SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Min Aung Hlaing berundur sebagai Ketua Tentera, sasar jawatan Presiden Myanmar

Min Aung Hlaing berundur sebagai Ketua Tentera, sasar jawatan Presiden Myanmar

Mar 30, 2026 | 4:08 PM

Min Aung Hlaing berundur sebagai Ketua Tentera, sasar jawatan Presiden Myanmar

Gambar edaran yang dirakam dan dikeluarkan pada 30 Mac 2026 oleh Pasukan Maklumat Tentera Myanmar ini menunjukkan ketua tentera yang bakal berundur, Min Aung Hlaing (kiri), bersama penggantinya Ye Win Oo (kanan) ketika majlis penyerahan tugas di Naypyidaw.
Gambar edaran yang dirakam dan dikeluarkan pada 30 Mac 2026 oleh Pasukan Maklumat Tentera Myanmar ini menunjukkan ketua tentera yang bakal berundur, Min Aung Hlaing (kiri), bersama penggantinya Ye Win Oo (kanan) ketika majlis penyerahan tugas di Naypyidaw. - Foto AFP

NAYPYIDAW: Ketua tentera Myanmar Encik Min Aung Hlaing mengumumkan peletakan jawatan pada 30 Mac bagi membuka laluan untuk bertanding sebagai presiden dalam undian parlimen, susulan pilihan raya pertama sejak rampasan kuasa 2021 yang mencetuskan perang saudara di negara itu.

Jeneral berusia 69 tahun itu, yang mengetuai angkatan tentera sejak 2011, dicalonkan sebagai salah seorang daripada dua calon naib presiden oleh anggota dewan rendah parlimen yang baharu dibentuk.
“Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dicadangkan sebagai calon naib presiden,” kata seorang ahli parlimen daripada parti yang menyokong tentera, menurut siaran langsung media negara.

Mengikut proses perlembagaan Myanmar, dewan tinggi parlimen turut akan mencalonkan seorang lagi calon naib presiden. Tiga calon ini kemudiannya akan dipilih untuk menentukan siapa yang akan menjadi presiden, walaupun tarikh undian belum diumumkan.

Langkah ini dilihat sebagai strategi politik untuk mengukuhkan kuasa Encik Min Aung Hlaing dalam bentuk yang lebih sah dari sudut institusi, selepas bertahun-tahun memerintah secara langsung melalui junta tentera.

Pilihan raya yang berlangsung pada Disember dan Januari lalu, yang dimenangi oleh parti pro-tentera Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan, bagaimanapun dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Barat sebagai tidak bebas serta tidak adil.

Dalam satu majlis berasingan di Naypyidaw, Encik Min Aung Hlaing menyerahkan jawatan ketua angkatan tentera kepada Encik Ye Win Oo, seorang pegawai kanan yang dianggap sebagai sekutu rapatnya.
“Saya akan terus berkhidmat demi kepentingan rakyat, tentera dan negara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan media milik tentera.

Encik Ye Win Oo, yang sebelum ini memegang jawatan ketua perisikan tentera, baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai ketua tentera awal bulan ini satu langkah yang dilihat sebagai usaha memastikan kesinambungan pengaruh Encik Min Aung Hlaing dalam struktur ketenteraan.

Penganalisis bebas Encik Aung Kyaw Soe menyifatkan kenaikan pantas Encik Ye Win Oo sebagai bukti kepercayaan tinggi yang diberikan kepadanya. “Hakikat bahawa beliau menerima dua kenaikan pangkat besar dalam tempoh singkat menunjukkan beliau adalah antara orang kepercayaan utama Min Aung Hlaing,” katanya.

Encik Min Aung Hlaing, yang berasal dari selatan Myanmar, memulakan kerjaya dalam tentera selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang. Beliau kemudian naik secara berperingkat dalam hierarki tentera sehingga dilantik sebagai ketua pada 2011.

Sejak sekian lama, beliau dilihat menyimpan hasrat untuk menjadi presiden, walaupun reputasi tentera terjejas akibat konflik berpanjangan sejak rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan dipimpinCik Aung San Suu Kyi.

Penganalisis politik Encik Htin Kyaw Aye menyifatkan langkah terbaharu ini sebagai kesinambungan agenda tersebut. “Ini memang matlamat beliau sejak awal lagi. Ia sekadar peralihan daripada memerintah sebagai pemimpin tentera kepada presiden,” katanya.

Myanmar kekal dalam keadaan tidak stabil sejak rampasan kuasa 2021, dengan pertempuran antara tentera dan kumpulan penentang berterusan di pelbagai wilayah.

Walaupun peralihan kepada struktur politik yang lebih formal sedang berlaku, ramai pemerhati berpendapat bahawa perubahan ini tidak semestinya membawa kepada pemulihan demokrasi, sebaliknya mengukuhkan lagi cengkaman tentera dalam sistem pemerintahan negara.

Langkah Encik Min Aung Hlaing untuk bertanding sebagai presiden dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan legitimasi politik di tengah tekanan antarabangsa, namun persoalan mengenai kredibiliti proses pilihan raya dan masa depan Myanmar masih kekal menjadi tanda tanya. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg