Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia 2025: Tahun ketahanan nasional di tengah ujian berganda

Bencana alam bentang cabaran utama; mahu main lebih peranan di persada antarabangsa
Dec 29, 2025 | 5:30 AM
bantahan pelajar universiti indonesia, prabowo subianto
Pelajar universiti cuba memecahkan sekatan polis semasa satu bantahan pada ulang tahun pertama pentadbiran Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sambil mengkritik dasar pemerintah termasuk program makanan percuma, di Jakarta pada 20 Oktober. - Foto REUTERS

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penghujung tahun di Indonesia lazimnya dilalui dalam suasana yang biasanya tenang.

Jika suatu ketika dahulu suku akhir tahun sering dikaitkan dengan bencana alam atau buatan manusia, serta pergolakan sosial dan politik, corak tersebut dilihat semakin reda.

Namun, bencana alam kurang memihak kepada Indonesia apabila ia dilanda beberapa insiden banjir, tanah runtuh dan letusan gunung berapi.

Sementara itu, kedudukan Presiden Prabowo Subianto di pentas dunia semakin ketara, sedang beliau dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka menyambut ulang tahun pertama pentadbiran mereka pada 20 Oktober.

Protes

Beberapa bulan selepas memasuki tahun pertama pentadbiran, ribuan anak muda Indonesia turun ke jalanan pada Februari untuk meluahkan kemarahan terhadap keadaan negara yang mereka gambarkan sebagai “Indonesia yang gelap”, dengan masa depan yang suram dan harapan yang semakin pudar, sehingga mendorong sebahagian mereka berasa lebih baik untuk meninggalkan tanah air sendiri.

Tanda pagar #KaburAjaDulu dan #IndonesiaGelap menjadi tular di media sosial.

Perhimpunan itu menandakan gelombang pertama ketidakpuasan awam dan pesimisme terhadap pentadbiran Encik Prabowo, yang muncul susulan langkah pemotongan belanjawan secara drastik.

Langkah itu bertujuan menyusun semula peruntukan institusi awam, agensi pemerintah dan pemindahan dana ke daerah bagi membiayai program unggulan Encik Prabowo yang berskala besar dan mencabar, iaitu penyediaan makanan percuma kepada pelajar di seluruh Indonesia.

Walaupun perhimpunan serentak tercetus di beberapa bandar dan mengakibatkan korban nyawa, protes tersebut tidak berkembang menjadi keganasan di peringkat nasional.

Seorang wanita mengibarkan bendera Indonesia ke arah anggota polis rusuhan semasa pertempuran kecil tercetus dalam satu protes menentang apa yang disifatkan penunjuk perasaan sebagai elaun ahli Parlimen Indonesia yang terlalu tinggi, di luar bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta pada 28 Ogos.
Seorang wanita mengibarkan bendera Indonesia ke arah anggota polis rusuhan semasa pertempuran kecil tercetus dalam satu protes menentang apa yang disifatkan penunjuk perasaan sebagai elaun ahli Parlimen Indonesia yang terlalu tinggi, di luar bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta pada 28 Ogos. - Foto REUTERS
Pelajar universiti memasang sepanduk bertulis “Indonesia dalam keadaan darurat” pada sekatan polis semasa satu protes pada ulang tahun pertama pentadbiran Presiden Prabowo, sambil mengkritik dasar-dasar pemerintah  termasuk program makanan percuma, di Jakarta pada 20 Oktober.
Pelajar universiti memasang sepanduk bertulis “Indonesia dalam keadaan darurat” pada sekatan polis semasa satu protes pada ulang tahun pertama pentadbiran Presiden Prabowo, sambil mengkritik dasar-dasar pemerintah termasuk program makanan percuma, di Jakarta pada 20 Oktober. - Foto REUTERS

Pemulihan ekonomi di landasan tepat

Di sebalik rasa tidak puas hati orang ramai terhadap ekonomi yang dilihat perlahan sehingga mencetuskan perhimpunan besar-besaran, statistik pada penghujung tahun bagaimanapun menunjukkan petanda positif.

Badan Pusat Statistik (BPS) pada awal November mengumumkan bahawa Hasil dalam Negeri Kasar (GDP) Indonesia berkembang sebanyak 5.04 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025, sekali gus menunjukkan negara itu berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahunan 5.2 peratus menjelang akhir tahun.

Pertumbuhan suku ketiga menunjukkan asas ekonomi Indonesia berada dalam keadaan kukuh, disokong oleh penggunaan isi rumah yang mantap, pertumbuhan pelaburan yang berterusan serta penyelarasan dasar fiskal dan monetari yang baik, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, pada 5 November.

Sementara itu, ahli ekonomi kanan daripada firma analisis kewangan Samuel Sekuritas Indonesia, Encik Fithra Faisal Hastiadi, berkata pada 24 Disember bahawa walaupun kestabilan masih tidak serata merentasi kumpulan pendapatan dan wilayah, petunjuk penggunaan domestik menunjukkan tanda pemulihan.

Pertumbuhan keseluruhan itu turut memberi kesan positif terhadap penciptaan pekerjaan, dengan sebanyak 1.9 juta pekerjaan baru diwujudkan.

Jumlah penganggur menurun sebanyak 4,000 kepada 7.46 juta orang berbanding Ogos 2024, sekali gus menurunkan kadar pengangguran terbuka daripada 4.91 peratus pada Ogos 2024 kepada 4.85 peratus pada Ogos 2025, menurut pemerintah.

Mengulas data pertumbuhan terbaru daripada BPS, Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pencapaian suku ketiga menunjukkan pemerintah telah melaksanakan belanjawan negara secara “berkesan”, dengan penyelarasan rapat bersama pihak berkuasa monetari dan sektor kewangan.

Dalam sidang media akhir tahun mengenai perbelanjaan belanjawan negara 2025, Encik Purbaya berkata petunjuk positif dalam penggunaan isi rumah dan mobiliti awam mencerminkan daya beli yang berterusan serta keyakinan orang ramai.

Jualan runcit dan kenderaan bermotor yang terus meningkat, bersama pengembangan jualan bahan api, turut menjadi petunjuk positif.

Penggunaan elektrik yang stabil serta tanda peningkatan dalam sektor perniagaan juga dikira sebagai isyarat pertumbuhan dan pemulihan.

“Daya beli rakyat telah mula pulih, dan perbelanjaan kini sudah lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jadi ekonomi kini kelihatan memasuki fasa pengembangan, dengan potensi untuk bergerak pada kadar yang lebih pantas selepas ini,” kata Encik Purbaya.

Menteri Kewangan Indonesia, Encik EPurbaya Yudhi Sadewa (tengah), menyapa seorang pegawai lain ketika menghadiri mesyuarat tahunan Bank Indonesia di Jakarta pada 28 November.
Menteri Kewangan Indonesia, Encik EPurbaya Yudhi Sadewa (tengah), menyapa seorang pegawai lain ketika menghadiri mesyuarat tahunan Bank Indonesia di Jakarta pada 28 November. - Foto AFP

Kembalinya Indonesia ke pentas antarabangsa

Di peringkat diplomatik, pentadbiran Presiden Prabowo Subianto menandakan peningkatan ketara keterlihatan Indonesia di pentas antarabangsa, selepas sedekad kehadiran yang agak suram di bawah kepimpinan pendahulunya, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Sepanjang tempoh 10 tahun memerintah, Encik Jokowi lebih menumpukan perhatian kepada agenda domestik dan menyerahkan sebahagian besar urusan dasar luar kepada Menteri Luar ketika itu, Cik Retno Marsudi.

Dalam tempoh setahun sejak mengangkat sumpah jawatan pada 20 Oktober 2024, Encik Prabowo telah mengadakan lawatan kerja ke sekitar 33 negara, merangkumi pertemuan dua hala, sidang serantau dan pelbagai forum pelbagai hala.

Kemuncak kepada siri lawatan ini ialah ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.

Ucapan selama 19 minit itu menandakan kemunculan semula seorang presiden Indonesia di pentas Perhimpunan Agung selepas ketiadaan selama hampir satu dekad.

Encik Prabowo dilihat memberi penekanan yang besar terhadap keterlihatan Indonesia di peringkat global.

Pada 3 September, Encik Prabowo melakukan lawatan semalaman ke China bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 Hari Kemenangan Republik Rakyat China, selain mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.

Encik Prabowo turut berlepas dari Aceh untuk menghadiri sidang dua hala di Pakistan pada 8 Disember, diikuti lawatan ke Russia pada 10 Disember, sebelum kembali terus ke Medan dan Aceh pada 12 Disember.

Presiden Amerika Syarikat,  Encik Donald Trump, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bergambar di sidang puncak pemimpin dunia di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada 13 Oktober. Sidang itu bagi menamatkan perang di Gaza, di tengah-tengah pertukaran tahanan dan tebusan serta perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan  Hamas dengan Amerika menjadi pengantara.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bergambar di sidang puncak pemimpin dunia di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada 13 Oktober. Sidang itu bagi menamatkan perang di Gaza, di tengah-tengah pertukaran tahanan dan tebusan serta perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dengan Amerika menjadi pengantara. - Foto REUTERS

Tadbir Urus Alam Sekitar

Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat wajar dinilai dengan lebih mendalam daripada sekadar bencana alam bermusim.

Walaupun Taufan Senyar memperhebatkan hujan, skala kemusnahan yang berlaku mencerminkan kesan jangka panjang kemerosotan ekologi yang tidak terkawal, sekali gus mendedahkan masyarakat tempatan kepada risiko yang tinggi.

Sehingga 10 Disember, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan 969 kematian, 262 orang hilang dan lebih 5,000 cedera, selain kerosakan terhadap hampir 158,000 rumah dan 1,200 kemudahan awam.

Dari sudut ekonomi, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) menganggarkan kerugian mencecah 68.67 trilion rupiah ($5.2 bilion) manakala kos pemulihan dijangka sekurang-kurangnya 51.82 trilion rupiah.

Angka ini menjadikan sukar untuk terus menganggap tragedi tersebut sebagai kejadian semula jadi semata-mata.

Sejak banjir bermula pada 25 November, rakaman video di media sosial menunjukkan balak yang dipotong rapi dihanyutkan arus deras, memberi petunjuk jelas tentang aktiviti pembalakan di kawasan hulu yang burukkan kesan cuaca ekstrem.

Baiti Arafah menimba air dari sebuah perigi untuk membersihkan diri selepas bermain di lopak berlumpur di Babo, Aceh Tamiang, Sumatera Utara, pada 15 Disember, susulan banjir kilat.
Baiti Arafah menimba air dari sebuah perigi untuk membersihkan diri selepas bermain di lopak berlumpur di Babo, Aceh Tamiang, Sumatera Utara, pada 15 Disember, susulan banjir kilat. - Foto AFP
Cik Nurlela Agusfitri, 40 tahun, yang kehilangan ladang kelapa sawit, beberapa ekor lembu dan sebuah kios kecil di rumahnya akibat banjir kilat kira-kira tiga minggu sebelum itu, bergambar di atas pokok yang tumbang ketika dalam perjalanan ke tapak bekas kediamannya di Pengidam, Aceh Tamiang, Sumatera Utara, pada 15 Disember 2025.
Cik Nurlela Agusfitri, 40 tahun, yang kehilangan ladang kelapa sawit, beberapa ekor lembu dan sebuah kios kecil di rumahnya akibat banjir kilat kira-kira tiga minggu sebelum itu, bergambar di atas pokok yang tumbang ketika dalam perjalanan ke tapak bekas kediamannya di Pengidam, Aceh Tamiang, Sumatera Utara, pada 15 Disember 2025. - Foto AFP

Program Makanan Percuma

Program utama pentadbiran Encik Prabowo dan Encik Gibran dilancarkan pada 6 Januari, dengan sasaran awal untuk memberi manfaat kepada tiga juta penerima, sebelum diperluaskan kepada 15 juta menjelang akhir tahun, dan melebihi 80 juta orang menjelang 2029, iaitu tahun tamat tempoh pentadbiran kedua-dua pemimpin itu.

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh badan pemikir Celios pada Disember 2024, program makanan percuma merupakan faktor utama kemenangan Encik Prabowo dan Encik Gibran dalam pilihan raya Februari 2024.

Sebanyak 92 peratus daripada 1,858 responden menyatakan mereka mengundi pasangan itu kerana janji kempen berkenaan.

Beberapa bulan selepas pelaksanaannya, kelemahan program mula terserlah apabila pelajar, selaku penerima utama, terjejas akibat kes keracunan makanan secara besar-besaran selepas mengambil makan tengah hari percuma di sekolah.

Menjelang November, Badan Gizi Nasional yang menyelia program itu memaklumkan bahawa hampir dua bilion hidangan makanan telah dihasilkan di bawah program berkenaan.

“Sehingga kini, kami telah menghasilkan 1.8 bilion hidangan makanan dan kebanyakannya berjalan dengan baik,” kata Pengerusi BGN, Encik Dadan Hindayana, dalam satu sesi pendengaran Parlimen pada November.

Namun beliau turut melaporkan terdapat 11,000 kes keracunan makanan di seluruh negara, dengan jumlah tertinggi berlaku di Jawa Barat, wilayah paling padat penduduk di Indonesia.

Encik Prabowo berkata pada Oktober bahawa program itu berfungsi sebagai pelaburan jangka panjang untuk membangunkan sumber manusia berkualiti, sambil mengakui masih wujud cabaran dalam pelaksanaannya.

