Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Saudi, UAE bangkit balas serangan Iran dalam diam
Laporan: Saudi, UAE bangkit balas serangan Iran dalam diam
Serangan Tentera Udara Saudi dikatakan dilakukan pada akhir Mac, kata dua pegawai Barat
Laporan: Saudi, UAE bangkit balas serangan Iran dalam diam
RIYADH: Arab Saudi melancarkan banyak serangan ke atas Iran tanpa menguar-uarkannya sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas negara itu semasa perang Timur Tengah.
Demikian dedah dua pegawai Barat yang memberi taklimat mengenai perkara itu, serta dua pegawai Iran.
Serangan Saudi menandakan kali pertama kerajaan itu diketahui mengambil tindakan ketenteraan secara langsung di Iran.
Ia juga menunjukkan Saudi lebih berani dalam mempertahankan dirinya daripada pesaing utama serantau.
Serangan yang dilancarkan oleh Tentera Udara Saudi itu dikatakan telah dilakukan pada akhir Mac, kata dua pegawai Barat itu.
Seorang daripada mereka hanya berkata bahawa ia adalah “serangan balas apabila Saudi diserang”.
Agensi berita, Reuters, tidak dapat mengesahkan apakah sasaran khusus serangan tersebut.
Diminta mengulas mengenainya, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Saudi tidak secara langsung menyatakan sama ada serangan telah dilakukan.
Kementerian Luar Iran tidak memberi respons untuk mengulas mengenai perkara tersebut.
Arab Saudi, yang mempunyai hubungan ketenteraan yang mendalam dengan Amerika Syarikat, secara tradisi, bergantung pada tentera Amerika untuk perlindungan.
Bagaimanapun, perang selama 10 minggu telah menyebabkan kerajaan itu terdedah kepada serangan yang telah menembusi “payung” tentera Amerika.
Serangan Saudi menggariskan peluasan konflik dan sejauh manakah perang, yang bermula apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari, telah menarik perhatian di Timur Tengah dengan cara yang belum diakui secara terbuka.
Sejak serangan Amerika dan Israel, Iran telah menyerang keenam-enam negara Majlis Kerjasama Teluk dengan peluru berpandu dan dron.
Iran bukan sahaja menyerang pangkalan tentera Amerika, bahkan tempat awam, lapangan terbang dan prasarana minyak, serta menutup Selat Hormuz, yang mengganggu perdagangan sejagat.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut melancarkan serangan ke atas Iran awal April, lapor media Barat pada 12 Mei, mendedahkan penyertaan yang tidak diketahui dalam perang oleh negara Teluk itu.
Ia berkata serangan UAE menyasarkan sebuah kilang penapisan yang terletak di Pulau Lavan, Iran, dan berlaku ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata.
Amerika secara senyap-senyap mengalu-alukan serangan UAE dan negara-negara Teluk yang ingin menyertai perang itu, berdasarkan laporan media, memetik sumber yang tidak dinamakan.
Secara keseluruhan, tindakan Saudi dan UAE mendedahkan monarki Teluk yang dilanda serangan Iran bangkit membalas serangan. – Agensi berita.
