TEHERAN: Pertahanan udara Teheran telah diaktifkan untuk menentang pesawat kecil dan dron lewat pada 30 April, ketika Rumah Putih memberi isyarat bahawa ia tidak akan dikekang oleh tarikh akhir Kongres mengenai perang Iran.

Agensi berita Tasnim dan Fars melaporkan bahawa sistem pertahanan udara, yang didengari di beberapa bahagian di ibu negara Iran, telah diaktifkan “untuk menentang pesawat kecil dan dron peninjau” selama kira-kira 20 minit tetapi keadaan telah kembali “normal”.

Pentadbiran Presiden Amerika Encik Donald Trump menghadapi tarikh akhir tengah malam untuk mendapatkan kebenaran Kongres bagi perang menentang Iran, mewujudkan pertembungan antara Rumah Putih dengan Kongres.

Pentadbiran Encik Trump berhujah bahawa tempoh 60 hari untuk mendapatkan kebenaran telah terhenti menyusuli gencatan senjata yang diumumkan pada April.

“Untuk tujuan Penyelesaian Kuasa Perang, permusuhan yang bermula pada Sabtu, 28 Februari telah ditamatkan,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran kepada AFP lewat 30 April, sambil menyatakan bahawa tiada saling serangan antara Amerika dengan Iran sejak gencatan senjata 7 April.

Awal dari itu, pemimpin tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei, mengisytiharkan pada 30 April bahawa Amerika telah mengalami kekalahan yang memalukan.

Dengan berani, beliau menolak amaran Encik Trump bahawa sekatan laut Amerika yang menjatuhkan ekonomi boleh dikuatkuasakan selama berbulan lagi.

Harga minyak mencecah paras tertinggi dalam empat tahun, kemudian jatuh sedikit sebelum Encik Khamenei mengeluarkan kenyataan bertulis yang mengisytiharkan bahawa Iran kini menguasai krisis itu. 

“Hari ini, dua bulan selepas kerahan tentera dan pencerobohan terbesar oleh pembuli dunia di rantau ini, dan kekalahan memalukan Amerika dalam rancangannya, satu babak baru sedang bermula bagi Teluk Parsi dan Selat Hormuz,” katanya, memuji kawalan Iran ke atas perkapalan di selat itu.

Beliau turut meramalkan masa depan yang cerah bagi Teluk tanpa Amerika, sambil memperingatkan bahawa mereka yang campur tangan di rantau itu dari jauh “tidak mempunyai tempat di sana melainkan di dasar laut.” 

Amerika mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran dua minggu lalu, sementara republik Islam itu telah mengekalkan cengkamannya ke atas Selat Hormuz yang strategik sejak bermulanya perang Timur Tengah pada akhir Februari.

Washington kini berusaha menghimpunkan gabungan antarabangsa negara bersekutu dan syarikat perkapalan untuk menyelaraskan laluan selamat melalui Hormuz, sambil mengekalkan sekatan ke atas kapal yang ke Iran, kata seorang pegawai Jabatan Negara.

Encik Trump mengancam pada 30 April untuk menarik balik tentera Amerika dari Italy dan Sepanyol, melanjutkan amaran serupa yang telah dibuat terhadap Jerman, selepas mengecam sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kerana gagal menyokong operasi Amerika-Israel terhadap Iran, termasuk di selat itu.

Encik Trump dijangka menerima taklimat pada 30 April mengenai rancangan baru untuk tindakan ketenteraan yang berpotensi terhadap Iran daripada ketua Komando Pusat Amerika, Admiral Brad Cooper, menurut sumber yang mengetahui perancangan Amerika.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, memberi amaran bahawa “mungkin kita perlu bertindak semula tidak lama lagi” terhadap Iran untuk mencapai objektif perang.

Namun komander Majid Mousavi dari angkatan aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran berkata walaupun operasi musuh yang “singkat dan taktikal”, akan dibalas dengan “serangan yang menyakitkan, berpanjangan dan meluas.”

Di Teheran, sistem pertahanan udara diaktifkan pada malam 30 April untuk menentang pesawat kecil dan dron, lapor media Iran, tanpa memberikan butiran lanjut.

Penduduk Teheran yang bercakap kepada wartawan AFP di Paris menggambarkan rasa putus asa bahawa pemerintah republik Islam masih berkuasa dan rundingan telah terhenti.

“Dari republik Islam yang masih bertahan hingga orang-orang tidak bersalah yang kehidupan mereka musnah dalam perang ini, segalanya sungguh mengecewakan,” kata seorang pekerja IT berusia 28 tahun kepada AFP melalui aplikasi pesanan dari ibu kota Iran. – Agensi berita.