SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iran benarkan kapal ‘ bukan musuh’ lalui Selat Hormuz

Iran benarkan kapal ‘ bukan musuh’ lalui Selat Hormuz

Krisis tenaga serantau kian meruncing; Filipina isytihar darurat tenaga, harga diesel Vietnam lonjak lebih 100 peratus
Mar 25, 2026 | 2:19 PM

Iran benarkan kapal ‘ bukan musuh’ lalui Selat Hormuz

Iran, Selat Hormuz, krisis tenaga global, Timur Tengah
Seorang pekerja mengisi petrol ke dalam motosikal pelanggan di sebuah stesen minyak di Hanoi, Vietnam, pada 23 Mac 2026, ketika kenaikan harga bahan api dipacu oleh kesan penutupan Selat Hormuz menjejas bekalan tenaga sejagat. - Foto EPA

TEHERAN: Iran memberi jaminan kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bahawa kapal yang dianggap “bukan musuh” boleh melalui Selat Hormuz dengan selamat, ketika laluan strategik itu hampir lumpuh sejak konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel bermula pada Februari.

Dalam surat bertarikh 22 Mac yang diedarkan kepada anggota IMO, Kementerian Luar Iran mentakrifkan kapal “bukan musuh” sebagai kapal yang tidak terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran, serta tidak berkait dengan Amerika atau Israel.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Teheran menenangkan kebimbangan industri perkapalan sejagat, selepas pengendali kapal tangki minyak menghentikan operasi melalui selat tersebut menyusuli serangan berterusan.

Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dan gas dunia, kini menyaksikan ratusan kapal tangki terkandas di kedua-dua sisi.

Data S&P Global Market Intelligence menunjukkan sekitar 800 kapal berada dalam keadaan menunggu, manakala hanya segelintir kapal berani melalui laluan itu dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Data penjejakan kapal dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan Iran telah membenarkan sebilangan kecil kapal menggunakan laluan di dalam wilayah perairannya, termasuk kapal dari China, India dan Pakistan.

Iran dalam suratnya menegaskan bahawa pihaknya telah mengambil “langkah perlu dan seimbang” untuk menghalang “penceroboh (ke atas Iran) dan penyokong mereka” daripada mengeksploitasi selat tersebut, sambil menegaskan bahawa pemulihan keselamatan sepenuhnya hanya akan berlaku jika serangan ketenteraan dihentikan.

Ekoran risiko serangan dan ketegangan di perairan sempit berhampiran Oman itu, banyak kapal komersial kini mengubah perjalanan mereka ke laluan yang lebih hampir dengan pantai Iran, termasuk kawasan sekitar Pulau Larak. 

Sejak konflik bermula pada 28 Februari, sekurang-kurangnya 17 kapal dilaporkan diserang di rantau tersebut, manakala harga minyak mentah melonjak mendadak, dengan Brent kembali melepasi paras AS$100 (sekitar $128) setong.

Langkah itu memberi Iran kelebihan pemantauan selain mengukuhkan kawalannya terhadap trafik kelautan di laluan strategik tersebut.

Penganalisis kelautan, Encik Dimitris Ampatzidis, daripada firma Kpler, berkata mesej itu bertujuan memberi isyarat bahawa Iran tidak melaksanakan sekatan rasmi ke atas selat berkenaan, walaupun secara praktikal laluan tersebut hampir ditutup.

Bagaimanapun, ketidakpastian masih tinggi dan kebanyakan syarikat perkapalan dijangka tidak akan kembali menggunakan laluan itu secara meluas tanpa perjanjian damai antara pihak-pihak bertelagah.

Gangguan kepada aliran minyak dan gas dari Teluk telah mencetuskan kesan ekonomi sejagat yang ketara, khususnya di Asia yang bergantung kepada bekalan tenaga dari rantau itu.

Beberapa negara Asia mungkin mempertimbangkan untuk menghantar kapal sekiranya mereka yakin dengan jaminan keselamatan Iran.

Harga diesel di Vietnam melonjak lebih dua kali ganda sejak perang di Asia Barat bermula, sekali gus memberi tekanan besar kepada ekonomi negara itu yang bergantung kepada import tenaga.

Menurut data kementerian perdagangan Vietnam yang dikeluarkan pada 25 Mac, harga diesel meningkat sekitar 105 peratus sejak 26 Februari, iaitu dua hari sebelum Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

Harga kini mencecah 39,660 dong ($1.90) seliter berbanding 19,270 dong pada Februari.

Kenaikan mendadak itu turut menjejas sektor penerbangan, apabila syarikat penerbangan tambang rendah Vietjet mengumumkan pelarasan jadual penerbangan menyusuli kebimbangan kekurangan bekalan bahan api.

Vietnam, yang sangat bergantung kepada import tenaga, kini berdepan tekanan berganda akibat harga bahan api yang meningkat serta bekalan yang semakin ketat menyusuli konflik berterusan di Asia Barat.

Dalam perkembangan berkait, Filipina turut mengambil langkah kecemasan dengan mengisytiharkan darurat tenaga pada 24 Mac bagi menangani kesan krisis tersebut, termasuk isu perolehan minyak.

Duta Filipina ke Amerika, Encik Jose Manuel Romualdez, berkata Manila kini bekerjasama dengan Washington untuk mendapatkan pengecualian bagi membolehkan negara itu membeli minyak daripada negara yang dikenakan sekatan oleh Amerika.

“Kami sedang berusaha mendapatkan pengecualian untuk membeli minyak daripada negara yang dikenakan sekatan,” katanya.

Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat tenaga nasional pada 24 Mac sebagai tindak balas terhadap konflik di Asia Barat serta apa yang disifatkannya sebagai “bahaya yang bakal tiba” terhadap bekalan tenaga negara itu.

Encik Marcos berkata, sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pergerakan, bekalan, pengedaran, serta ketersediaan bahan api, makanan, ubat-ubatan, produk pertanian dan barangan keperluan asas lain.

Konflik yang berlarutan itu turut meningkatkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin industri sejagat.

Ketua Pegawai Eksekutif, firma minyak Shell, Encik Wael Sawan, memberi amaran bahawa kekurangan bekalan minyak boleh menjejas Eropah seawal April.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat kewangan BlackRock, Encik Larry Fink, berkata dunia berdepan risiko kemelesetan sejagat sekiranya harga minyak mencecah AS$150 setong.

“Implikasinya sangat mendalam dan boleh mencetuskan kemelesetan yang ketara,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg