Topic followed successfully
Go to BHkuMeta, Google berdepan tindakan Indonesia gagal patuhi had umur bawah 16 tahun
Meta, Google berdepan tindakan Indonesia gagal patuhi had umur bawah 16 tahun
Meta, Google berdepan tindakan Indonesia gagal patuhi had umur bawah 16 tahun
JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengambil langkah tegas terhadap gergasi teknologi apabila mengeluarkan notis panggilan kepada Meta dan Google kerana didakwa gagal mematuhi peraturan baharu yang bertujuan melindungi kanak-kanak dalam talian.
Langkah itu dibuat susulan pelaksanaan Peraturan Pemerintah (PP) Tunas yang berkuat kuasa pada 28 Mac, yang antara lain menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pengguna platform digital berisiko tinggi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, berkata kedua-dua syarikat tersebut didapati tidak melaksanakan sekatan umur secara menyeluruh di platform masing-masing, termasuk Facebook, Instagram, Threads dan YouTube.
“Kepada kedua-dua entiti ini, pemerintah hari ini (31 Mac) telah mengeluarkan notis panggilan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan tindakan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik di akaun rasmi kementerian.
Menurut Cik Meutya, Meta dan Google telah dipanggil pada 30 Mac untuk menjalani pemeriksaan lanjut berhubung ketidakpatuhan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan mematuhi peraturan boleh membawa kepada tindakan lebih tegas, termasuk sekatan atau penyekatan akses platform di Indonesia. “Meta dan Google adalah dua entiti perniagaan yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua syarikat sejak awal lagi menunjukkan penentangan terhadap dasar tersebut.
Setakat ini, kedua-dua syarikat itu belum memberikan maklum balas rasmi, meskipun sebelum ini menyatakan telah memperkenalkan langkah perlindungan untuk pengguna muda.
Di bawah PP Tunas, syarikat media sosial yang dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” diwajibkan menyahaktifkan akaun pengguna berusia bawah 16 tahun.
Kriteria platform berisiko termasuk ciri yang membolehkan interaksi dengan orang tidak dikenali, unsur ketagihan, serta risiko psikologi kepada pengguna muda.
Selain Meta dan Google, platform lain seperti TikTok dan Roblox turut dikenal pasti sebagai berisiko tinggi. Kedua-duanya telah menerima surat amaran dan diminta meningkatkan pematuhan.
“Jika TikTok dan Roblox masih gagal menunjukkan pematuhan penuh, pemerintah akan empertimbangkan untuk mengeluarkan surat panggilan kepada mereka juga,” kata Cik Meutya.
Menurut kementerian, hanya dua platform iaitu X dan Bigolive didapati telah mematuhi sepenuhnya peraturan dengan melaksanakan sekatan akses terhadap pengguna bawah umur.
Langkah ini menunjukkan jurang besar dalam tahap pematuhan syarikat teknologi global terhadap undang-undang tempatan Indonesia.
Pemerintah Indonesia menegaskan bahawa dasar ini diperkenalkan bagi mengurangkan risiko buli siber, ketagihan digital serta kesan negatif terhadap kesihatan mental golongan muda.
Langkah tersebut turut selari dengan tindakan negara lain seperti Australia, yang sebelum ini melaksanakan sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.
Indonesia sendiri mempunyai populasi digital yang besar, dengan kadar penembusan Internet mencecah 80.66 peratus pada 2025. Dalam kalangan Generasi Z, angka itu meningkat kepada 87.8 peratus. Lebih membimbangkan, terdapat sekitar 70 juta kanak-kanak di bawah usia 16 tahun di negara itu. Purata masa penggunaan skrin di Indonesia kini dianggarkan antara tujuh hingga lapan jam sehari, satu angka yang dianggap tinggi dan membimbangkan.
Cik Meutya mengakui bahawa pelaksanaan dasar ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak. “Pemerintah memahami bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan ini bukan usaha satu atau dua hari, tetapi ini adalah langkah yang tepat ke arah yang betul,” katanya.
Beliau turut menggesa ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan aktif dalam memantau penggunaan platform digital oleh kanak-kanak.
Pemerintah turut memberi isyarat bahawa Indonesia tidak mahu dilihat sekadar sebagai pasaran kepada syarikat teknologi, sebaliknya menuntut komitmen terhadap keselamatan pengguna.
“Kami akan mengutamakan kerjasama dengan platform digital yang menghormati rangka kerja undang-undang kami, bukan sekadar melihat Indonesia sebagai pasaran,” kata Cik Meutya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat syarikat yang cuba mengelak tanggungjawab sejak awal perbincangan mengenai PP Tunas. - Agensi berita

