Topic followed successfully
Go to BHkuPerang jejas pelancongan, ekonomi penduduk sekitar Hormuz di Oman
Perang jejas pelancongan, ekonomi penduduk sekitar Hormuz di Oman
Perang jejas pelancongan, ekonomi penduduk sekitar Hormuz di Oman
KHASAB (Oman): Di sebuah wilayah terpencil milik Oman yang selama ini dikenali kerana keterasingan dan ketenangannya, ledakan perang kini semakin hampir.
Konflik yang memuncak di sekitar Selat Hormuz bukan sahaja menggoncang pasaran sejagat, malah mengubah realiti kehidupan harian penduduk tempatan yang selama ini hidup di pinggir geopolitik dunia.
Selama berabad-abad, wilayah Musandam yang terpisah dari tanah besar Oman oleh kawasan Amiriah Arab Bersatu (UAE) wujud dalam satu keseimbangan unik.
Ia terpencil dari segi geografi, namun berada di salah satu laluan perdagangan paling penting di dunia.
Kini, keseimbangan itu kian teruji apabila ketegangan ketenteraan membawa konflik semakin hampir ke pintu mereka.
Pada suatu petang menjelang penghujung Ramadan, suasana di Pantai Bassa di Khasab masih kelihatan tenang.
Beberapa anak muda berkumpul untuk berbuka puasa, manakala kanak-kanak bermain di tepi pantai.
Namun di sebalik suasana santai itu, kesedaran terhadap perang yang berlaku hanya beberapa kilometer di laut terbuka tidak pernah hilang.
“Ia memang tenang di sini, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan ketika kami berbuka,” kata seorang penduduk tempatan, Encik Ahmed al-Shehhi.
“Tetapi semua orang tahu, di sebalik ufuk sana, perang sedang berlaku.”
Realiti itu mencerminkan paradoks Musandam, sebuah kawasan yang damai tetapi berada di barisan hadapan krisis sejagat.
Selat Hormuz merupakan nadi ekonomi dunia.
Dianggarkan satu perlima bekalan minyak sejagat melalui laluan sempit itu setiap hari.
Namun, sejak konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran memuncak, laluan itu menjadi titik panas yang berisiko tinggi.
Kapal tangki minyak mula mengelak kawasan tersebut kerana bimbang serangan Iran, sekali gus mengganggu aliran perdagangan dan mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga.
Khasab, ibu kota wilayah Musandam, terletak hanya kira-kira 34 kilometer dari Iran pada titik paling sempit.
Kedudukan itu menjadikan bandar kecil tersebut bukan sekadar pemerhati, tetapi saksi langsung kepada perkembangan konflik.
Kedudukan strategik Musandam bukan sesuatu yang baharu.
Sejak abad ke-17, kuasa penjajahan seperti Portugis telah menyedari kepentingan kawasan itu dan membina kubu untuk mengawal laluan perdagangan maritim.
Hari ini, peranan itu berubah tetapi kepentingannya kekal.
Jika dahulu kapal dagang menjadi tumpuan, kini kapal tangki minyak dan kapal perang memenuhi perairan sekitar.
Seorang penduduk tempatan, Encik Muhannad al-Kumzari, berkata kehidupan di Khasab sentiasa berkait dengan keseimbangan antara ketenangan dengan risiko.
“Kami sudah biasa hidup dekat dengan laluan penting dunia. Tetapi sekarang, keadaannya berbeza kerana konflik ini lebih serius,” katanya.
Salah satu kesan paling ketara konflik adalah terhadap ekonomi tempatan, khususnya sektor pelancongan.
Musandam terkenal dengan keindahan teluk sempit berbatu (fjord), pelayaran kapal tradisional (dhow), kegiatan melihat ikan lumba-lumba serta pendakian gunung.
Namun, sejak konflik tercetus, kegiatan itu hampir terhenti sepenuhnya.
“Tiada aktiviti langsung sekarang kerana apa yang berlaku di seberang laut. Jika tidak, Khasab pada waktu ini biasanya sangat meriah,” kata Encik Muhannad.
Kebanyakan pelancong asing, terutama dari Dubai, memilih untuk tidak datang kerana faktor keselamatan.
Akibatnya, pengusaha pelancongan kehilangan sumber pendapatan utama mereka.
Walaupun berdepan ketegangan, kehidupan harian di Khasab masih diteruskan seperti biasa.
Di sebuah pasar raya tempatan, keluarga warga Oman dan pekerja asing dilihat membeli barangan keperluan, dengan pelbagai bahasa kedengaran – daripada Arab hingga Hindi dan Kumzari, bahasa tempatan yang unik.
Namun, bayangan konflik tetap hadir, walaupun secara tidak langsung.
Seorang peniaga India di pasar raya dilihat mengikuti perkembangan perang melalui siaran berita di telefonnya.
Di luar, seorang anggota polis memantau keadaan – satu peringatan bahawa keadaan semasa bukan sepenuhnya normal.
Walaupun Khasab setakat ini tidak menjadi sasaran utama, kesan konflik tetap dirasai.
Sebuah dron dilaporkan ditembak jatuh di ruang udara bandar itu sebelum ini.
Peristiwa tersebut menimbulkan kebimbangan konflik itu boleh melimpah ke kawasan yang sebelum ini dianggap selamat.
Seorang penduduk veteran, Encik Abdullah Alflaiti, mengimbau kembali pengalaman semasa “perang kapal tangki” pada 1980-an ketika konflik Iran-Iraq.
“Ini bukan kali pertama kita melihat ketegangan seperti ini. Namun, kita hanya mampu berharap semuanya akan berlalu. Semoga Tuhan melindungi kita semua,” katanya.
Perkembangan di Musandam bukan sekadar kisah sebuah bandar kecil, tetapi mencerminkan realiti lebih besar tentang bagaimana konflik moden memberi kesan kepada kawasan yang jauh dari pusat kuasa geopolitik.
Kawasan seperti Khasab memperlihatkan bahawa dalam era globalisasi, tiada tempat yang benar-benar terasing daripada kesan perkembangan geopolitik.
Ketika kapal perang dan kapal dagang berkongsi laluan yang sama, dan ketika keputusan politik di Washington atau Teheran memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk, Musandam berdiri sebagai titik pertemuan antara dunia tempatan dengan sejagat.
Menjelang malam, suasana di Khasab kembali tenang.
Penduduk berkumpul di masjid untuk solat tarawih, manakala kanak-kanak bermain di halaman.
Namun, perbualan dalam kalangan orang dewasa akhirnya kembali kepada topik yang sama iaitu perang di seberang laut.
Ketenangan yang dinikmati penduduk di sini bukanlah jaminan keselamatan, tetapi lebih kepada jeda sementara dalam konflik yang lebih besar.
Perkembangan di Musandam menunjukkan bahawa dalam dunia yang saling terhubung, garis antara kawasan terpencil dengan medan konflik semakin kabur.
Di tepi Selat Hormuz, sebuah bandar kecil terus menjadi saksi senyap kepada pergolakan yang berpotensi mengubah landskap geopolitik dunia. – Agensi berita.

