TEHERAN/WASHINGTON: Seorang pegawai kanan tentera Iran pada 2 Mei berkata pertempuran baru antara Amerika Syarikat dengan Iran “mungkin berlaku”.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau “tidak berpuas hati” dengan usulan rundingan baru daripada Iran.

Iran menyerahkan draf tersebut kepada pihak perantara Pakistan pada petang 30 April, lapor media pemerintah tanpa memperincikan kandungannya.

Peperangan yang dilancarkan oleh Amerika dan Israel pada 28 Februari itu telah ditangguhkan sejak 8 April, dengan satu pusingan rundingan damai di Pakistan menemui jalan buntu sejak tempoh tersebut.

“Buat masa ini, saya tidak berpuas hati dengan apa yang mereka tawarkan,” kata Encik Trump kepada media, sambil menyalahkan “perselisihan besar” dalam kepimpinan Iran sebagai punca rundingan tersebut gagal.

“Adakah kita mahu pergi dan terus memusnahkan mereka serta menamatkan mereka buat selama-lamanya – atau adakah kita mahu cuba capai kesepakatan?” kata Encik Trump, sambil menambah bahawa beliau “lebih suka untuk tidak” mengambil pilihan pertama atas “dasar kemanusiaan”.

Pada pagi 2 Mei, tokoh kanan dalam markas pusat tentera Iran, Encik Mohammad Jafar Asadi, berkata “konflik baru antara Iran dengan Amerika mungkin berlaku”, lapor agensi berita Fars milik Iran.

“Bukti telah menunjukkan bahawa Amerika tidak komited terhadap sebarang janji atau perjanjian,” tambah beliau.

Ketua badan kehakiman Iran, Encik Gholamhossein Mohseni Ejei, pada 1 Mei berkata negaranya “tidak pernah mengelak daripada rundingan”, namun menambah bahawa pihaknya tidak akan menerima sebarang “paksaan” dalam syarat perdamaian.

Rumah Putih enggan memberikan perincian mengenai usulan terbaru Iran itu, namun laman berita Axios melaporkan bahawa utusan Amerika, Encik Steve Witkoff, telah mengemukakan pindaan yang meletakkan semula program nuklear Teheran di meja rundingan.

Perubahan tersebut dilaporkan merangkumi tuntutan agar Iran tidak memindahkan uranium diperkaya dari tapak yang telah dibom atau menyambung semula aktiviti di sana sepanjang rundingan berlangsung.

Iran terus mengekalkan kawalan ketat di laluan perkapalan Selat Hormuz sejak perang bermula, sekali gus menyekat aliran utama minyak, gas, dan baja ke ekonomi dunia, manakala Amerika pula mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.

Meskipun terdapat gencatan senjata di Teluk, pertempuran terus berlarutan di Lebanon, di mana Israel telah melancarkan serangan maut meskipun terdapat gencatan senjata berasingan dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Sementara itu, Washington mengumumkan pada 1 Mei bahawa ia telah meluluskan jualan senjata utama kepada sekutunya di Timur Tengah, termasuk perjanjian peluru berpandu Patriot bernilai AS$4 bilion ($5.09 bilion) dengan Qatar dan hampir AS$1 bilion sistem senjata ketepatan tinggi kepada Israel.

Di Washington, penggubal undang-undang pula bergelut dengan pertikaian undang-undang mengenai sama ada Encik Trump telah melanggar tarikh akhir untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi peperangan itu.

Di bawah Ketetapan Kuasa Perang 1973, Presiden hanya boleh melancarkan tindakan ketenteraan selama 60 hari sebelum perlu menghentikannya, meminta kebenaran daripada Kongres, atau memohon pelanjutan 30 hari atas dasar “keperluan ketenteraan yang tidak dapat dielakkan demi keselamatan Angkatan Tentera Amerika” sementara menarik keluar pasukan tentera. 

Pegawai pentadbiran berhujah bahawa gencatan senjata itu menangguhkan had tempoh 60 hari tersebut, namun dakwaan tersebut disangkal oleh pihak pembangkang, Demokrat.

“Tiada sebarang tembakan berbalas berlaku antara Angkatan Tentera Amerika dengan Iran sejak 7 April 2026,” kata Encik Trump dalam surat kepada pemimpin Kongres, sambil menambah bahawa permusuhan tersebut “telah berakhir”. – Agensi berita.