Seorang pendaki warga Singapura telah dikejarkan ke hospital di Taiwan akibat kecederaan pada bahagian kepala dan tangan selepas terjatuh dari cenuram di New Taipei City pada 16 Mei.

Lelaki berkenaan, sebelum itu, sedang melakukan aktiviti memanjat batu pada waktu pagi di Longdong, atau Dragon Caves, yang terletak di daerah Gongliao di pantai timur laut pulau tersebut, kira-kira sejam memandu dari Taipei.

Lokasi yang sama turut menyaksikan satu lagi kejadian melibatkan aktiviti panjat batu pada awal Mei, apabila seorang wanita tempatan berusia 44 tahun maut selepas terjatuh dari lereng setinggi kira-kira 10 meter.

Media tempatan melaporkan lelaki Singapura berkenaan, yang hanya dikenali sebagai James, 25 tahun, tidak dapat mengimbangi diri, lalu terjatuh dari lereng setinggi kira-kira 7 meter.

Mangsa mengalami pendarahan di kepala, kata ahli kumpulan penyelamat awam tempatan.

Jabatan Bomba New Taipei City menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi, dan anggotanya berjaya membawa mangsa keluar ke kawasan selamat menggunakan pengusung secara berganti-ganti sekitar dua jam kemudian, selepas mengharungi laluan berbatu.

Media tempatan melaporkan lelaki itu berada dalam keadaan sedar semasa dibawa ke hospital. 

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca kejadian serta peralatan mendaki yang digunakannya.

Kawasan Dragon Caves merupakan destinasi popular di Taiwan bagi aktiviti seperti memanjat batu dan selam snorkel.