SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemimpin AS, Iran tiba di Pakistan bagi rundingan damai

Pemimpin AS, Iran tiba di Pakistan bagi rundingan damai

Apr 11, 2026 | 4:10 PM

Pemimpin AS, Iran tiba di Pakistan bagi rundingan damai

AS, Iran, Pakistan, rundingan damai
Pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran tiba di ibu kota Pakistan, Islamabad, pada 11 April untuk mengadakan rundingan damai. - Foto AFP

ISLAMABAD: Barisan pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran tiba di ibu kota Pakistan, Islamabad, pada 11 April untuk mengadakan rundingan untuk menamatkan peperangan yang sudah berlarutan selama enam minggu.

Bagaimanapun, Teheran menimbulkan keraguan terhadap rundingan tersebut apabila menegaskan bahawa proses itu tidak boleh bermula tanpa komitmen jelas mengenai situasi di Lebanon serta penarikan balik sekatan ekonomi.

Timbalan Presiden Amerika, Encik JD Vance (dua dari kanan), bercakap dengan Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir (paling kiri), dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Raza Naqvi (dua dari kiri), serta Menteri Ehwal Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, sejurus tiba di Islamabad bagi rundingan damai dengan Iran pada 11 April.
Timbalan Presiden Amerika, Encik JD Vance (dua dari kanan), bercakap dengan Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir (paling kiri), dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Raza Naqvi (dua dari kiri), serta Menteri Ehwal Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, sejurus tiba di Islamabad bagi rundingan damai dengan Iran pada 11 April. - Foto AFP

Delegasi Amerika, yang diketuai Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, serta utusan khas Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff, dan menantu beliau, Encik Jared Kushner, tiba dengan dua pesawat tentera udara dan mendarat di sebuah pangkalan udara di Islamabad pada 11 April.

Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir, dan Menteri Ehwal Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar.

Delegasi Iran, yang diketuai Speaker Parlimen, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Abbas Araqchi, tiba di Islamabad pada 10 April dengan disambut Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir, dan Menteri Ehwal Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar. 
Delegasi Iran, yang diketuai Speaker Parlimen, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Abbas Araqchi, tiba di Islamabad pada 10 April dengan disambut Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir, dan Menteri Ehwal Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar.  - Foto REUTERS

Delegasi Iran pula, yang diketuai Speaker Parlimen, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Abbas Araqchi, tiba pada 10 April.

Rundingan ini merupakan pertemuan peringkat tertinggi antara Amerika dengan Iran sejak Revolusi Islam 1979 dan perundingan bersemuka rasmi yang pertama sejak 2015, iaitu ketika kedua-dua pihak mencapai kesepakatan mengenai program nuklear Iran.

Encik Trump membatalkan perjanjian nuklear tersebut pada 2018 semasa penggal pertama beliau memegang jawatan Presiden.

Pada tahun itu juga, Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei – yang terbunuh pada awal peperangan ini enam minggu lalu – melarang sebarang rundingan langsung antara Amerika dengan Iran selepas itu.

Menerusi laman X, Encik Qalibaf mendakwa Washington sebelum ini bersetuju untuk melepaskan aset Iran yang dibekukan serta melaksanakan gencatan senjata di Lebanon.

Menurutnya, rundingan tidak akan bermula sehingga janji-janji tersebut dipenuhi.

Hampir 2,000 orang telah terkorban di Lebanon akibat serangan Israel terhadap militan Hezbollah sejak peperangan ini bermula pada Mac.

Israel dan Amerika menyatakan bahawa kempen di Lebanon bukan sebahagian daripada gencatan senjata antara Iran dengan Amerika, namun Teheran pula bertegas sebaliknya.

Encik Qalibaf secara berasingan berkata Iran bersedia untuk mencapai satu kesepakatan jika Washington menawarkan apa yang disifatkannya sebagai perjanjian yang ikhlas serta memberikan Iran haknya, lapor media rasmi Iran.

Rumah Putih tidak segera mengulas mengenai tuntutan Iran itu, namun Encik Trump menerusi hantaran di media sosial berkata bahawa satu-satunya sebab rakyat Iran masih hidup adalah untuk merundingkan satu perjanjian.

“Rakyat Iran tidak sedar bahawa mereka tidak mempunyai sebarang ‘kad’ (untuk dimainkan), melainkan pemerasan jangka pendek terhadap dunia dengan menggunakan laluan air antarabangsa,” katanya.

Semasa dalam perjalanan ke Pakistan, Encik Vance menyatakan beliau mengharapkan hasil yang positif namun memberi amaran agar pihak Iran tidak cuba mempermain pasukan perunding Amerika.

Pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran tiba di ibu kota Pakistan, Islamabad, pada 11 April untuk mengadakan rundingan damai.
Pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran tiba di ibu kota Pakistan, Islamabad, pada 11 April untuk mengadakan rundingan damai. - Foto REUTERS

Apabila ditanya sama ada rundingan tersebut akan berakhir pada 11 April, sumber dari Pakistan yang dekat dengan hal itu berkata:

“Masih terlalu awal untuk mengatakannya. Mereka mempunyai arahan untuk mencapai perjanjian atau meninggalkan rundingan.

“Oleh itu, mereka tidak tergesa-gesa. Rundingan ini tidak terikat kepada masa.”

Islamabad kini berada di bawah kawalan ketat bagi memastikan tiada gangguan kepada rundingan damai antara pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran yang berlangsung di ibu kota Pakistan itu pada 11 April.
Islamabad kini berada di bawah kawalan ketat bagi memastikan tiada gangguan kepada rundingan damai antara pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran yang berlangsung di ibu kota Pakistan itu pada 11 April. - Foto REUTERS

Islamabad kini berada di bawah kawalan ketat yang tidak pernah berlaku sebelum ini menjelang rundingan tersebut, dengan ribuan askar dikerahkan.

“Kami telah mengerahkan keselamatan pelbagai lapisan bagi acara ini, yang berasaskan penyelarasan, risikan dan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada gangguan dan kawalan penuh,” kata Menteri Junior Dalam Negeri Pakistan, Encik Talal Chaudhry.

Encik Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu bagi peperangan tersebut pada 7 April, yang telah menghentikan serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran.

Namun, ia belum menamatkan sekatan Iran di Selat Hormuz, yang telah menyebabkan gangguan terbesar dalam sejarah terhadap bekalan tenaga global.

Pengumuman gencata senjata itu juga tidak meredakan peperangan antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lebanon. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg