Topic followed successfully
Go to BHkuPBB bakal undi resolusi Hormuz, China tentang benarkan guna kekerasan
PBB bakal undi resolusi Hormuz, China tentang benarkan guna kekerasan
PBB bakal undi resolusi Hormuz, China tentang benarkan guna kekerasan
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi resolusi Bahrain untuk melindungi perkapalan komersial di dalam dan sekitar Selat Hormuz, kata para diplomat pada 3 April, tetapi China yang menggunakan kuasa veto memperjelaskan tentangannya terhadap membenarkan sebarang penggunaan kekerasan.
Dua diplomat berkata mesyuarat 15 ahli Majlis dan undian itu ditetapkan pada pagi 4 April, bukannya pada 3 April seperti yang dirancang sebelumnya. 3 April ialah cuti PBB.
Harga minyak telah melonjak sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada hujung Februari, mencetuskan konflik yang telah berlarutan selama lebih sebulan dan secara efektif menutup laluan perkapalan utama itu.
Para diplomat berkata Bahrain, pengerusi semasa Majlis Keselamatan, memuktamadkan draf resolusi yang dilihat oleh Reuters yang akan membenarkan “segala kaedah pertahanan yang perlu” untuk melindungi perkapalan komersial.
Terdahulu pada 2 April, Menteri Luar Bahrain, Encik Abdullatif Rashid Al Zayani, memberitahu majlis itu bahawa undian akan diadakan pada 3 April, sambil menambah bahawa Bahrain menantikan “pendirian bersatu daripada majlis yang dihormati ini”.
Bahrain, yang menerima sokongan bagi usahanya mendapatkan resolusi oleh negara-negara Teluk Arab lain dan Washington, sebelum ini telah menggugurkan rujukan eksplisit kepada penguatkuasaan yang mengikat dalam usaha mengatasi bantahan daripada negara lain, terutamanya Russia dan China.
Draf yang dilihat oleh Reuters membenarkan langkah-langkah tersebut “untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan... dan sehingga majlis memutuskan sebaliknya”.
Bagaimanapun, dalam ucapan kepada Majlis Keselamatan pada pagi 2 April, utusan PBB China, Encik Fu Cong, menentang pembenaran penggunaan kekerasan.
Langkah sedemikian akan “mengesahkan penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang dan sembarangan, yang pasti akan membawa kepada peningkatan keadaan selanjutnya dan membawa kepada akibat yang serius”, tambahnya.
Draf keempat resolusi itu diletakkan di bawah prosedur ‘bersenyap’ untuk beri kelulusan hingga tengah hari 2 April (tengah malam 3 April, waktu Singapura), tetapi sumber diplomatik Barat berkata kesenyapan itu telah dihentikan oleh China, Perancis dan Russia.
Diplomat berkata sebuah teks kemudiannya telah dimuktamadkan, atau “diletakkan dalam warna biru”, yang bermaksud undian boleh dijalankan.
Resolusi Majlis Keselamatan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto daripada lima ahli tetap – Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika.
Encik Al Zayani berkata “percubaan yang menyalahi undang-undang dan tidak wajar” Iran untuk mengawal laluan antarabangsa di Selat Hormuz mengancam kepentingan global dan memerlukan “tindak balas yang tegas”.
Setiausaha agung Liga Negara Arab yang terdiri daripada 22 ahli, Encik Ahmed Aboul Gheit, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa ia menyokong usaha Bahrain untuk mendapatkan resolusi.
Pada 2 April, Britain menganjurkan mesyuarat dengan lebih 40 negara mengenai usaha membuka semula dan memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, dan juga menyatakan sokongan terhadap langkah Bahrain untuk mendapatkan resolusi mengenai isu tersebut.
Pada 1 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berikrar untuk meneruskan serangan, tetapi tidak merangka rancangan untuk membuka semula selat itu. – Reuters.

