NEW DELHI: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas dipercayai diserang isterinya menggunakan sabit dalam pertengkaran rumah tangga berkaitan hidangan makan malam di Kamareddy.

Kejadian berlaku sekitar 9 malam waktu tempatan pada 25 April, apabila mangsa, Kodandam Shivaji, bertengkar dengan isterinya, Laxmi, selepas wanita itu tidak menyediakan kari ayam seperti dimintanya.

Pertengkaran pada awalnya dileraikan oleh anggota keluarga, namun kembali memuncak selepas mereka beredar.

Menurut polis, Laxmi kemudian mengambil sabit dan menyerang leher suaminya hingga mangsa rebah serta meninggal dunia akibat pendarahan teruk.

Menurut anggota keluarga, pasangan tersebut sering bertengkar mengenai hal rumah tangga, namun beberapa kali telah didamaikan oleh pihak keluarga sebelum ini.

Pasangan itu telah berkahwin enam tahun dan mempunyai dua anak. Laxmi kini ditahan untuk siasatan lanjut. – Agensi berita.