Topic followed successfully
Go to BHkuPrabowo arah perkukuh bekalan tenaga, elak risiko krisis Timur Tengah
Prabowo arah perkukuh bekalan tenaga, elak risiko krisis Timur Tengah
Turut teroka sumber alternatif termasuk minyak dari Russia
Prabowo arah perkukuh bekalan tenaga, elak risiko krisis Timur Tengah
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengarahkan barisan menteri agar segera mendapatkan bekalan tenaga daripada negara di luar Asia Barat sebagai langkah proaktif bagi mengelakkan krisis tenaga, ketika konflik di rantau itu semakin memuncak.
Langkah ini diambil ketika pemerintah turut meneruskan rundingan dengan Iran bagi membolehkan kapal Indonesia melalui Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia yang kini terjejas.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, memberi jaminan bahawa bekalan bahan api dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara masih stabil walaupun risiko global meningkat.
“Kita bertindak awal. Presiden mengarahkan supaya kita pelbagaikan sumber minyak dan mengoptimumkan tenaga sedia ada,” katanya.
Indonesia kini mengimport kira-kira 20 peratus minyak mentah dari Asia Barat melalui Selat Hormuz, manakala simpanan tenaga negara dianggarkan mampu bertahan sehingga 28 hari.
Encik Bahlil menegaskan penghantaran LPG dari beberapa negara masih berjalan lancar, namun mengakui persaingan global semakin sengit memandangkan Indonesia mengimport sekitar 70 peratus keperluan LPG.
“Insya-Allah bekalan kita masih selamat, tetapi kita perlu menggunakan sumber dengan lebih berhemah,” katanya.
Berbeza dengan beberapa negara Asia lain yang telah mengisytiharkan darurat tenaga, Indonesia memilih pendekatan lebih terkawal dengan memperkenalkan langkah penjimatan.
Antaranya termasuk pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) sekali seminggu bagi penjawat awam selepas Hari Raya Aidilfitri, selain cadangan kepada sektor swasta untuk mengikut langkah sama.
Langkah ini bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga ketika harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 ($127) setong, jauh lebih tinggi daripada unjuran dalam belanjawan negara.
Dalam masa sama, Indonesia turut meneroka sumber alternatif termasuk minyak dari Russia bagi memastikan kesinambungan bekalan.
Jurucakap Russia, Encik Dmitry Peskov, menyatakan permintaan terhadap minyak alternatif semakin meningkat dan berpotensi melebihi penawaran.
Naib Presiden Komunikasi Korporat Pertamina, Encik Muhammad Baron, berkata syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan pemerintah bagi mendapatkan sumber minyak baharu melalui kerjasama antara kerajaan.
Kementerian Luar Indonesia turut giat berunding dengan pihak Iran bagi memastikan kapal tangki Indonesia dapat melalui Selat Hormuz dengan selamat.
Jurucakap kementerian, Cik Yvonne Mewengkang, berkata terdapat perkembangan positif dalam usaha tersebut, walaupun rundingan masih diteruskan.
Ketika ini, dua kapal tangki milik Indonesia masih terkandas di kawasan tersebut, namun Iran dilaporkan memberi pertimbangan untuk membenarkan laluan selamat.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, turut memaklumkan beberapa negara lain telah diberikan akses melalui laluan tersebut hasil usaha diplomatik.
Pertamina International Shipping menegaskan gangguan semasa tidak menjejaskan bekalan tenaga negara, disokong oleh armada 345 kapal yang masih beroperasi.
Dalam pada itu, pakar tenaga Encik Hadi Ismoyo mencadangkan peningkatan kapasiti simpanan minyak kepada 30 hari melalui kerjasama sektor swasta.
Beliau turut menggesa penggunaan tenaga alternatif dan kempen penjimatan serta penerokaan sumber minyak baharu.
“Dalam situasi krisis, menaikkan harga bahan api bukan langkah terbaik. Sebaliknya, subsidi perlu diperkukuh sambil menilai semula perbelanjaan negara,” katanya. – Agensi berita.

