SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemimpin AS, Iran di Pakistan mula rundingan damai

Pemimpin AS, Iran di Pakistan mula rundingan damai

Apr 11, 2026 | 8:55 PM

Pemimpin AS, Iran di Pakistan mula rundingan damai

AS, Iran, Pakistan, rundingan damai
Pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran berada di ibu kota Pakistan, Islamabad, pada 11 April untuk mengadakan rundingan damai. - Foto AFP

ISLAMABAD: Rundingan antara delegasi Amerika Syarikat dengan Iran telah bermula di Islamabad pada 11 April, dengan perantara Pakistan turut hadir dalam bilik yang sama, menurut laman berita Al Jazeera.

Barisan pemimpin kanan Amerika Syarikat dan Iran sebelum itu telah bertemu dengan perantara Pakistan di Islamabad secara berasingan.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, bertemu dengan Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, serta utusan khas Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff, dan menantu Encik Trump, iaitu Encik Jared Kushner, menurut kenyataan Rumah Putih dan pejabat Encik Sharif.

Beberapa jam sebelum itu, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, dan Menteri Ehwal Luar, Encik Abbas Araqchi, turut bertemu dengan Encik Sharif untuk menentukan masa dan kaedah rundingan, menurut media tempatan.

Saluran televisyen rasmi Iran melaporkan delegasi Teheran telah membentangkan syarat utamanya kepada Encik Sharif, merangkumi isu Selat Hormuz, pembebasan aset Iran yang dibekukan, pembayaran pampasan perang serta penguatkuasaan gencatan senjata di seluruh rantau tersebut.

Menerusi siaran saluran televisyen rasmi Iran, jurucakap pemerintah Iran, Cik Fatemeh Mohajerani, berkata:

“Kami akan berunding dengan jari pada picu (senjata).

“Walaupun kami terbuka untuk mengadakan rundingan, kami juga sedar sepenuhnya tentang kurangnya rasa percaya; oleh itu, pasukan diplomatik Iran memasuki proses ini dengan penuh berhati-hati.”

Awal daripada itu, sumber kanan Iran berkata Amerika telah bersetuju melepaskan aset Iran yang dibekukan di Qatar dan bank asing lain, namun perkara itu segera dinafikan oleh seorang pegawai Amerika.

Sumber Iran itu menyambut baik langkah yang didakwa itu sebagai tanda keseriusan dalam rundingan tersebut, di mana Washington sedang mendesak Teheran supaya membuka semula Selat Hormuz bagi perkapalan antarabangsa.

Iran juga menuntut gencatan senjata di Lebanon, di mana serangan Israel ke atas militan Hezbollah yang disokong Iran telah meragut nyawa hampir 2,000 orang sejak bermulanya pertempuran pada Mac 2026.

Israel dan Amerika bagaimanapun berkata kempen di Lebanon bukan sebahagian daripada gencatan senjata antara Iran dengan Amerika.

Semasa dalam perjalanan ke Pakistan, Encik Vance menyatakan beliau mengharapkan hasil yang positif namun memberi amaran agar pihak Iran tidak cuba mempermain pasukan perunding Amerika.

Rundingan ini merupakan pertemuan peringkat tertinggi antara Amerika dengan Iran sejak Revolusi Islam 1979 dan perundingan bersemuka rasmi yang pertama sejak 2015, iaitu ketika kedua-dua pihak mencapai kesepakatan mengenai program nuklear Iran.

Encik Trump membatalkan perjanjian nuklear tersebut pada 2018 semasa penggal pertama beliau memegang jawatan Presiden.

Pada tahun itu juga, Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei – yang terbunuh pada awal peperangan ini enam minggu lalu – melarang sebarang rundingan langsung antara Amerika dengan Iran selepas itu. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg