JAKARTA: Kepimpinan Ombudsman Indonesia memohon maaf kepada orang ramai dan menekankan pematuhan sepenuhnya terhadap proses undang-undang yang menjerat Pengerusi Ombudsman, Hery Susanto, yang dilantik kurang seminggu sebelum dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah.

Timbalan Pengerusi Ombudsman Indonesia, Encik Rahmadi Indra Tektona, berkata kes itu berlaku semasa penggal sebelumnya, iaitu dari 2021 hingga 2026.

“Kepimpinan Ombudsman Indonesia untuk tempoh 2026 hingga 2031 memohon maaf atas kesulitan yang dialami orang ramai dan kesal dengan kejadian ini.

“Kami komited untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap tugas menyelia perkhidmatan awam dengan integriti,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 April.

Ombudsman ialah sebuah badan atau institusi bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat dan menyelesaikan aduan orang awam terhadap salah tadbir atau salah laku agensi pemerintah dengan cepat dan adil

Beliau menekankan bahawa Ombudsman menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang dijalankan dan akan bekerjasama dengan pegawai penguatkuasa undang-undang.

“Kami menegaskan semula komitmen kami terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti, dan penghormatan terhadap prinsip anggapan tidak bersalah. Setiap pihak berhak mendapat proses perundangan yang adil,” katanya.

Encik Rahmadi menyatakan meskipun kes tersebut telah menarik perhatian orang ramai, namun fungsi penyeliaan perkhidmatan awam akan terus berjalan seperti biasa dan tidak terganggu.

“Langkah-langkah dalaman telah disediakan mengikut mekanisme institusi untuk mengekalkan kesinambungan tugas,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara menamakan Hery Susanto sebagai suspek dalam kes dakwaan rasuah dalam tadbir urus perlombongan nikel di Sulawesi Tenggara dalam tempoh 2013 hingga 2025.

Beliau ditahan serta-merta selama 20 hari pertama di Pusat Tahanan Salemba, Jakarta.

Encik Susanto baru dilantik kurang seminggu sebagai Ketua Ombudsman Indonesia untuk tempoh 2026-2031.

Encik Susanto didakwa menerima 1.5 bilion rupiah ($111,160) daripada sebuah syarikat nikel semasa tempoh perkhidmatannya sebagai anggota lembaga pengarah di pejabat Ombudsman Indonesia dari 2021 hingga 2026.

Pengarah bahagian siasatan, Pejabat Peguam Negara, Encik Syarief Sulaeman Nahdi, memberitahu pemberita bahawa syarikat nikel itu, yang hanya dikenali dengan inisial TSHI, menghadapi masalah berkaitan pengiraan dendanya.

Encik Susanto dan syarikat itu membuat pengaturan yang membolehkan Ombudsman mengubah jumlah denda yang disyorkan oleh Kementerian Perhutanan, kata Encik Nahdi.

“Ia mengarahkan syarikat itu membayar berdasarkan pengiraannya sendiri,” tambahnya.

Mereka yang melakukan rasuah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun. – Agensi berita.