Topik diikuti
Pergi ke BHkuNetanyahu mahu tingkat serangan ke atas Hezbollah di Lebanon
Netanyahu mahu tingkat serangan ke atas Hezbollah di Lebanon
Kenyataan dibuat ketika rundingan damai antara AS dengan Iran masih berlangsung
Netanyahu mahu tingkat serangan ke atas Hezbollah di Lebanon
BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi bayangan serangan terhadap kumpulan bersenjata Hezbollah akan dipertingkat, walaupun rundingan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran masih berlangsung.
Dalam satu kenyataan video di media sosial pada 25 Mei, Encik Netanyahu menegaskan Israel tidak akan mengendurkan tekanan terhadap Hezbollah.
“Kami sedang berperang dengan Hezbollah,” katanya.
Beliau berkata tentera Israel telah membunuh lebih 600 anggota Hezbollah dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan operasi ketenteraan akan diteruskan dengan lebih agresif.
“Kami tidak akan memperlahankan rentak. Sebaliknya, saya telah mengarahkan supaya tekanan dipertingkatkan lagi,” katanya.
Kenyataan tegas Encik Netanyahu itu dibuat ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump, terus mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai sama ada rundingan damai dengan Iran menunjukkan kemajuan atau sebaliknya.
Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika bermula pada April lalu, Israel dan Hezbollah masih terus bertempur dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.
Pertempuran semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus memperlihatkan betapa rapuhnya gencatan senjata berkenaan.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata jumlah korban akibat serangan Israel sejak konflik kembali memuncak pada Mac lalu kini meningkat kepada 3,185 orang, manakala lebih 9,600 lagi cedera.
Konflik terkini itu tercetus selepas Hezbollah melancarkan serangan terhadap Israel, susulan serangan bersama Amerika-Israel ke atas Iran pada akhir Februari.
Pertempuran tersebut turut menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di beberapa kawasan di selatan Lebanon.
Tentera Israel pada malam 25 Mei berkata mereka telah menyerang lebih 70 sasaran Hezbollah di beberapa kawasan di Lebanon dalam tempoh 24 jam.
Menurut tentera Israel, antara sasaran yang dibedil termasuk pusat arahan, gudang senjata dan kemudahan yang didakwa digunakan Hezbollah untuk melancarkan serangan terhadap tentera dan orang awam Israel.
Di bandar pesisir Tyre di selatan Lebanon, tentera Israel mendakwa sekitar 10 pusat operasi Hezbollah telah dimusnahkan.
Tentera udara Israel turut mendakwa berjaya “menghapuskan” beberapa anggota Hezbollah yang menaiki motosikal di kawasan operasi tentera Israel di selatan Lebanon.
Sementara itu, media Hezbollah, Al Manar, melaporkan kumpulan itu melancarkan sekurang-kurangnya lapan serangan terhadap Israel dan tentera Israel di Lebanon pada 25 Mei.
Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, dalam ucapan kepada rakyat Lebanon pada 24 Mei berkata beliau menyambut baik usaha damai antara Iran dengan Amerika.
Namun, beliau berharap sebarang perjanjian turut merangkumi konflik melibatkan Hezbollah di Lebanon.
Beliau bagaimanapun menolak rundingan langsung antara Lebanon dengan Israel, yang diusahakan Amerika sejak April lalu.
Tiga pegawai kanan Iran turut memberitahu media Amerika cadangan perjanjian damai antara Washington dengan Teheran dijangka melibatkan penghentian konflik di semua medan, termasuk Lebanon.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana sebarang perjanjian dapat menyelesaikan isu utama dalam konflik itu, termasuk tuntutan supaya Hezbollah dilucutkan senjata dan pengunduran tentera Israel dari kawasan sempadan Lebanon, yang kini diduduki Israel.
Pada 24 Mei, Encik Netanyahu berkata Encik Trump dalam satu panggilan telefon sekali lagi menegaskan hak Israel untuk mempertahankan diri daripada ancaman di semua medan termasuk Lebanon.
“Trump mengesahkan semula hak Israel untuk mempertahankan diri daripada ancaman di setiap medan, termasuk Lebanon,” kata Encik Netanyahu.
Penganalisis berkata peningkatan konflik di Lebanon boleh menjejas lagi rundingan damai Amerika-Iran yang sedia rumit, terutama apabila Teheran mahu Hezbollah turut dilindungi dalam sebarang perjanjian akhir. – Agensi berita.
