BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, menegaskan kumpulan itu menolak sebarang rundingan langsung antara Lebanon dan Israel, sambil mengemukakan lima syarat sebagai jalan keluar kepada konflik yang berterusan.

“Kami menolak rundingan langsung secara mutlak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa proses rundingan tersebut “tidak ada kaitan dengan kami dalam apa jua cara”, selain mengkritik pihak berkuasa Lebanon kerana didakwa membuat “konsesi yang tidak perlu dan memalukan”.

Encik Qassem berkata Hezbollah hanya akan menerima penyelesaian jika lima syarat dipenuhi, termasuk menghentikan serangan Israel melalui darat, laut dan udara, pengunduran tentera Israel dari wilayah yang diduduki, pembebasan tahanan, kepulangan penduduk yang dipindahkan, serta usaha pembinaan semula kawasan terjejas.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kumpulan itu tidak akan melucutkan senjata.

“Kami tidak akan melepaskan senjata atau keupayaan pertahanan kami,” katanya.

Israel sebelum ini menuntut pelucutan senjata Hezbollah sebagai prasyarat untuk menamatkan serangan ke atas selatan Lebanon.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan terus meningkat walaupun gencatan senjata selama 10 hari diisytiharkan antara Lebanon dan Israel pada 17 April, namun Tel Aviv dilaporkan berulang kali melanggarnya.

Pada 23 April, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Lebanon dan Israel bersetuju melanjutkan gencatan senjata itu selama tiga minggu susulan pusingan kedua rundingan antara kedua-dua pihak di Washington.

Tentera Israel dilaporkan melancarkan serangan di Lembah Bekaa di timur Lebanon, antara yang paling jauh sejak gencatan senjata diumumkan.

Penganalisis melihat gencatan senjata tersebut lebih kepada usaha meredakan ketegangan berbanding penamatan konflik sepenuhnya.

Konflik terbaru tercetus awal Mac selepas Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran Amerika dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Israel kemudian melancarkan serangan balas termasuk di Beirut dan kawasan sekitarnya.

Sejak itu, kedua-dua pihak terus berbalas serangan hampir setiap hari, kebanyakannya tertumpu di selatan Lebanon.

Kementerian Kesihatan Lebanon melaporkan sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam serangan Israel pada 26 April, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, lebih 2,500 orang telah terbunuh sejak konflik terbaru bermula awal Mac.

Tentera Israel pula memaklumkan seorang anggotanya terbunuh, menjadikan jumlah korban di pihak Israel sekurang-kurangnya 16 orang.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menuduh Hezbollah “secara asasnya telah meruntuhkan gencatan senjata”.

Walaupun pegawai Lebanon dan Israel telah bertemu beberapa kali, termasuk di Rumah Putih, rundingan langsung antara kedua-dua negara kekal sensitif memandangkan tiada hubungan diplomatik rasmi.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, memberi amaran bahawa ‘Qassem sedang bermain dengan api’.

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, sebagai reaksi terhadap kenyataan Qassem, berkata matlamatnya adalah untuk menamatkan keadaan perang dengan Israel.

Namun, ketua staf tentera Israel, Eyal Zamir, berkata tahun 2026 ‘berkemungkinan menjadi satu lagi tahun peperangan’ bagi Israel di semua medan.  – Agensi berita.