SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Gempa kuat 7.4 magnitud gegar Maluku, rosakkan bangunan

Gempa kuat 7.4 magnitud gegar Maluku, rosakkan bangunan

Seorang maut ditimpa runtuhan; amaran tsunami ditarik balik
Apr 2, 2026 | 12:09 PM

Gempa kuat 7.4 magnitud gegar Maluku, rosakkan bangunan

gempa bumi
Gambar yang diedarkan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) menunjukkan orang ramai memeriksa bangunan yang rosak susulan gempa bumi di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia, pada 2 April. - Foto EPA

JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud melanda perairan timur Indonesia awal pagi 2 April, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa dan mencederakan seorang lagi, selain mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya ditarik balik.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada kedalaman cetek kira-kira 35 kilometer di Laut Maluku, antara Sulawesi dan Kepulauan Maluku, sekitar 6.48 pagi waktu tempatan.

Seorang mangsa dilaporkan maut selepas sebuah bangunan runtuh di bandar Manado, wilayah Sulawesi Utara.

“Gegaran dirasai sangat kuat di sekitar Manado... seorang meninggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan pada kaki,” kata pegawai penyelamat tempatan, Encik George Leo Mercy Randang.

Beliau berkata mangsa maut “tertimpa runtuhan bangunan” dalam kejadian itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) yang berpangkalan di Hawaii, pada awalnya memberi amaran bahawa ombak berbahaya berpotensi melanda kawasan dalam lingkungan 1,000 kilometer dari pusat gempa, termasuk Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Gelombang setinggi 75 sentimeter direkodkan di Minahasa Utara dan 20 sentimeter di Bitung, manakala gelombang sekitar 30 sentimeter turut dicatatkan di Maluku Utara, menurut agensi meteorologi Indonesia, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika.

Namun, kira-kira dua jam selepas gempa, PTWC mengumumkan bahawa ancaman tsunami telah berakhir.

“Berdasarkan semua data yang ada, ancaman tsunami daripada gempa ini kini telah berlalu,” menurut kenyataan agensi itu.

Penduduk di beberapa kawasan melaporkan suasana panik ketika gegaran kuat dirasai.

Seorang penduduk Ternate, Encik Budi Nurgianto, 42 tahun, berkata gegaran berlaku lebih satu minit dan menyebabkan orang ramai bertempiaran keluar dari rumah.

“Gegaran sangat kuat. Saya mula dengar dari dinding rumah yang bergegar,” katanya.

“Apabila saya keluar, ramai orang sudah berada di luar dalam keadaan panik. Malah ada yang keluar rumah tanpa sempat menghabiskan mandi.”

Stesen penyiaran Indonesia, Metro TV, dalam rakaman video menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan.

Seorang penduduk Manado memberitahu Reuters, orang ramai berlari keluar dari rumah dalam keadaan panik.

Tiada kerosakan jelas di kawasan kejiranannya, namun beberapa barang jatuh dari rak dan bekalan elektrik terputus.

Seorang wartawan AFP di Manado turut berkata gegaran membangunkannya daripada tidur.

“Saya terus bangun dan keluar rumah. Orang ramai segera berlari keluar, termasuk pelajar dari sekolah berhampiran,” katanya.

Ketua BMKG, Teuku Faisal Fathani, memaklumkan sebanyak 11 gegaran susulan direkodkan, dengan yang paling kuat berukuran 5.5 magnitud.

Walaupun gegaran dirasai kuat, laporan awal menunjukkan tiada kerosakan besar di kebanyakan kawasan.

PTWC memaklumkan ombak setinggi 0.3 hingga 1 meter melebihi paras air pasang boleh melanda beberapa kawasan pantai Indonesia.

PTWC turut memberi amaran risiko ombak kurang daripada 0.3 meter melebihi paras air pasang bagi kawasan pantai Guam, Jepun, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Taiwan.

Agensi seismologi Filipina mengesahkan tiada ancaman tsunami berbahaya kepada negara itu, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami setakat ini.

Di Jepun, agensi meteorologi negara itu menjangkakan perubahan kecil paras laut sekitar 0.2 meter tanpa risiko kerosakan besar.

Indonesia berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik, zon aktiviti seismik tinggi yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi. Kejadian ini mengingatkan kembali tragedi gempa bumi dan tsunami Aceh pada 2004 yang meragut lebih 170,000 nyawa.

Walaupun amaran tsunami telah ditarik balik, pihak berkuasa tetap menggesa penduduk di kawasan pesisir supaya terus berwaspada terhadap sebarang perkembangan lanjut. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg