PROBOLINGGO (Indonesia): Sekurang-kurangnya enam pelancong warga Singapura cedera selepas van mini yang membawa mereka terbabit dalam kemalangan berantai di laluan pelancongan Gunung Bromo di Jawa Timur, Indonesia, pada 9 Mei.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek ketika kenderaan jenis Toyota Hiace tersebut menuruni jalan curam dari kawasan Gunung Bromo menuju Surabaya.

Insiden yang berlaku kira-kira 11.45 pagi waktu tempatan di Jalan Raya Ngadas, Kecamatan Sukapura, Kabupaten Probolinggo itu melibatkan sekurang-kurangnya empat kenderaan lain sebelum van mini berkenaan akhirnya berhenti selepas merempuh tiang elektrik.

Rakaman video yang disiarkan media Indonesia menunjukkan van mini itu meluncur laju sebelum merempuh beberapa kenderaan di hadapannya.

Beberapa gambar yang dikongsi media tempatan turut menunjukkan penumpang dibantu keluar daripada van yang rosak teruk akibat pelanggaran tersebut.

Media tempatan melaporkan seramai lapan individu cedera dalam kejadian itu, termasuk enam warga Singapura, seorang pemandu pelancong dan seorang lagi individu warga Indonesia.

Mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka di muka dan lebam sebelum dibawa ke pusat kesihatan dan beberapa hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Saksi dan juga pemandu pelancong rombongan itu, Encik Yopi, berkata van berkenaan dipercayai mengalami masalah brek kira-kira 300 meter sebelum lokasi kemalangan.

“Brek gagal berfungsi ketika menuruni bukit dan kenderaan bergerak sekitar 75 kilometer sejam sebelum merempuh empat kenderaan lain,” katanya.

Menurut beliau, rombongan pelancong Singapura itu baru sahaja meninggalkan kawasan Gunung Bromo selepas bercuti di destinasi pelancongan terkenal tersebut.

Gunung Bromo merupakan gunung berapi aktif yang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa kerana pemandangan semula jadinya.

Penduduk tempatan, Encik Suwadi, 57 tahun, berkata keadaan menjadi cemas apabila van itu hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan dari arah bertentangan.

“Ada Toyota Avanza dan sebuah lagi Toyota Hiace yang dirempuh.

“Malah ada kenderaan yang terbalik,” katanya. Van tersebut hanya berhenti selepas merempuh tiang elektrik sehingga patah.

Ketua Unit Penguatkuasaan Trafik Polis Probolinggo, Encik Iptu Aditya Wikrama, berkata kawasan kejadian ketika itu dipenuhi orang ramai kerana penduduk kampung sedang mengadakan majlis kenduri di balai desa berhampiran.

“Kira-kira 30 orang berada di sekitar lokasi majlis ketika kejadian berlaku. Syukur kenderaan itu tidak merempuh orang ramai,” katanya.

Ketua Kampung Ngadas, Encik Kastaman, berkata penduduk kampung segera membantu proses menyelamat dan memindahkan mangsa selepas kemalangan berlaku.

“Syukur atas kuasa Tuhan, walaupun ketika itu ada penduduk yang sedang mengiringi pengantin, semuanya selamat,” katanya.

Pasukan polis trafik dan penyelamat mengambil masa agak lama untuk menjalankan operasi mengalihkan kenderaan yang remuk.

Pihak berkuasa turut membawa masuk trak penunda bagi membantu proses evakuasi di lokasi kejadian.

Petugas trak penunda, Encik Abdul Rohim, berkata semua mangsa dan kenderaan dipindahkan ke Pos Polis Trafik Probolinggo di Gending untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati pemandu van ketika kemalangan bukan pemandu asal, sebaliknya seorang individu lain dikenali sebagai Agung yang dikatakan mengambil alih pemanduan kerana pemandu utama keletihan selepas perjalanan panjang menuruni Gunung Bromo.

Encik Yopi mengaku beliau berehat ketika itu kerana keadaan fizikalnya kurang baik.

Polis Indonesia kini masih menyiasat punca sebenar kemalangan termasuk kemungkinan sistem brek menjadi terlalu panas ketika melalui laluan menurun yang curam.

Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas satu lagi tragedi melibatkan warga Singapura di Indonesia.

Letusan gunung berapi aktif itu turut mengorbankan seorang wanita warga Indonesia.

Kumpulan pendaki tersebut terdiri daripada 20 orang iaitu sembilan warga Singapura dan 11 warga Indonesia yang memulakan pendakian pada 7 Mei. – Agensi berita.