Topic followed successfully
Go to BHkuSaudi terima 1.68j anggota jemaah umrah antarabangsa sepanjang Ramadan 2026
Saudi terima 1.68j anggota jemaah umrah antarabangsa sepanjang Ramadan 2026
Lebih 33j hidangan buka puasa buat anggota jemaah di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dari 18 Feb hingga 19 Mac
Saudi terima 1.68j anggota jemaah umrah antarabangsa sepanjang Ramadan 2026
RIYADH: Arab Saudi merekodkan lebih 1.68 juta anggota jemaah umrah antarabangsa sepanjang Ramadan 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara jumlah kehadiran anggota jemaah ke Tanah Suci.
Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan anggota jemaah dari 155 negara memasuki negara itu sepanjang bulan suci berkenaan, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan kelancaran ibadah.
Di Masjid Nabawi di Madinah, lebih 1.1 juta tempahan solat di Al-Rawdah Al-Sharifah direkodkan menerusi sistem tempahan digital, menunjukkan penggunaan teknologi semakin meluas dalam mengurus aliran jemaah.
Kementerian itu turut mengendalikan 30 pusat Nusuk Care di Makkah, Madinah dan Jeddah yang menyediakan lebih 153,000 perkhidmatan dalam 11 bahasa sepanjang Ramadan.
Perkhidmatan itu merangkumi panduan, bantuan di lapangan serta sokongan terus kepada anggota jemaah.
“Kami beriltizam dalam memastikan setiap anggota jemaah mendapat pengalaman ibadah yang lancar dan selesa,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pusat Penjagaan Jemaah pula mengendalikan lebih 19,700 laporan dan pertanyaan sepanjang tempoh sama, dengan kadar penyelesaian melebihi 93.3 peratus.
Bagi memperkukuh penyelarasan operasi, Pusat Pemantauan dan Kawalan menyediakan lebih 80 papan pemuka digital yang digunakan oleh lebih 200 agensi bagi memantau perkhidmatan secara masa nyata serta menilai prestasi operasi.
Dalam usaha memastikan mutu perkhidmatan, pasukan pemeriksaan kementerian menjalankan lebih 21,500 pemeriksaan lapangan melibatkan penginapan dan penyedia perkhidmatan sepanjang Ramadan.
Selain itu, operasi penyediaan juadah berbuka puasa di dua masjid suci turut mencatat skala besar.
Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci mengagihkan lebih 33 juta hidangan berbuka puasa kepada jemaah di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah sepanjang Ramadan 1447 Hijrah, yang berlangsung dari 18 Februari hingga 19 Mac 2026.
Hidangan tersebut diagihkan setiap hari di ruang solat dan kawasan sekitar masjid bagi membolehkan jemaah berbuka puasa tanpa perlu meninggalkan kawasan ibadah.
Permintaan memuncak pada 10 malam terakhir Ramadan apabila kedua-dua masjid beroperasi pada keupayaan tampungan maksimum dengan kehadiran jemaah yang beriktikaf, solat tahajud dan jemaah umrah secara serentak.
Secara keseluruhan, lebih 96.6 juta kunjungan direkodkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam tempoh 20 hari pertama Ramadan, sekali gus menggambarkan skala besar operasi pengurusan jemaah di Tanah Suci. – Agensi berita.

