HALMAHERA UTARA: Pihak berkuasa daerah Halmahera Utara di Maluku Utara mengakui masih terdapat kelemahan kawalan di sekitar Gunung Dukono selepas letusan gunung berapi aktif itu mengorbankan tiga pendaki, walaupun laluan pendakian rasmi telah ditutup sejak April lalu.

Bupati Halmahera Utara, Piet Hein Babua, berkata aktiviti Gunung Dukono menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga pemerintah daerah mengambil keputusan menutup kawasan pendakian secara kekal bermula 17 April 2026.

Namun, beliau berkata sekumpulan warga asing dan rakyat Indonesia dipercayai memasuki kawasan gunung itu tanpa kebenaran serta tanpa berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan atau ketua kampung berhampiran.

“Kemungkinan mereka menggunakan laluan tikus yang sukar dikawal oleh masyarakat tempatan atau petugas di sekitar kawasan gunung berapi itu,” katanya dalam program Kompas Malam di KompasTV pada 10 Mei.

Menurut beliau, sehingga kini pemerintah daerah belum menempatkan petugas khas di semua laluan alternatif yang digunakan pendaki untuk memasuki kawasan larangan.

Encik Piet berkata secara keseluruhannya, masyarakat Halmahera Utara mengetahui dan mematuhi arahan penutupan yang dikeluarkan pemerintah.

“Malangnya ada sebahagian individu yang sengaja mengelak daripada peraturan yang kami tetapkan dan bermain ‘kucing-kucingan’ dengan pihak berkuasa sehingga berjaya memasuki kawasan gunung,” katanya.

Beliau berkata pemerintah daerah sebelum ini telah mengeluarkan surat edaran rasmi mengenai penutupan laluan pendakian selain menjalankan kempen penerangan kepada penduduk tempatan dan pelawat. Katanya, papan amaran larangan mendaki turut dipasang di sepanjang laluan menuju ke Gunung Dukono.

“Setakat ini masyarakat tempatan mematuhi semua ketetapan dan tidak berlaku perkara yang mengancam nyawa,” katanya.

Susulan tragedi yang meragut tiga nyawa itu, Encik Piet berkata pihaknya akan memperketat kawalan di sekitar kawasan gunung berapi berkenaan.

Beliau berkata pemerintah daerah akan menempatkan anggota rondaan di laluan pendakian bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Kami juga akan memperhebatkan lagi penerangan kepada pelawat luar supaya tidak melanggar larangan pendakian Gunung Dukono,” katanya.

Gunung Dukono yang terletak di Pulau Halmahera merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan sering mengalami letusan kecil serta semburan abu vulkanik.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) gabungan berjaya menemui dua mangsa terakhir yang hilang dalam operasi pencarian hari ketiga pada 10 Mei.

Dengan penemuan dua mangsa terakhir itu, pihak BNPB mengesahkan semua mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang telah berjaya ditemui.

Selain tiga kematian, seramai 15 lagi pendaki berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut. Antara mangsa yang terselamat termasuk tujuh warga Singapura. Lapan lagi mangsa terselamat merupakan rakyat Indonesia.

Menurut BNPB, dua mangsa terselamat turut membantu pasukan SAR dengan memberikan maklumat mengenai laluan pendakian dan lokasi terakhir mangsa sebelum letusan berlaku. Pihak berkuasa berkata operasi mencari dan menyelamat ditutup secara rasmi selepas semua mangsa ditemui.

Tragedi itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan aktiviti pendakian di kawasan gunung berapi aktif di Indonesia, terutama apabila terdapat pendaki yang masih memasuki kawasan larangan walaupun amaran bahaya telah dikeluarkan pihak berkuasa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia berdepan beberapa insiden melibatkan pelancong dan pendaki yang terperangkap atau maut akibat aktiviti gunung berapi serta cuaca ekstrem.

Gunung Dukono sendiri berada pada tahap aktiviti tinggi dan sering mengeluarkan abu vulkanik yang boleh membahayakan penduduk serta pelawat di kawasan sekitarnya.

Pihak berkuasa tempatan kini dijangka memperketat pemantauan di semua laluan alternatif termasuk laluan tikus yang sebelum ini sukar dikawal bagi memastikan tiada lagi pendaki dapat melepasi kawasan larangan. – Agensi berita.