Topic followed successfully
Go to BHkuIsrael mahu kekal kuasai selatan Lebanon selepas perang Hezbollah berakhir
Israel mahu kekal kuasai selatan Lebanon selepas perang Hezbollah berakhir
Israel mahu kekal kuasai selatan Lebanon selepas perang Hezbollah berakhir
TEL AVIV/BEIRUT: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengumumkan rancangan mewujudkan zon penampan di selatan Lebanon dan mengekalkan kawalan keselamatan ke atas sebahagian wilayah tersebut walaupun perang dengan Hezbollah berakhir.
Menurut Encik Katz, kawasan yang akan dikuasai Israel dijangka meliputi sehingga Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
Beliau turut menyatakan semua rumah di kampung Lebanon berhampiran sempadan Israel akan dirobohkan.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras dari Lebanon.
Menteri Pertahanan negara itu, Encik Michel Menassa, menyifatkan langkah tersebut sebagai petanda jelas niat Israel untuk mengenakan “pendudukan baharu ke atas wilayah Lebanon”.
Kritikan turut disuarakan dari negara Eropah, Canada serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang melahirkan kebimbangan terhadap implikasi tindakan tersebut terhadap kedaulatan Lebanon.
Israel mengumumkan pada 2 Mac ia akan menghantar tentera darat ke selatan, di samping melancarkan serangan udara secara meluas ke seluruh negara itu.
Operasi tersebut dilakukan selepas Hezbollah melancarkan roket ke utara Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran oleh Israel pada akhir Februari.
Sejak awal Mac, sekurang-kurangnya 1,238 orang dilaporkan terbunuh, termasuk sekurang-kurangnya 124 kanak-kanak, tambah Kementerian Kesihatan.
Pejabat kemanusiaan PBB turut melaporkan sekurang-kurangnya 52 petugas kesihatan turut terkorban.
Di pihak Israel, serangan Hezbollah telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 anggota tentera dan dua orang awam.
Lebih sejuta penduduk dikatakan kini kehilangan tempat tinggal, bersamaan kira-kira seorang daripada setiap enam penduduk negara itu, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada.
Israel menegaskan bahawa operasi ketenteraannya bertujuan melindungi masyarakat di utara negara itu daripada serangan Hezbollah.
Namun, serangan terbaru di kawasan Beirut menambah lagi ketegangan.
Kementerian Kesihatan melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 24 cedera dalam dua serangan Israel pada 1 April, yang menyasarkan kenderaan di pinggir selatan Beirut dan kawasan berhampiran ibu kota.
Agensi berita negara melaporkan satu serangan di kawasan Khaldeh mengorbankan dua orang dan mencederakan tiga yang lain, manakala satu lagi serangan di kawasan Jnah mengorbankan lima orang dan mencederakan 21 yang lain.
Tentera Israel memaklumkan serangan tersebut menyasarkan seorang komander kanan Hezbollah dan seorang lagi anggota kanan kumpulan itu, namun, tidak mendedahkan identiti atau mengesahkan sama ada sasaran tersebut terbunuh.
Tiada maklum balas segera daripada Hezbollah mengenai serangan tersebut, namun keadaan di rantau itu terus menunjukkan tanda peningkatan konflik. – Agensi berita.

