27) bagi satu dolar Amerika pada 16 Mei, selepas mencecah sekitar 17,614 rupiah sehari sebelumnya.

Nilai rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah baharu pada 18 Mei, ketika pasaran saham negara itu turut merosot, manakala harga minyak dunia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua minggu susulan ketegangan sejagat yang berterusan.

Dalam dagangan awal 18 Mei, rupiah susut lebih 1 peratus kepada sekitar 17,668 rupiah bagi satu dolar Amerika, sekali gus mencatat rekod terendah baharu.

“Selagi Purbaya masih boleh tersenyum, tidak perlu risau,” kata Encik Prabowo merujuk kepada Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa.

Mata wang Indonesia itu mula mengalami tekanan sejak konflik melibatkan Amerika, Israel dan Iran tercetus pada penghujung Februari lalu, selain dipengaruhi kenaikan harga minyak dunia dan ketidaktentuan pasaran sejagat.

Pada akhir April, rupiah dilapor melepasi paras terendah ketika Krisis Kewangan Asia 1998 apabila mencecah lebih 17,300 rupiah bagi sedolar Amerika.

Walaupun begitu, pemerintah Indonesia terus menegaskan asas ekonomi negara masih berada pada tahap stabil.

Beberapa pakar ekonomi turut mengingatkan bahawa komunikasi pemerintah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Permata Bank, Encik Josua Pardede, berkata kenyataan pemerintah perlu memberi ketenangan kepada rakyat dan pasaran, tetapi pada masa sama menunjukkan bahawa pihak berkuasa memahami cabaran sebenar yang sedang berlaku.

“Kadar pertukaran mata wang sangat dipengaruhi oleh keyakinan. Sebab itu komunikasi Presiden, Kementerian Kewangan dan Bank Indonesia perlu selari supaya pasaran melihat pihak berkuasa mempunyai pemahaman risiko yang sama,” katanya.

Pengarah Eksekutif, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira, berkata pemerintah perlu terus bersiap sedia menghadapi kemungkinan keadaan ekonomi dunia menjadi lebih mencabar.

Namun, beliau mengakui usaha pemerintah mengekalkan subsidi bahan api dan kestabilan bekalan makanan membantu mengurangkan tekanan terhadap rakyat biasa.

Penganalisis melihat pendekatan optimistik Encik Prabowo sebagai usaha mengekalkan keyakinan awam ketika banyak negara sedang berdepan kebimbangan berkaitan inflasi, harga tenaga dan ketidaktentuan geopolitik.

Sejak memegang jawatan pada Oktober 2024, Encik Prabowo menjadikan hubungan luar negara dan kerjasama ekonomi antarabangsa sebagai antara tumpuan utama pentadbirannya.

Pemerhati ekonomi berpendapat Indonesia masih mempunyai ruang untuk mengekalkan kestabilan ekonomi kerana permintaan domestik yang besar, sumber asli yang kukuh serta sokongan penggunaan rakyat.

Walaupun tekanan sejagat dijangka terus mempengaruhi pasaran mata wang serantau, pemerintah Indonesia memberi isyarat negara itu masih berada dalam kedudukan yang mampu mengawal keadaan dan meneruskan pertumbuhan ekonomi secara stabil. – Agensi berita.