Topic followed successfully
Go to BHkuGreenpeace sertai flotila global hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Greenpeace sertai flotila global hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Greenpeace sertai flotila global hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
BARCELONA, Sepanyol: Greenpeace mengumumkan bahawa kapalnya, Arctic Sunrise, akan menyertai Armada Sumud Global bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pelayaran bersama lebih daripada 70 buah kapal dan lebih seribu peserta akan mencabar secara langsung sekatan bantuan berterusan oleh Israel ke Gaza.
Dalam satu kenyataan pada 6 April, Greenpeace menyatakan peranan Arctic Sunrise adalah untuk menyediakan sokongan maritim, teknikal dan operasi supaya kapal-kapal tersebut transit dengan selamat merentasi Mediterranean sebelum mereka melengkapkan 200 batu nautika terakhir ke pantai Gaza.
Pengarah Eksekutif Greenpeace Sepanyol, Cik Eva Saldana, berkata: “Pada masa perang yang semakin meningkat ini, yang dicetuskan oleh serangan tentera Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang menyebabkan kitaran kemusnahan dan kesakitan di seluruh Timur Tengah, kami berbesar hati untuk menyahut seruan untuk menyertai Armada Sumud dengan kapal Greenpeace, Arctic Sunrise.
“Walaupun pemerintah kurang keeberanian dan keyakinan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan kewajipan mereka untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Armada Sumud telah menjadi cahaya solidariti kemanusiaan dan simbol harapan dalam tindakan.”
Sebagai tindak balas kepada seruan langsung daripada rakyat Palestin di Gaza, armada tersebut dijadualkan belayar dari Barcelona, Sepanyol, pada 12 April 2026, dengan persinggahan di Syracuse, Italy, dan Lerapetra, Greece, dalam perjalanan ke Gaza.
Satu perhimpunan solidariti awam akan diadakan pada 11 April kelak.
Pengarah Eksekutif Greenpeace Timur Tengah dan Afrika Utara, Cik Ghiwa Nakat, berkata: “Kemusnahan di Gaza yang telah menjadi doktrin tentang kekebalan daripada hukuman, kini merebak ke Lebanon dengan kemusnahan tanpa henti dan penderitaan manusia yang semakin mendalam.
“Kapal Greenpeace menyertai misi yang dipimpin oleh rakyat ini bertujuan untuk menuntut akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke Gaza dan untuk mencabar sekatan haram yang terus memusnahkan kehidupan awam.
“Kami berdiri teguh menentang jenayah perang, kebuluran yang disengajakan, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai. Armada ini merupakan seruan kepada pemerintah di seluruh dunia supaya melindungi tindakan kemanusiaan serta bertindak dengan segera dan berprinsip untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, maruah manusia, dan keadilan.”
Flotila Sumud kali terakhir belayar pada September 2025 dengan 42 buah kapal dan 462 orang. Pasukan Israel memintas secara haram dan menaiki flotila secara paksa, menahan mereka yang berada di atas kapal dan membawa mereka ke Israel. - Agensi berita

