Topic followed successfully
Go to BHkuSungai Litani jadi garis penentu konflik Israel-Hezbollah
Sungai Litani jadi garis penentu konflik Israel-Hezbollah
Kawasan selatan sungai jadi pusat ketegangan antara kededua pihak
Sungai Litani jadi garis penentu konflik Israel-Hezbollah
BEIRUT: Sungai Litani, laluan air sepanjang kira-kira 140 kilometer yang merentasi selatan Lebanon, kembali menjadi faktor strategik utama dalam konflik terbaharu antara Israel dengan Hezbollah.
Dalam perkembangan terkini, sungai itu bukan sekadar sempadan geografi, malah, berpotensi menentukan sejauh manakah perang akan merebak serta membentuk semula landskap keselamatan di rantau itu.
Konflik yang kembali memuncak sejak awal Mac menyaksikan Israel melancarkan serangan udara berskala besar selepas Hezbollah menembak roket ke wilayah utara Israel.
Pihak berkuasa Lebanon melaporkan lebih 1,000 orang terbunuh, manakala ratusan ribu penduduk dipaksa berpindah ke kawasan lebih selamat di utara, kebanyakannya melintasi Sungai Litani.
Arahan pemindahan besar-besaran yang dikeluarkan Israel memperlihatkan kepentingan strategik sungai itu.
Pada peringkat awal, penduduk diarah berpindah ke utara Litani, sebelum kawasan pemindahan diperluaskan lebih jauh, mencerminkan kemungkinan garis had baharu operasi ketenteraan.
Kedudukan Sungai Litani dalam konflik Israel-Lebanon bukan sesuatu yang baharu.
Sejak beberapa dekad lalu, kawasan selatan sungai itu menjadi pusat ketegangan antara kededua pihak.
Sehingga tahun 2000, Israel menduduki sebahagian besar selatan Lebanon sebagai zon keselamatan bagi mengekang serangan Hezbollah.
Selepas pengunduran tentera Israel, kawasan selatan Litani kekal sebagai kubu kuat Hezbollah dengan sokongan masyarakat Syiah tempatan.
Keadaan itu membentuk Perjanjian Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas perang 2006.
Di bawah resolusi itu, kawasan antara sempadan Israel dengan Sungai Litani sepatutnya bebas daripada kehadiran Hezbollah dan dikawal oleh tentera Lebanon dengan sokongan pasukan pengaman PBB.
Namun, perjanjian tersebut gagal dilaksanakan sepenuhnya.
Israel berulang kali menuduh Hezbollah terus memantapkan kekuatan ketenteraan di selatan sungai, manakala Lebanon dan Hezbollah pula mendakwa Israel masih melanggar kedaulatan negara itu.
Perang yang tercetus semula pada 2023 memperlihatkan kelemahan struktur gencatan senjata yang sedia ada.
Walaupun Lebanon berjanji melucutkan senjata Hezbollah di selatan Litani, usaha itu gagal dilaksanakan secara menyeluruh.
Penganalisis politik, Encik Nadim Shehadi, menjelaskan kegagalan berulang ini telah mengubah pendekatan Israel.
“Jika anda berada di tempat Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel), adakah anda akan berhenti separuh jalan dan menghadapi masalah yang sama dua tahun kemudian?” katanya.
Menurut beliau, strategi Israel kini lebih cenderung kepada pendekatan yang lebih kekal dan menyeluruh, termasuk memusnahkan prasarana Hezbollah secara besar-besaran.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel dilapor menyerang jambatan dan laluan utama merentasi Sungai Litani, dengan alasan untuk menghalang pergerakan dan bekalan senjata Hezbollah.
Langkah itu dilihat mempunyai dua tujuan utama iaitu memberi tekanan kepada pemerintah Lebanon agar melucutkan senjata Hezbollah, dan pada masa yang sama memutuskan rangkaian logistik kumpulan tersebut.
Ramai di Lebanon bimbang Sungai Litani kini menjadi sasaran utama Israel untuk membentuk zon penampan baharu, atau sempadan tidak rasmi bagi kawasan pendudukan.
Buat hampir dua dekad, Litani berfungsi sebagai “garis merah” dalam keseimbangan rapuh antara Israel dengan Hezbollah.
