Topik diikuti
Pergi ke BHkuRupiah tertekan tapi Indonesia dijangka mampu harungi cabaran ekonomi
Rupiah tertekan tapi Indonesia dijangka mampu harungi cabaran ekonomi
Rupiah tertekan tapi Indonesia dijangka mampu harungi cabaran ekonomi
JAKARTA: Kejatuhan nilai rupiah ke paras terendah dalam sejarah sejak beberapa minggu lalu mencetuskan kebimbangan besar mengenai daya ketahanan ekonomi Indonesia ketika negara itu berdepan tekanan geopolitik sejagat, aliran keluar modal asing dan keyakinan pelabur yang kian lemah.
Nilai rupiah dilaporkan pernah menjunam sehingga 17,720 rupiah ($1.28) pada 19 Mei bagi setiap dolar Amerika Syarikat, sekali gus menjadi antara mata wang paling tertekan di rantau Asia Tenggara pada 2026.
Namun di sebalik tekanan itu, ramai penganalisis percaya Indonesia masih mempunyai asas ekonomi yang cukup kuat untuk mengelakkan krisis besar seperti kegawatan kewangan Asia 1998.
Bagaimanapun, ia menuntut pemerintah Indonesia bertindak pantas dalam memperkukuhkan keyakinan pasaran dan melaksanakan pembaharuan ekonomi secara tekal.
Tekanan terhadap rupiah berlaku ketika Indonesia berdepan gabungan cabaran luar dan dalam negara secara serentak.
Konflik berpanjangan di Asia Barat terutama melibatkan Amerika dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia melonjak, sekali gus meningkatkan kos import tenaga Indonesia.
Pada masa sama, aliran keluar modal asing semakin meningkat selepas pelabur sejagat mula mengurangkan pegangan mereka dalam pasaran saham dan bon Indonesia.
Bank Indonesia mengambil pelbagai langkah luar biasa bagi mempertahankan rupiah termasuk campur tangan besar-besaran dalam pasaran mata wang asing, pembelian bon pemerintah serta memperketat pemantauan urus niaga dolar Amerika.
Bank pusat itu turut meningkatkan campur tangan dalam pasaran kontrak hadapan bukan penghantaran dan menarik pelabur asing melalui Sekuriti Rupiah Bank Indonesia (SRBI).
Pemerintah Indonesia turut memperkenalkan Dana Penstabilan Bon bagi membeli semula bon pemerintah ketika pasaran mengalami tekanan menggunakan lebihan baki belanjawan negara.
Walaupun begitu, nilai rupiah terus lemah berbanding dolar Amerika, dolar Singapura dan beberapa mata wang utama lain.
Pada 2026 sahaja, rupiah menyusut sekitar 5 peratus manakala mata wang serantau seperti dolar Singapura dan ringgit Malaysia mencatat pengukuhan.
Penganalisis melihat kelemahan rupiah bukan lagi sekadar isu turun naik pasaran biasa, malah, turut mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap hala tuju dasar ekonomi Indonesia.
“Pasaran kewangan sebenarnya sedang memberi isyarat mengenai tahap keyakinan mereka terhadap pengurusan ekonomi sesebuah negara,” lapor analisis, ‘The Jakarta Post’.
Kebimbangan pelabur kian meningkat selepas Morgan Stanley Capital International (MSCI) mengekalkan pembekuan penstrukturan semula saham Indonesia dalam indeks sejagatnya kerana isu kecairan pasaran dan akses pelabur.
Beberapa saham utama Indonesia turut disingkirkan daripada indeks MSCI Global Standard dan MSCI Global Small Cap, menyebabkan aliran keluar modal asing dianggarkan mencecah 31 trilion rupiah.
Akibatnya, Indeks Komposit Bursa Saham Indonesia jatuh daripada lebih 9,000 mata pada Januari kepada bawah 7,000 mata beberapa bulan kemudian.
Agensi penarafan antarabangsa Moody’s dan Fitch Ratings, turut menukar prospek ekonomi Indonesia daripada stabil kepada negatif kerana kebimbangan terhadap kemampanan fiskal, kredibiliti dasar dan risiko tadbir urus.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, mengakui Indonesia kini berada dalam “mod bertahan” ketika ekonomi sejagat semakin tidak menentu.
Walaupun beliau masih mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar 5.5 peratus, ramai pemerhati melihat sasaran itu semakin sukar dicapai jika tekanan luaran terus memuncak.
Salah satu cabaran terbesar ialah peningkatan kos subsidi tenaga.
Perbelanjaan subsidi minyak dan gas Indonesia melonjak lebih 266 peratus pada suku pertama 2026 kepada 118.7 trilion rupiah susulan kenaikan harga minyak dunia.
Keadaan itu memberi tekanan besar kepada fiskal negara selain meningkatkan beban syarikat berkaitan pemerintah seperti Pertamina dan Perusahaan Listrik Negara yang mempunyai komitmen tinggi dalam mata wang asing.
Pada masa sama, rakyat Indonesia mula berasa tekanan kos sara hidup apabila harga makanan dan barangan asas meningkat secara berterusan.
Harga makanan dilaporkan kekal tinggi sekitar 6 peratus sejak pertengahan 2025, manakala kuasa membeli isi rumah semakin lemah.
Golongan perusahaan mikro dan kecil turut terjejas apabila pendapatan mereka menurun sementara peluang pekerjaan formal berkembang lebih perlahan.
Ramai pekerja kini beralih ke sektor tidak formal yang menawarkan pendapatan tidak stabil.
Namun di sebalik semua cabaran itu, Indonesia masih mempunyai beberapa kekuatan utama yang memberi harapan untuk pemulihan.
Negara itu masih mencatat lebihan imbangan pembayaran dan kadar inflasi yang relatif terkawal berbanding beberapa negara lain di rantau ini.
Indonesia juga mempunyai pasaran domestik besar dengan lebih 280 juta penduduk serta sumber asli yang terus menjadi tarikan pelabur sejagat.
Ramai penganalisis melihat keadaan semasa sebagai peluang penting untuk pemerintah Presiden Prabowo Subianto mempercepat pembaharuan ekonomi dan memperkukuh keyakinan pasaran.
Antara langkah yang dianggap penting ialah meningkatkan disiplin fiskal, memastikan dasar ekonomi lebih tekal, memperkukuh tadbir urus pasaran modal dan mengurangkan ketidaktentuan dasar.
“Dalam dunia yang penuh ketidakpastian, keyakinan pelabur tidak boleh dipulihkan hanya melalui kenyataan optimistik semata-mata, tetapi melalui tindakan yang konsisten dan berdisiplin,” tambah analisis tersebut.
Walaupun tekanan terhadap rupiah masih belum reda sepenuhnya, ramai pemerhati percaya Indonesia masih jauh daripada keadaan krisis besar.
Sebaliknya, keadaan semasa dilihat sebagai amaran penting bahawa daya ketahanan ekonomi negara perlu diperkukuh segera agar Indonesia terus mampu menjadi kuasa ekonomi utama Asia Tenggara dalam tempoh jangka panjang. – Agensi berita.
