Pengunjung taman Hiroshima harap hadiah Nobel akan tingkatkan kedamaian dunia
Pengunjung taman Hiroshima harap hadiah Nobel akan tingkatkan kedamaian dunia
HIROSHIMA: Pengunjung taman peringatan pengeboman atom di Hiroshima berkata mereka berharap Hadiah Nobel Keamanan yang dimenangi sebuah kumpulan yang dianggotai mangsa terselamat pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945 akan meningkatkan usaha untuk mencapai keamanan dunia dan mendorong pemimpin dunia melawat tapak tersebut.
Jawatankuasa Nobel Norway menganugerahkan hadiah itu kepada kumpulan Nihon Hidankyo, yang mewakili mangsa pengeboman atom Amerika Syarikat pada 1945 di Hiroshima dan Nagasaki, pada 11 Oktober.
Ia bertujuan menghargai usahanya selama beberapa dekad untuk menghapuskan senjata nuklear.
Seorang pelajar berusia 21 tahun yang melawat taman tersebut bersama rakannya, Cik Ui Torisawa, berkata usaha diperlukan untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang.
“Memandangkan Jepun adalah satu-satunya negara yang mengalami pengeboman atom dan kerana perkara serupa boleh berulang di negara lain, saya fikir Jepun mungkin berada dalam kedudukan terbaik untuk menghentikannya,” ujarnya.
Ogos 2025 menandakan ulang tahun ke-80 pengeboman itu.
Ia berkemungkinan menarik tumpuan kepada legasi mangsa yang terselamat, dikenali sebagai hibakusha, dan boleh mencetuskan perdebatan baru tentang senjata nuklear.
Encik Yasuhiro Suzuki, yang ditemani isteri dan dua anaknya dari wilayah Fukuoka di barat daya Jepun, melahirkan rasa teruja kerana kumpulan yang mewakili mangsa bom atom yang terselamat itu telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.
“Kuasa nuklear sangat bermanfaat kepada dunia, tetapi kita mesti berhati-hati untuk tidak menyalahgunakannya.
“Saya harap ini menjadi peluang kepada penduduk seluruh dunia untuk memikirkan pelbagai aspek isu ini,” tambahnya.
Pengerusi bersama kumpulan Nihon Hidankyo, Encik Toshiyuki Mimaki, berasa gembira apabila mendapat berita kumpulan itu dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan.
Namun beliau tidak dapat menahan air mata kesedihan ketika beliau membayangkan kanak-kanak yang cedera dek konflik yang berlaku di Gaza dan Israel.
Walaupun Encik Mimaki berkata hadiah itu akan memberi rangsangan besar kepada usaha kumpulannya untuk menunjukkan bahawa usaha memansuhkan senjata nuklear boleh menjadi nyata, beliau akur bahawa banyak negara kelihatan tidak berpandangan sama.
“Ada negara membuat ancaman seperti, ‘kami akan menggunakan senjata nuklear pada bila-bila masa’.
“Adalah mustahil untuk mengekalkan keamanan di dunia, dalam dunia dengan senjata nuklear,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di saluran Jepun, NHK, beberapa jam selepas berita tentang hadiah Nobel itu diumumkan.
Encik Mimaki, yang berusia tiga tahun ketika Amerika menjatuhkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945, menyalahkan kerajaan kerana melancarkan peperangan walaupun rakyat mereka mendambakan keamanan.
“Terutama di tempat seperti Israel dan Gaza, kanak-kanak berlumuran darah dan hidup setiap hari tanpa makanan, sekolah mereka musnah, stesen musnah dan jambatan musnah,” katanya sambil menahan sebak mengenang nasib mangsa perang Gaza. – Reuters.

