JAKARTA: Pendakwaan terhadap bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim, berhubung skandal perolehan komputer riba Chromebook bernilai trilion rupiah kini menjadi lambang ketegasan pemerintah Indonesia dalam memperkukuh agenda antirasuah dan meningkatkan kebertanggungjawaban pentadbiran negara.

Walaupun kes itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat teknologi, ramai melihat tindakan pihak pendakwa raya sebagai mesej jelas bahawa tiada individu kebal daripada siasatan undang-undang, termasuk menteri dan tokoh korporat berprofil tinggi.

Bagi pemerintah Presiden Prabowo Subianto, usaha membanteras rasuah dilihat penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta memastikan dana awam benar-benar digunakan demi kepentingan masyarakat.

Kes terhadap Nadiem juga berlaku ketika Indonesia berusaha memperkukuh disiplin pentadbiran dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan projek pemerintah selepas beberapa tahun berdepan pelbagai kontroversi berkaitan salah guna kuasa dan pembaziran.

Di tengah-tengah kontroversi itu, Nadiem masih menerima sokongan besar terutama daripada generasi muda dan masyarakat teknologi.

Puluhan pemandu ‘ojek’ dalam talian hadir di mahkamah bagi menunjukkan perpaduan terhadap beliau.

Tertuduh sebelum ini dilihat sebagai lambang kejayaan generasi baharu Indonesia dan kebangkitan ekonomi digital negara itu.

Lulusan Universiti Harvard itu mengasaskan Gojek pada 2010 sebagai aplikasi tempahan motosikal sebelum ia berkembang menjadi antara wadah teknologi dan ‘super app’ terbesar di Asia Tenggara.

Kejayaan Gojek bukan sahaja menjadikan Nadiem antara usahawan teknologi paling terkenal di Asia Tenggara, malah turut dilihat sebagai lambang kebangkitan ekonomi digital Indonesia.

Ramai anak muda Indonesia ketika itu melihat beliau sebagai contoh syarikat teknologi tempatan mampu bersaing di peringkat sejagat.

Pada 2019, beliau meninggalkan dunia korporat selepas dilantik mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo sebagai Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi.

Pelantikan itu pada mulanya mengejutkan ramai pihak kerana beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam sektor pendidikan.

Namun, Encik Jokowi melihat pendekatan inovatif Nadiem sebagai peluang membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan Indonesia yang dianggap terlalu birokratik dan ketinggalan.

Enam tahun selepas program pembelian Chromebook dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, Nadiem kini berdepan tuntutan hukuman penjara 18 tahun oleh pendakwa raya Indonesia.

Nadiem dikatakan meluluskan perubahan spesifikasi tender yang hanya menguntungkan Chromebook walaupun terdapat laporan dalaman kementerian yang menyatakan komputer tersebut kurang sesuai digunakan di kawasan pedalaman dengan capaian Internet terhad.

Menurut pihak pendakwa, keputusan itu menyebabkan kerugian negara mencecah 2.18 trilion rupiah ($173 juta).

Nadiem turut didakwa memperoleh keuntungan peribadi daripada projek tersebut melalui hubungan pelaburan Google dalam syarikat induk Gojek sebelum dia memasuki Kabinet pemerintah.

Pendakwa raya juga menuntut Nadiem membayar ganti rugi kepada negara sebanyak 5.6 trilion rupiah serta didenda 1 bilion rupiah.

Walaupun Google tidak didakwa dalam kes tersebut, pihak pendakwa menegaskan tumpuan siasatan adalah terhadap proses membuat keputusan dan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan dalam kementerian.

Pemerhati melihat kes itu sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih tegas pentadbiran Encik Prabowo terhadap isu rasuah dan ketirisan kewangan negara.

Sejak mengambil alih pemerintahan, Encik Prabowo berulang kali menegaskan bahawa rasuah menjadi antara penghalang utama pembangunan Indonesia.

Beliau juga menekankan bahawa setiap pegawai pemerintah perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat menggunakan dana awam.

Bagi penyokong pemerintah, tindakan terhadap tokoh besar seperti Nadiem membuktikan kempen antirasuah Indonesia kini tidak lagi hanya menyasarkan pegawai bawahan.

