SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Khidmat feri Batam-Singapura dikurangkan susulan lonjakan harga bahan api

Khidmat feri Batam-Singapura dikurangkan susulan lonjakan harga bahan api

Apr 9, 2026 | 5:08 PM

Khidmat feri Batam-Singapura dikurangkan susulan lonjakan harga bahan api

Penumpang beratur di kaunter perkhidmatan di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre ketika operator feri mengurangkan kekerapan perjalanan ke Singapura susulan lonjakan harga bahan api.
Penumpang beratur di kaunter perkhidmatan di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre ketika operator feri mengurangkan kekerapan perjalanan ke Singapura susulan lonjakan harga bahan api. - Foto F Pangestu

BATAM: Kenaikan harga bahan api akibat konflik di Timur Tengah memaksa pengusaha feri mengurangkan perkhidmatan antara Batam dan Singapura. Dalam masa sama, Batam terus mencatat peningkatan ketibaan warga Singapura yang datang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre, pegawai tempahan Majestic Fast Ferry, Cik Diana, berkata jumlah perjalanan harian ke HarbourFront dikurangkan daripada 16 kepada 12, manakala laluan ke Tanah Merah diturunkan daripada sembilan kepada empat. “Pengurangan ini dibuat bagi menguruskan kos bahan api yang meningkat,” katanya.

Operator lain turut mengambil langkah sama. Batam Fast dilaporkan mengurangkan perkhidmatan sekitar 40 peratus, lapor The Jakarta Post.

Pegawai tempahannya, Cik Nova, berkata pihaknya bekerjasama dengan operator lain bagi mengurangkan gangguan kepada penumpang. “Kami menyusun semula laluan bersama rakan operator supaya penumpang masih boleh melakukan perjalanan,” katanya.

Selain mengurangkan kekerapan perjalanan, operator feri turut menaikkan tambang dengan mengenakan surcaj bahan api. Caj tambahan ditetapkan sebanyak S$6 bagi penumpang dari Singapura dan 65,000 rupiah (S$4.85) bagi penumpang dari Batam.

Tambang ke Malaysia juga meningkat, dengan tiket pergi balik kini mencecah sekitar 867,000 rupiah berbanding 665,000 rupiah sebelum ini.

Walaupun kos perjalanan meningkat dan jadual feri dikurangkan, Batam terus menarik kehadiran warga Singapura yang mencari barangan keperluan dengan harga lebih murah.

Data menunjukkan jumlah ketibaan antarabangsa melalui Batam mencecah 257,928 setakat Februari, dengan majoriti pelawat dari Singapura. Angka itu meningkat 3.7 peratus berbanding Januari dan melonjak 24.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Datuk Bandar Batam, Encik Amsakar Achmad, berkata pulau itu kini menjadi pilihan utama warga Singapura. “Batam semakin menjadi destinasi pilihan untuk mendapatkan barangan asas pada harga lebih kompetitif, terutama selepas kenaikan kos bahan api di Singapura,” katanya.

Seorang pemandu teksi di pelabuhan Batam Centre, Encik Suhardi, berkata trend membeli-belah rentas sempadan itu semakin ketara. “Penumpang datang dengan beg kosong dan pulang dengan penuh barang seperti cili, ikan masin dan keperluan dapur,” katanya. “Mereka biasanya kembali ke Singapura pada hari yang sama.”

Walaupun terdapat manfaat ekonomi, Ahli Suruhanjaya VII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Bane Raja Manulu, menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan persaingan antara penduduk tempatan Batam dan pelawat dari Singapura dalam mendapatkan barangan keperluan asas.

“Secara purata, setiap pelancong Singapura berbelanja sekitar S$300 bagi setiap lawatan ke Batam, hampir menyamai gaji minimum bulanan di bandar ini. Dengan pendapatan yang jauh lebih tinggi, mereka boleh membeli beras, minyak masak dan keperluan lain dengan mudah, sedangkan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan kuasa beli asing yang kuat,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg