Topik diikuti
Pergi ke BHkuLonjakan kos sejagat uji dasar haji Indonesia, campur tangan pemerintah lindungi jemaah
Lonjakan kos sejagat uji dasar haji Indonesia, campur tangan pemerintah lindungi jemaah
Lonjakan kos sejagat uji dasar haji Indonesia, campur tangan pemerintah lindungi jemaah
JAKARTA: Lonjakan harga bahan api penerbangan dan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap kos ibadah haji Indonesia bagi musim 2026, dengan penganalisis menganggar peningkatan mencecah ratusan bilion rupiah.
Namun, perkembangan terkini menunjukkan pemerintah Indonesia telah mengambil langkah tegas dengan menyerap sebahagian besar kenaikan kos tersebut bagi memastikan jemaah tidak terbeban.
Langkah itu dilihat sebagai campur tangan dasar penting dalam memastikan akses kepada ibadah haji kekal terjamin, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana.
Presiden Prabowo Subianto sebelum ini menegaskan komitmen pemerintah untuk memastikan kos haji kekal mampu milik, meskipun berdepan peningkatan kos operasi syarikat penerbangan akibat kenaikan harga bahan api.
Kos tambahan yang ditanggung pemerintah dianggar mencecah sekitar 1.7 trilion rupiah ($126 juta) melibatkan subsidi kepada syarikat penerbangan utama seperti Garuda Indonesia dan Saudia Airlines.
Pendekatan itu secara langsung menolak kebimbangan awal bahawa jemaah perlu menanggung sepenuhnya kenaikan kos yang dicetuskan oleh faktor sejagat.
Sebelum campur tangan pemerintah, penganalisis memberi amaran kos haji boleh meningkat sehingga sekitar 900 bilion rupiah hingga 1 trilion rupiah akibat kenaikan harga bahan api jet dan kejatuhan nilai rupiah.
Kenaikan harga bahan api sehingga 70 peratus pada April serta penyusutan nilai rupiah melepasi 17,000 rupiah berbanding dolar Amerika memberi kesan langsung kepada kos penerbangan, penginapan dan logistik.
Seorang penganalisis Encik Hakam Naja, dari Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef) menegaskan dalam keadaan tersebut, pemerintah perlu memainkan peranan utama.
“Jika terdapat peningkatan kos haji, ia sepatutnya ditanggung oleh pemerintah, bukan dibebankan kepada jemaah,” katanya.
Walaupun langkah menyerap kos memberi kelegaan kepada jemaah, ia menimbulkan persoalan mengenai tekanan terhadap kewangan negara.
Saranan awal untuk menggunakan dana haji di bawah Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH) turut mencetuskan perdebatan, dengan pakar memberi amaran ia boleh menjejas kepentingan jemaah masa depan.
“Pemerintah perlu menanggung kos melalui belanjawan negara, walaupun ia membebankan, bagi melindungi hak jemaah,” kata Encik Hakam.
Keadaan itu katanya mencerminkan dilema klasik antara perlindungan sosial dengan kelestarian fiskal dalam dasar awam.
Selain subsidi, usaha mengawal kos turut bergantung kepada rundingan dengan syarikat penerbangan.
Pakar ekonomi dari Institut Pertanian Bogor (IPB), Dr Irfan Syauqi Beik, menegaskan bahawa pendekatan diplomatik amat penting, terutama dalam berurusan dengan syarikat luar seperti Saudia Airlines.
“Kita masih boleh mengawal kos di pihak Garuda, tetapi Saudia berada di luar kawalan langsung kerana dimiliki kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Ini katanya isu haji kini bukan lagi sekadar domestik, malah turut melibatkan hubungan antarabangsa dan rundingan strategik.
Menariknya, walaupun kos meningkat, permintaan terhadap ibadah haji dan umrah kekal tinggi.
Pemain industri melihat faktor keagamaan sebagai pemacu utama yang mengatasi tekanan ekonomi.
“Walaupun harga meningkat, permintaan tetap kukuh kerana nilai kerohanian ibadah ini sangat tinggi,” kata Jurucakap Persatuan Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (Amphuri).
Amphuri menegaskan kajian tiket haji mendalam diperlukan bagi memastikan sebarang pelaksanaan tidak menjejas keseimbangan antara keperluan pasaran, dasar awam dengan prinsip keadilan dalam ibadah.
Fenomena itu, tambah Amphuri, menunjukkan ibadah haji tidak tertakluk sepenuhnya pada logik pasaran biasa.
Krisis ini memperlihatkan bagaimana konflik geopolitik dan pasaran tenaga sejagat memberi kesan langsung pada kos ibadah.
Apa yang berlaku di Asia Barat bukan sahaja menjejas harga minyak, malah, turut mempengaruhi kos perjalanan jutaan anggota jemaah setiap tahun.
Walaupun pemerintah berjaya melindungi jemaah daripada kenaikan kos 2026, cabaran jangka panjang masih belum selesai.
Ketidaktentuan sejagat, turun naik harga tenaga dan kelemahan mata wang dijangka terus memberi tekanan kepada kos haji pada masa hadapan.
Dr Irfan merumuskan keadaan itu dengan jelas: “Isu kos haji bukan lagi sekadar ekonomi, malah, gabungan geopolitik, dasar awam dan keperluan spiritual masyarakat.”
Persoalan utama kini bukan lagi sama ada kos akan meningkat, tetapi sejauh manakah pemerintah mampu terus menampung tekanan tersebut tanpa menjejas kestabilan fiskal negara. – Agensi berita.