“Rakyat mahu melihat keadilan dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira status atau pengaruh seseorang,” kata penganalisis politik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Dominique Nicky Fahrizal.

Menurut beliau, projek berskala besar yang melibatkan dana pendidikan negara semasa pandemik wajar disiasat secara menyeluruh kerana ia melibatkan kepentingan jutaan pelajar.

Isu utama dalam kes tersebut ialah sama ada keputusan membeli Chromebook benar-benar dibuat berdasarkan keperluan pendidikan atau dipengaruhi faktor lain.

Menurut pihak pendakwa, komputer riba itu gagal digunakan secara optimum di kawasan luar bandar kerana masalah Internet dan kekurangan prasarana digital.

Mereka turut mendakwa terdapat lesen perisian tambahan yang dianggap tidak perlu sehingga meningkatkan kos keseluruhan projek.

Walaupun sesetengah kajian menunjukkan Chromebook membantu pembelajaran dalam talian semasa pandemik, terdapat juga laporan keberkesanannya tidak menyeluruh terutama di kawasan terpencil.

Dalam konteks itu, pihak pendakwa berhujah bahawa keputusan kementerian perlu dipertanggungjawabkan kerana melibatkan wang rakyat dalam jumlah besar.

Walaupun kes itu menerima kritikan daripada sebahagian masyarakat teknologi dan aktivis hak asasi manusia, terdapat juga pihak yang menyambut baik tindakan pemerintah.

Mereka berpendapat budaya “kekebalan elit” perlu dihentikan bagi memastikan reformasi pentadbiran berjalan secara serius.

Bagi sesetengah rakyat Indonesia, kes seperti itu penting untuk menunjukkan bahawa individu terkenal atau berjaya dalam dunia korporat juga tertakluk kepada proses undang-undang yang sama.

“Ketelusan dan kebertanggungjawaban penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap pemerintah,” kata pemerhati ekonomi, Pengarah Eksekutif, Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira.

Menurut beliau, Indonesia memerlukan sistem pentadbiran yang bukan sahaja pro inovasi, bahkan juga mempunyai mekanisme semak dan imbang yang kuat.

Walaupun pemerintah mahu memperkukuh disiplin pentadbiran, kes terhadap Nadiem turut membuka perbincangan lebih luas mengenai cabaran mengimbangi inovasi dan tanggungjawab awam.

Nadiem sebelum ini dianggap membawa pendekatan lebih moden dalam sistem pendidikan Indonesia termasuk penggunaan teknologi dan pembelajaran digital.

Namun, kes tersebut menunjukkan reformasi besar melibatkan dana pemerintah tetap perlu melalui proses pemantauan yang ketat.

Pakar berkata Indonesia kini berada pada fasa penting untuk membina budaya pentadbiran yang lebih profesional, telus dan bertanggungjawab.

Dalam masa sama, pemerintah juga perlu memastikan proses undang-undang berjalan secara adil agar keyakinan pelabur dan golongan profesional terhadap institusi negara terus terpelihara.

Kes Nadiem kini menjadi antara perbicaraan paling mendapat perhatian di Indonesia kerana ia melibatkan gabungan politik, teknologi, pendidikan dan kewibawaan pentadbiran.

Ia turut menjadi ujian besar terhadap iltizam pemerintah dalam memerangi rasuah secara sama rata.

Bagi pemerintah Encik Prabowo, tindakan tegas terhadap kes berprofil tinggi dilihat sebagai usaha menunjukkan bahawa reformasi institusi tidak boleh ditangguhkan lagi.

Dalam masa sama, kes itu turut mengingatkan bahawa setiap keputusan dasar yang melibatkan dana awam perlu dibuat dengan penuh ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Walau apa pun keputusan mahkamah kelak, kes Nadiem sudah menjadi lambang penting kepada perdebatan baharu di Indonesia – bagaimana negara itu mahu bergerak sebagai demokrasi moden yang bukan sahaja menggalakkan inovasi bahkan turut menuntut kewibawaan tinggi daripada pemimpinnya. – Agensi berita.