Topic followed successfully
Go to BHkuIran umum laluan alternatif, kapal masih jauhi Selat Hormuz
Iran umum laluan alternatif, kapal masih jauhi Selat Hormuz
Iran umum laluan alternatif, kapal masih jauhi Selat Hormuz
TEHERAN: Iran mengumumkan laluan alternatif bagi kapal yang melalui Selat Hormuz pada 9 April susulan risiko periuk api di laluan utama, ketika gencatan senjata sementara dengan Amerika Syarikat masih rapuh.
Pengawal Revolusi Iran dalam satu kenyataan berkata semua kapal perlu menggunakan laluan alternatif demi keselamatan.
“Semua kapal yang ingin melalui Selat Hormuz dimaklumkan supaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan risiko pelanggaran dengan periuk api,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu diumumkan selepas Teheran bersetuju membuka semula selat strategik tersebut selama dua minggu sebagai sebahagian daripada gencatan senjata. Laluan itu penting kerana mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Namun, keadaan di lapangan masih tidak menentu. Data syarikat pemantauan kapal global, Kpler, menunjukkan tiada kapal tangki minyak atau gas melalui selat itu sejak gencatan senjata diumumkan. Hanya beberapa kapal kargo kering dilaporkan berjaya melintasi laluan tersebut.
Media pemerintah Iran pula melaporkan selat itu masih “ditutup sepenuhnya”, dengan beberapa kapal tangki diarahkan berpatah balik. Perkara ini turut disahkan oleh data pelayaran yang menunjukkan sebuah kapal tangki minyak menukar haluan secara tiba-tiba sebelum berhenti di tengah laluan.
Pengurus hubungan media Kpler, Encik Nikos Pothitakis, berkata keadaan sebenar menunjukkan selat itu hampir tidak beroperasi. “Walau apa pun status rasmi, pergerakan kapal menunjukkan selat ini sebenarnya hampir ditutup,” katanya.
Sejak awal Mac, Iran telah menyekat laluan itu dengan meletakkan periuk api dan melancarkan serangan terhad terhadap kapal, menyebabkan harga tenaga global melonjak. Walaupun gencatan senjata dicapai pada 7 hingga 8 April, ketidakpastian masih berlarutan mengenai bila laluan itu benar-benar akan dibuka sepenuhnya.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, sebelum ini menyatakan bahawa laluan selamat boleh dibuka semula dengan syarat kapal berkoordinasi dengan tentera dan mengambil kira kekangan teknikal.
“Laluan selamat boleh dipertimbangkan jika ada penyelarasan dengan pihak ketenteraan,” katanya.
Dalam pada itu, kebimbangan dalam kalangan pengendali kapal dan syarikat insurans turut menyumbang kepada kekurangan trafik. Banyak pihak masih berhati-hati untuk kembali beroperasi selagi keselamatan tidak benar-benar terjamin.
Di Washington, kenyataan yang bercanggah turut menambah kekeliruan. Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, menafikan laporan bahawa selat itu ditutup. “Laporan bahawa selat ditutup adalah tidak benar,” katanya, sambil menggesa ia dibuka semula segera.
Namun, beliau tidak menjelaskan pihak yang kini mengawal laluan tersebut. - Agensi berita