“Sudah tentu kami berdepan halangan. Beberapa kes keracunan makanan telah berlaku, namun daripada keseluruhan jumlah hidangan yang diedarkan, angka itu hanya sekitar 0.0007 peratus. Satu kes pun tetap tidak boleh diterima, tetapi dalam setiap usaha manusia, mencapai kesempurnaan mutlak tanpa sebarang kesilapan adalah amat sukar. Kami tidak mencari alasan; kami bertekad untuk menambah baik,” kata Encik Prabowo dalam satu persidangan pada 15 Oktober.

Walaupun pelaksanaannya berdepan beberapa kelemahan, Encik Dadan, berkata pada 15 Disember bahawa program tersebut telah meliputi lebih 50 juta penerima manfaat di seluruh Indonesia.

Program itu juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada 741,985 pekerja yang terlibat secara langsung dalam operasi dapur awam, selain memberi manfaat kepada 41,389 individu, koperasi, badan usaha milik desa serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang membekalkan barangan dan stok kepada operasi dapur awam.

Murid di sekolah rendah di Banda Aceh membaca doa sebelum makan hidangan di bawah program makanan percuma pemerintah.
Murid di sekolah rendah di Banda Aceh membaca doa sebelum makan hidangan di bawah program makanan percuma pemerintah. - Foto AFP

Ancaman Pengganasan

Selepas beberapa tahun berada dalam keadaan relatif tenang tanpa serangan pengganasan berskala besar, Indonesia kembali dikejutkan oleh insiden keselamatan yang membimbangkan.

Serangan terakhir yang diiktiraf sebagai pengganasan berlaku pada Disember 2022, apabila seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah balai polis di Bandung, Jawa Barat, mengorbankan dirinya sendiri serta seorang anggota polis, selain mencederakan beberapa yang lain.

Ketenangan relatif itu terganggu pada November 2025 apabila satu letupan berlaku di dalam sebuah masjid di kawasan sekolah di Jakarta Utara, ketika solat Jumaat hampir bermula.

Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan awam, khususnya kerana ia berlaku di lokasi pendidikan dan tempat ibadah, meskipun butiran lanjut mengenai punca letupan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Tiada kematian dilaporkan dalam serangan itu, namun puluhan pelajar cedera.

Pasukan antipengganasan Polis Negara, Densus 88, pantas menolak kemungkinan letupan tersebut sebagai serangan pengganasan kerana ia tidak didorong oleh ideologi ekstrem kanan.

Sebaliknya, serangan itu didakwa dilakukan oleh seorang pelajar yang berang akibat buli dan kemudiannya mendapat sokongan melalui interaksi dalam talian yang menggalakkan pengganasan, tanpa mengira ideologi tertentu.

Kemudian pada November, Densus 88 mendedahkan bahawa seramai 110 kanak-kanak telah direkrut ke dalam rangkaian pengganasan melalui saluran dalam talian seperti permainan video, platform media sosial dan aplikasi pemesejan.

Penemuan itu menunjukkan bahawa kaedah perekrutan telah beralih daripada ikatan keluarga dan hubungan rapat kepada pemilihan secara anonim, yang lebih tertumpu kepada mengenal pasti kecenderungan kanak-kanak terhadap pengganasan dan ekstremisme semasa mereka terlibat dalam permainan dalam talian.

Dalam menghadapi potensi peningkatan risiko keselamatan menjelang hujung tahun, jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata pasukan itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, selari dengan peningkatan kewaspadaan agensi penguat kuasa dan pasukan keselamatan sempena musim Krismas dan Tahun Baru, apabila satu operasi keselamatan bersepadu dilancarkan.

“Dari sudut pencegahan pengganasan, Densus 88 jelas berada pada tahap amaran tertinggi terhadap semua ancaman berpotensi, memandangkan pengalaman lalu menunjukkan wujud ancaman yang berkait dengan sambutan Krismas dan ibadat di gereja pada tahun-tahun sebelum ini. Namun, ini semata-mata langkah pencegahan,” kata Encik Mayndra.

Anggota skuad bom berkawal di pintu masuk sebuah sekolah di Jakarta pada 7 November. Satu letupan mencederakan puluhan orang berhampiran sebuah sekolah di ibu negara Indonesia pada hari yang sama.
Anggota skuad bom berkawal di pintu masuk sebuah sekolah di Jakarta pada 7 November. Satu letupan mencederakan puluhan orang berhampiran sebuah sekolah di ibu negara Indonesia pada hari yang sama. - Foto AFP
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg