Topik diikuti
Pergi ke BHkuParlimen Turkey lulus larangan media sosial bawah 15 tahun
Parlimen Turkey lulus larangan media sosial bawah 15 tahun
Parlimen Turkey lulus larangan media sosial bawah 15 tahun
ANKARA: Parlimen Turkey meluluskan undang-undang pada 22 April bagi melarang kanak-kanak bawah umur 15 tahun daripada mengakses media sosial, menjadikannya antara negara terbaharu yang mengambil langkah tegas terhadap penggunaan Internet dalam kalangan remaja.
Menurut laporan agensi berita negara Anadolu, undang-undang itu melarang individu bawah 15 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Selain larangan tersebut, platform digital juga diwajibkan melaksanakan sistem pengesahan umur bagi memastikan peraturan dipatuhi. Langkah ini bertujuan mengawal akses serta mengurangkan risiko kandungan berbahaya kepada golongan muda.
Undang-undang itu diperkenalkan oleh parti pemerintah dan dijangka ditandatangani oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan. Ia akan berkuat kuasa enam bulan selepas disiarkan dalam warta rasmi pemerintah.
Di bawah peraturan baharu itu, syarikat media sosial juga perlu bertindak dalam tempoh satu jam sekiranya menerima amaran kecemasan berkaitan kandungan berbahaya.
Langkah ini dilihat sebagai usaha mempercepatkan tindak balas terhadap ancaman dalam talian.
Langkah Turkey ini mengikuti trend global yang semakin menekankan perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Australia sebelum ini mencetuskan perhatian apabila melarang penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun.
Di Eropah, Perancis turut mengetuai usaha bersama negara seperti Denmark, Greece dan Sepanyol untuk memperkenalkan larangan serupa bagi bawah 15 tahun.
Greece juga menyatakan hasrat melaksanakan larangan, manakala Kesatuan Eropah sedang menyediakan cadangan dasar melalui kumpulan pakar. – Agensi berita.
