Topic followed successfully
Go to BHkuKos perang Israel dengan Iran dan Hezbollah cecah AS$15b
Kos perang Israel dengan Iran dan Hezbollah cecah AS$15b
Akhbar Israel lapor 26,000 tuntutan pampasan telah difail bagi kerosakan berkaitan serangan peluru berpandu
Kos perang Israel dengan Iran dan Hezbollah cecah AS$15b
TEL AVIV: Israel dilapor menanggung kos sekitar AS$15 bilion ($19.29 bilion) sejak perang melibatkan Iran dan kumpulan Hezbollah di Lebanon bermula, di tengah-tengah tekanan ketenteraan dan ekonomi ke atas negara itu terus meningkat, tanpa sebarang petanda konflik itu akan reda dalam masa terdekat.
Akhbar perniagaan berbahasa Ibrani dari Israel, Calcalist, yang dipetik agensi berita, Anadolu Ajansi, melaporkan jumlah itu bersamaan kira-kira 47 bilion shekel (AS$15 bilion) dan dijangka terus meningkat jika perang berlanjutan atau pusingan pertempuran baharu tercetus lagi.
Menurut laporan itu, Kementerian Pertahanan Israel telah memohon sekitar 39 bilion shekel bagi menampung perbelanjaan ketenteraan.
Permintaan itu menunjukkan beban terbesar perang itu masih tertumpu kepada kos operasi ketenteraan, dan angka tersebut boleh meningkat lagi jika tempoh konflik itu berpanjangan.
Laporan sama turut menyebut perang itu meningkatkan kemungkinan bajet keselamatan Israel kekal tinggi dalam jangka panjang, berbanding jangkaan sebelum ini bahawa perbelanjaan pertahanan mungkin dapat dikurangkan.
Namun, tekanan sebenar bukan hanya datang daripada perbelanjaan ketenteraan.
Di pihak awam, Calcalist, melaporkan kira-kira 26,000 tuntutan pampasan telah difail bagi kerosakan berkaitan serangan peluru berpandu, dengan nilai kerugian dianggar antara 1 bilion dengan 1.5 bilion shekel.
Selain itu, beban paling besar di luar sektor pertahanan datang daripada pelan pampasan untuk perniagaan dan pekerja, yang dianggar mencecah antara 6.5 bilion dengan 7 bilion shekel.
Sekitar setengah bilion shekel lagi pula diperlukan untuk menampung pekerja yang diletakkan dalam cuti tanpa gaji.
Laporan itu turut menyebut pemerintah Israel dijangka akan terus berusaha melonggarkan sekatan terhadap kegiatan ekonomi bagi mengehadkan kerugian dan mengurangkan kesan perang terhadap ekonomi dalam negara.
Langkah sedemikian disifatkan penting kerana perang itu kini bukan sekadar menghakis dana pertahanan, malah, turut memberi tekanan pada sektor pekerjaan, perniagaan kecil dan keyakinan pasaran.
Anadolu sebelum ini turut melaporkan, Bank of Israel, mengekalkan kadar faedah pada 4 peratus sambil memberi amaran perang dengan Iran menambah kebimbangan terhadap inflasi, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal negara itu.
Ketika kos perang terus melonjak, Israel pada masa sama masih berdepan ancaman serangan langsung dari Iran.
Agensi berita, Reuters melaporkan, anggota bomba Israel pada 6 April sedang mencari mangsa di bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman di bandar Haifa selepas ia terkena serangan peluru berpandu Iran sehari sebelumnya.
Kesan bedilan itu menyebabkan sebahagian bangunan tujuh tingkat berkenaan runtuh, sekali gus menambah lagi tekanan terhadap sistem kecemasan dan kos pemulihan awam.
Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam serangan berkenaan, manakala beberapa lagi cedera.
Pasukan penyelamat dikerah ke lokasi untuk mengesan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah timbunan konkrit dan serpihan bangunan.
Semboyan keselamatan dilapor berbunyi di beberapa bandar utama ketika sistem pertahanan udara negara itu diaktifkan bagi memintas peluru berpandu yang dilancarkan.
Serangan di Haifa itu berlaku sejurus selepas tentera Israel mengesan gelombang baharu peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Ia sekali gus menandakan bahawa ancaman terhadap bandar utama Israel masih berterusan walaupun perbincangan diplomatik mengenai kemungkinan gencatan senjata terus diperkatakan. – Agensi berita.

