JAKARTA: Bekas Menteri Pendidikan Indonesia dan pengasas Gojek, Nadiem Makarim, menjalani pembedahan buat kali kelima pada malam 14 Mei - hanya beberapa jam selepas pendakwa raya menuntut hukuman penjara 18 tahun terhadap beliau dalam kes rasuah melibatkan projek komputer riba Chromebook.

Perkembangan itu didedahkan isterinya, Cik Franka Franklin Makarim, menerusi hantaran di Instagram yang menggambarkan keluarganya sedang melalui dua ujian besar serentak iaitu masalah kesihatan Nadiem dan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

“Petang semalam dia berada di mahkamah. Malamnya pula Nadiem menjalani pembedahan buat kali kelima. Di antara dua detik itu, apa yang kami mampu lakukan hanyalah berdoa,” tulis Cik Franka pada 14 Mei.

Beliau berkata fokus utama keluarga ketika ini adalah memastikan suaminya pulih dan tidak berasa keseorangan menghadapi tekanan tersebut. “Saya tidak akan bercakap mengenai pertuduhan yang dibacakan. Suami saya, dengan segala yang sedang dihadapinya, tidak bersendirian,” katanya.

Media tempatan melaporkan Nadiem mengalami masalah fistula perianal dan menjalani pembedahan di Hospital Abdi Waluyo selepas menghadiri prosiding mahkamah.

Kes berprofil tinggi itu berkait projek perolehan ribuan komputer riba Chromebook dan perisian Chrome Device Management (CDM) antara 2020 hingga 2022 ketika Nadiem menjadi Menteri Pendidikan dalam kabinet bekas Presiden Joko Widodo.

Pendakwa raya mendakwa projek tersebut menyebabkan kerugian negara sebanyak 2.18 trilion rupiah (S$157.9 juta).

Dalam prosiding di Mahkamah Rasuah Jakarta pada 13 Mei, pihak pendakwa turut menuntut denda 1 bilion rupiah selain bayaran gantian sebanyak 5.68 trilion rupiah terhadap Nadiem. Sekiranya bayaran gantian itu gagal dilunaskan, dia boleh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sembilan tahun.

Nadiem bagaimanapun berulang kali menafikan semua dakwaan terhadapnya. Beliau menegaskan proses perolehan Chromebook dijalankan mengikut peraturan dan tidak melibatkan manipulasi harga atau pakatan sulit dengan syarikat swasta.

“Saya tidak pernah menyesal meninggalkan dunia keusahawanan untuk menyertai kabinet. Saya tidak akan menolak amanah itu walaupun tahu risikonya termasuk kemungkinan dipenjarakan kerana masa depan Indonesia jauh lebih penting daripada semua risiko ini,” katanya selepas perbicaraan.

Pendakwa raya pula menyifatkan kes itu sebagai satu skim jenayah kolar putih yang kompleks. Pendakwa, Encik Roy Riady, mendakwa Nadiem menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk mewujudkan sistem membuat keputusan yang tidak telus.

“Daripada memperkukuh birokrasi sedia ada, beliau mewujudkan mekanisme membuat keputusan di luar saluran rasmi yang akhirnya menguntungkan kepentingan komersial tertentu,” katanya.

Pendakwa turut mendakwa Nadiem sengaja membentuk “organisasi bayangan” di luar struktur rasmi Kementerian Pendidikan bagi memudahkan proses perolehan Chromebook tersebut.

Selain itu, pihak pendakwa mempersoalkan peningkatan kekayaan Nadiem yang didakwa tidak sepadan dengan pendapatan rasminya sebagai penjawat awam.

Siasatan juga dikatakan menemui kaitan antara projek Chromebook itu dengan dakwaan penipuan melibatkan pengurusan syarikat Aplikasi Karya Anak Bangsa, syarikat yang diasaskan bersama Nadiem sebelum berkembang menjadi Gojek.

Pendakwa mendakwa pelaburan Google bernilai AS$786 juta (S$1.04 bilion) hanya direkodkan sebagai 60 bilion rupiah dalam laporan pentadbiran.

Pihak pendakwa turut mengkritik tindakan Nadiem yang enggan menggunakan hak pembelaan “beban pembuktian terbalik” untuk membuktikan bahawa semua asetnya diperoleh secara sah dan telus.

Kes tersebut turut melibatkan beberapa pegawai lain. Bekas pegawai kementerian, Sri Wahyuningsih dan Mulyatsyah, sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara masing-masing empat tahun dan empat tahun setengah.

Seorang perunding teknologi, Ibrahim Arief, pula dijatuhi hukuman empat tahun penjara pada Selasa dalam kes berkaitan. Sementara itu, bekas kakitangan khas kementerian, Jurist Tan, masih diburu pihak berkuasa selepas dilaporkan melarikan diri.

Perbicaraan terhadap Nadiem kini menjadi antara kes rasuah paling mendapat perhatian di Indonesia kerana melibatkan tokoh teknologi terkenal yang sebelum ini dilihat sebagai simbol pembaharuan dan inovasi dalam pentadbiran negara. - Agensi berita