WASHINGTON/ISLAMABAD: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Iran boleh terus menghubungi Washington jika mahu berunding untuk menamatkan perang yang telah berlarutan hampir dua bulan, ketika Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, tiba di Russia bagi mendapatkan sokongan Presiden Vladimir Putin.

Kenyataan Encik Trump itu dibuat ketika usaha damai antara kedua-dua negara semakin buntu menyusuli pembatalan rundingan yang dirancang di Pakistan.

“Jika mereka mahu bercakap, mereka boleh datang kepada kami atau hubungi kami. Kita ada talian telefon yang selamat,” kata Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News.

Beliau menegaskan, syarat utama rundingan itu kekal tidak berubah.

“Mereka tahu apa yang perlu ada dalam perjanjian. Sangat mudah: mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear, jika tidak, tiada sebab untuk bertemu,” katanya.

Harapan untuk menghidupkan semula rundingan itu merosot selepas Encik Trump membatalkan lawatan wakilnya, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, ke Islamabad pada 25 April.

Encik Araghchi pula bergerak antara Pakistan dengan Oman untuk bertemu pihak pengantara sebelum berlepas ke Russia, menunjukkan usaha diplomasi masih berjalan walaupun jurang antara kedua-dua pihak kekal besar.

Perbezaan utama melibatkan program nuklear Iran dan akses ke Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga dunia.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menegaskan bahawa Teheran tidak akan berunding di bawah tekanan atau sekatan.

“Iran tidak akan menyertai rundingan yang dipaksakan di bawah ancaman atau sekatan,” katanya dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif.

Beliau menambah bahawa Amerika perlu terlebih dahulu menarik balik sekatan, termasuk sekatan maritim, sebelum rundingan boleh dimulakan.

Selat Hormuz terus menjadi isu utama dalam konflik ini, dengan Iran menutup laluan tersebut manakala Amerika mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Penutupan laluan itu telah menjejaskan penghantaran minyak global dan menyebabkan harga meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi dunia.

Walaupun gencatan senjata berjaya menghentikan pertempuran berskala besar, tiada persetujuan dicapai untuk menamatkan perang yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Laporan media menyebut Iran telah mengemukakan cadangan baharu melalui pengantara Pakistan untuk membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan perang, dengan rundingan nuklear ditangguhkan ke peringkat kemudian.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memecahkan kebuntuan rundingan yang berlarutan. Namun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak Amerika mengenai penerimaan cadangan tersebut.

Di Amerika, Encik Trump berdepan tekanan politik apabila popularitinya menyusuli perang yang tidak popular dan kenaikan harga bahan api.

Sementara itu, Iran dilihat masih mempunyai kelebihan dalam rundingan melalui keupayaannya mengawal laluan di Selat Hormuz.

Perbezaan antara kedua-dua negara bukan sahaja tertumpu kepada isu nuklear dan laluan perdagangan, tetapi turut melibatkan pengaruh Iran di rantau tersebut.

Encik Trump mahu mengehadkan sokongan Iran terhadap kumpulan sekutu seperti Hezbollah di Lebanon dan Hamas di Gaza, serta keupayaan peluru berpandu balistiknya.

Sebaliknya, Iran menuntut penghapusan sekatan dan penghentian serangan Israel terhadap sekutunya.

Dalam perkembangan berasingan, serangan Israel di selatan Lebanon dilaporkan mengorbankan 14 orang dan mencederakan 37 yang lain, menurut kementerian kesihatan negara itu.

Tentera Israel turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di beberapa kawasan berhampiran zon penampan untuk berpindah. – Agensi berita.