MANILA: Gangguan besar pada sistem grid elektrik menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di Filipina pada 15 Mei menjejaskan jutaan penduduk ketika negara itu sedang menghadapi bulan paling panas pada tahun 2026 ini.

Perbadanan Grid Nasional Filipina (NGCP) berkata gangguan bekalan secara bergilir selama satu jam berlaku di beberapa kawasan di ibu negara Manila dan seluruh Pulau Luzon bermula tengah hari 15 Mei.

Menurut NGCP dan Jabatan Tenaga Filipina, gangguan itu berpunca daripada “gangguan besar grid” yang menjejaskan talian penghantaran elektrik selain kerja penyelenggaraan di beberapa loji jana kuasa utama.

NGCP memaklumkan gangguan bekalan dijangka merebak ke kawasan kepulauan tengah negara itu dengan tempoh pemadaman sehingga tujuh jam.

Setiausaha Tenaga Filipina, Cik Sharon Garin, berkata pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan. “Orang ramai berhak mendapat penjelasan lengkap mengenai insiden sebesar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami akan memastikan semua aspek operasi, teknikal dan pematuhan diperiksa sepenuhnya serta tindakan sewajarnya diambil jika perlu,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Cik Garin tidak menyatakan bila bekalan elektrik dijangka kembali pulih sepenuhnya.
Pulau Luzon yang menempatkan hampir separuh daripada 116 juta penduduk Filipina turut menjadi pusat utama kegiatan ekonomi negara itu.

Gangguan bekalan berlaku ketika permintaan penggunaan elektrik meningkat susulan cuaca panas melampau, terutama bagi penggunaan penghawa dingin.

Insiden itu berlaku walaupun agensi kerajaan Filipina sedang melaksanakan minggu kerja empat hari yang diperkenalkan selepas tercetusnya perang Iran-Amerika Syarikat-Israel. - AFP