RIYADH: Lebih anggota 860,000 jemaah haji dari seluruh dunia sudah tiba di Arab Saudi setakat 13 Mei ketika kerajaan negara itu memperhebat persiapan bagi memastikan musim haji 2026 berjalan lancar dan selamat.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Encik Tawfiq Al-Rabiah, berkata sebahagian besar jemaah tiba melalui udara.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 820,000 anggota jemaah tiba menggunakan penerbangan udara termasuk 240,000 menerusi Inisiatif Laluan Makkah,” katanya dalam sidang media kerajaan ke-34 di Riyadh pada 13 Mei.

Beliau berkata seramai 35,000 anggota jemaah memasuki Arab Saudi melalui sempadan darat manakala kira-kira 4,000 lagi tiba menggunakan laluan laut.

Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman terus memberikan perhatian penuh terhadap kebajikan jemaah. “Arab Saudi terus mengerah seluruh sumber dan tenaga bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan mudah, selesa dan selamat,” katanya.

Encik Tawfiq berkata musim haji 2026 ini menyaksikan pelaksanaan lebih 100 inisiatif baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta pengalaman jemaah sejajar dengan pelan transformasi Wawasan Saudi 2030.

Beliau berkata kerajaan turut memperluaskan penglibatan syarikat swasta dalam pengurusan haji.

“Lebih 30 syarikat kini menawarkan perkhidmatan kepada jemaah luar negara selain tempahan terus melalui platform digital Nusuk yang digunakan oleh jemaah dari 126 negara,” katanya.

Menurut beliau, sistem itu diselaraskan dengan lebih 60 agensi kerajaan di bawah pengawasan Jawatankuasa Tertinggi Haji.

Antara pembaharuan utama tahun ini ialah pelaksanaan inisiatif “Haji Tanpa Bagasi” yang membolehkan jemaah menghantar bagasi terus ke tempat penginapan mereka. Katanya, langkah itu berjaya mengurangkan tempoh urusan di lapangan terbang daripada 120 minit kepada hanya 15 minit.

Aplikasi Nusuk pula kini menjadi platform utama perkhidmatan haji dengan lebih 51 juta pengguna serta menyediakan lebih 130 perkhidmatan digital berkaitan ibadah tersebut.

Dalam usaha memperkukuh penyelarasan antarabangsa, Arab Saudi turut menandatangani perjanjian haji dengan 78 negara selain menyeragamkan prosedur bersama pejabat urusan haji di seluruh dunia.

Dari segi prasarana, Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tanah Suci melaksanakan 25 projek pembangunan tahun ini, meningkat 100 peratus berbanding tahun 2025.

Antara projek utama termasuk pemasangan sistem teduhan dan penyejukan meliputi kawasan seluas 272,000 meter persegi di sekitar Padang Arafah.

Selain itu, laluan pejalan kaki dan kawasan rehat turut diperluaskan bagi mengurangkan kesesakan serta tekanan cuaca panas.

Syarikat Kidana Development pula membangunkan projek penginapan baharu seluas 24,000 meter persegi di Mina bagi meningkatkan kapasiti dan keselesaan jemaah.

Sebanyak 60,000 pokok turut ditanam di kawasan tanah suci menerusi inisiatif tapak hijau bagi membantu mengurangkan suhu panas.

Dalam aspek pengangkutan, Pusat Pengangkutan Awam Arab Saudi kini mengendalikan bilik kawalan beroperasi 24 jam bagi menyelaras pergerakan bas dan perkhidmatan ulang-alik ke Laluan Metro Mashair dan kawasan Jamrah.

Pada masa sama, pihak berkuasa memperketat pemantauan kualiti perkhidmatan dengan lebih 50,000 pemeriksaan dilakukan sejak pertengahan Syawal.

Pihak Berkuasa Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut menambah baik sistem panduan dengan penggunaan peta tiga dimensi serta skrin pelbagai bahasa.

Khutbah Arafah tahun ini juga akan diterjemahkan ke dalam 50 bahasa bagi membantu jemaah antarabangsa memahami mesej yang disampaikan.

Encik Tawfiq berkata kapasiti harian Raudah Al-Sharifah di Masjid Nabawi meningkat daripada 15,000 kepada kira-kira 57,000 pengunjung sehari.

Menurut beliau, tahap kepuasan jemaah turut meningkat daripada 57 peratus pada 2022 kepada 88 peratus tahun lalu.

Beliau turut memuji kejayaan kempen “Tiada Haji Tanpa Permit” yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi. “Kami juga menghargai kerjasama negara-negara sahabat dalam membendung kempen Haji tidak berlesen demi keselamatan semua jemaah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Makkah, Encik Saud bin Mishaal, melakukan lawatan ke Mina bagi meninjau persiapan akhir menjelang kemuncak musim Haji.

Pegawai memaklumkan hampir 200 pusat penyelenggaraan disediakan di Mina selain lebih 54,000 khemah lengkap yang meliputi kawasan seluas 3.5 juta meter persegi.

Lebih 100,000 meter persegi laluan berbumbung turut dibina bagi mengurangkan pendedahan jemaah kepada cuaca panas.

Pihak berkuasa juga menggantikan tiang kabus lama dengan lebih 400 kipas kabus moden di kawasan tumpuan utama.

Sebanyak 74 eskalator turut dipasang bagi memudahkan pergerakan jemaah terutama ketika waktu puncak ibadah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan vaksin meningokokal diwajibkan kepada semua petugas Haji tahun 2026 ini sebagai langkah pencegahan penyakit berjangkit.
Jurucakap kementerian, Abdulaziz Abdulbaqi, berkata vaksin itu perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum petugas memulakan tugas.

Beliau turut menggalakkan petugas mendapatkan vaksin influenza bermusim dan Covid-19 bagi memastikan persekitaran Haji kekal selamat untuk semua jemaah dan petugas. - Agensi berita