Namun, kemaraan tentera Israel ke utara sungai yang dilaporkan sebagai yang paling jauh sejak 1982 menunjukkan perubahan ketara dalam strategi ketenteraan.
Pakar komunikasi politik dari Universiti City London, Dr Zahera Harb, melihat perkembangan itu sebagai berulangnya sejarah.
“Kita seperti kembali ke 1982. Israel kini mara lebih jauh ke dalam Lebanon, dan negara ini sekali lagi terbahagi dalam cara bertindak balas terhadap serangan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa tahap kemusnahan kali ini jauh lebih besar.
“Kita melihat kampung yang tidak lagi mempunyai satu rumah pun yang masih berdiri. Tahap kemusnahan kali ini jauh lebih dahsyat berbanding sebelumnya,” kata beliau.
Menurut Dr Harb, strategi Israel kini juga banyak dipengaruhi oleh pendekatan yang digunakan di Gaza.
“Apa yang berlaku di Lebanon sekarang adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku di Gaza.
“Konsep zon penampan atau kawasan tanpa penduduk sedang dilaksanakan di selatan Lebanon,” jelasnya.
Strategi yang dikenali sebagai “garis kuning” itu bertujuan mewujudkan kawasan kosong antara Israel dengan Hezbollah iaitu dengan memindahkan penduduk serta memusnahkan prasarana.
Ia menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk.
Dianggarkan sekitar sejuta orang telah kehilangan tempat tinggal, dengan kampung di selatan Lebanon mengalami kemusnahan meluas.
Encik Paul Salem dari Institut Timur Tengah menjelaskan pemindahan penduduk bukan sekadar kesan sampingan, malah sebahagian daripada strategi.
“Dengan mengosongkan kawasan, Israel mencipta perubahan demografi dan tekanan kemanusiaan,” katanya.
Namun, beliau percaya Israel tidak mahu Lebanon runtuh sepenuhnya kerana ia boleh menguatkan Hezbollah.
Dalam masa sama, konflik itu turut mendedahkan kelemahan struktur negara Lebanon.
Dr Harb menyatakan bahawa rakyat Lebanon kini terperangkap antara tekanan luar dengan kekangan dalaman.
“Tiada ruang untuk Lebanon membuat keputusan sendiri. Keselamatan yang ditawarkan adalah berdasarkan kerangka yang ditentukan oleh Israel,” katanya.
Encik Shehadi pula menambah, negara itu juga terikat dengan kekuatan ketenteraan Hezbollah yang disokong Iran, menjadikan keadaan politik semakin buntu.
Walaupun Israel meningkatkan tekanan ketenteraan, ramai penganalisis meragui keberkesanan pendekatan tersebut dalam melucutkan senjata Hezbollah.
“Israel tidak akan mampu melucutkan senjata Hezbollah melalui kekuatan ketenteraan semata-mata,” kata Dr Harb.
“Seperti PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) sebelum ini, idea dan struktur Hezbollah tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.”
Encik Salem turut bersetuju, dengan menyatakan bahawa perubahan hanya boleh berlaku melalui perjanjian politik yang melibatkan Iran, sesuatu yang dilihat sukar dalam masa terdekat.
Dalam jangka pendek, keadaan yang paling mungkin adalah kebuntuan berpanjangan dengan kehadiran tentera Israel di selatan Lebanon, tekanan berterusan terhadap Hezbollah, dan rakyat awam terus menanggung kesannya.
Sungai Litani kini bukan sekadar ciri geografi, tetapi lambang masa depan konflik Israel-Hezbollah.
Ia menjadi garis pemisah antara strategi ketenteraan, realiti kemanusiaan dengan kegagalan diplomasi.
Perkembangan terkini menunjukkan konflik itu berpotensi mengubah secara kekal struktur fizikal dan demografi Lebanon.
Seperti yang dirumuskan oleh Dr Harb, selagi pendudukan ketenteraan berterusan di selatan Lebanon, penentangan akan terus wujud, mencerminkan bahawa konflik itu tidak dapat diselesaikan melalui kekuatan semata-mata tanpa penyelesaian politik secara menyeluruh. – Agensi berita.

