SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemecatan pegawai imigresen Batam cungkil isu pemerasan di pintu masuk Indonesia

Pemecatan pegawai imigresen Batam cungkil isu pemerasan di pintu masuk Indonesia

Apr 6, 2026 | 5:30 AM

Pemecatan pegawai imigresen Batam cungkil isu pemerasan di pintu masuk Indonesia

Pemecatan, pegawai imigresen, Batam, isu pemerasan di pintu masuk Indonesia, pelancong asing 
Pelancong menunggu di kawasan ketibaan Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre, Indonesia, lokasi yang menjadi tumpuan susulan dakwaan pemerasan oleh pegawai imigresen terhadap pelawat asing. - Foto fail

BATAM: Pemecatan seorang pegawai imigresen di Batam susulan dakwaan pemerasan terhadap pelancong asing membuka persoalan lebih luas mengenai sejauh manakah amalan tersebut berlaku di pintu masuk utama Indonesia.

Kejadian yang berlaku di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong, khususnya dari Singapura, yang merupakan penyumbang utama kepada sektor pelancongan pulau tersebut.

Beberapa pelancong mendakwa mereka terpaksa membayar sehingga $250 untuk melepasi pemeriksaan imigresen – satu proses yang sepatutnya percuma bagi warga Asia Tenggara.

Seorang pelancong Singapura yang dikenali sebagai AC mendakwa beliau dan pasangannya dibawa ke sebuah bilik soal siasat tersembunyi oleh pegawai imigresen selepas menggunakan laluan pagar automatik atau auto-gate.

Menurutnya, mereka dimaklumkan telah “bertindak tidak sopan” dan diminta membayar $100 setiap seorang atau berdepan risiko ditahan semalaman serta dihantar pulang.

“Kami akhirnya membayar secara tunai. Wang itu dimasukkan ke dalam timbunan di bawah papan kekunci,” katanya.

Dalam kes lain, seorang pelawat dikenali sebagai Nay berkata beliau terpaksa membayar $250 untuk membolehkan ibu bapanya memasuki Batam, walaupun mereka tidak menghadapi sebarang masalah di pusat imigresen lain sebelum itu.

“Individu berpakaian biasa berkata $200 untuk pegawai imigresen dan $50 untuk dirinya,” katanya, sambil menambah beliau telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK).

Ketua Pejabat Imigresen Batam, Encik Hajar Aswad, mengesahkan kejadian tersebut dan berkata seorang pegawai telah dipecat.

“Dua individu dikenal pasti terlibat, seorang daripada pihak dalaman dan seorang lagi broker,” katanya.

Ketua Imigresen Kepulauan Riau, Encik Ujo Sujoto, turut mengesahkan wang yang dibayar oleh Nay telah dibahagikan antara pegawai dengan pihak ketiga berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami memohon maaf. Ini menjadi pengajaran penting untuk memperbaiki sistem dan memastikan perkhidmatan bebas daripada amalan tidak beretika,” katanya.

Walaupun tindakan pantas diambil, penganalisis berpendapat kejadian itu mungkin mencerminkan masalah yang lebih mendalam.

Kes pemerasan bukanlah sesuatu yang baharu dalam sistem imigresen Indonesia.

Pada 2025, puluhan pegawai di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta telah dipecat selepas Kedutaan China mendedahkan amalan pemerasan yang berlaku secara sistemik.

Badan pemantau yang memastikan agensi pemerintah bertindak adil, telus dan tidak menyalahgunakan kuasa, Ketua Ombudsman Kepulauan Riau, Encik Lagat Siadari, menyifatkan kejadian di Batam sebagai “amaran keras” terhadap kelemahan pengawasan perkhidmatan awam di pintu masuk antarabangsa.

Menurut laporan Ombudsman sebelum ini, masalah pentadbiran sering berpunca daripada interaksi langsung antara pegawai dengan pelawat, ditambah dengan faktor seperti kesesakan, perbezaan bahasa dan kurangnya kefahaman pelawat terhadap prosedur rasmi.

Pakar pelancongan di Batam, Encik Muhammad Mansyur, berpendapat isu itu berpunca daripada kelemahan sumber manusia dalam sistem imigresen.

“Tidak kira sebaik mana sistem dibangunkan, jika sumber manusia tidak bermutu, pegawai tetap akan mencari kesalahan pelancong,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa amalan seperti itu boleh menjejas reputasi Batam sebagai destinasi pelancongan utama bagi pelawat Singapura.

“Pelancong Singapura sangat penting kepada Batam. Mereka berdisiplin tinggi dan sensitif terhadap isu seperti ini. Insiden ini sangat mengganggu,” katanya.

Encik Muhammad turut menyatakan bahawa amalan pemerasan mungkin berlaku di pintu masuk lain seperti Jakarta, Bali dan Yogyakarta.

Aktivis antirasuah, Encik Emerson Yuntho, pula menegaskan masalah sebenar terletak pada kelemahan penguatkuasaan undang-undang.

“Banyak kes rasuah melibatkan imigresen hanya berakhir dengan tindakan dalaman seperti pemecatan, tanpa pendakwaan jenayah,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian tidak cukup untuk memberi kesan pencegahan.

“Ia tidak akan menakutkan pesalah. Sebaliknya, ia boleh menggalakkan individu lain melakukan perkara yang sama,” tambahnya.

Walaupun undang-undang memperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun bagi kes pemerasan, Encik Emerson menjelaskan bahawa siasatan sering bergantung kepada laporan mangsa.

“Kemungkinan pelancong asing tampil membuat laporan adalah rendah. Ini memerlukan keberanian. Pihak berkuasa juga perlu berani membawa kes ke mahkamah,” katanya.

Kejadian itu memberi kesan langsung terhadap keyakinan pelancong terhadap Indonesia sebagai destinasi pelancongan.

Terminal feri Batam Centre merupakan salah satu pintu masuk utama bagi pelancong dari Singapura, terutama untuk percutian hujung minggu yang singkat.

Sebarang gangguan terhadap pengalaman perjalanan, khususnya di pintu masuk negara, boleh memberi kesan besar terhadap persepsi pelancong.

Jika isu itu tidak ditangani secara menyeluruh, ia berpotensi menyebabkan pelancong memilih destinasi alternatif yang dianggap lebih selamat dan telus.

Kes Batam turut mencerminkan cabaran lebih luas yang dihadapi Asia Tenggara dalam mengurus pertumbuhan pelancongan yang pesat.

Negara di rantau ini berusaha menyeimbangkan antara peningkatan jumlah pelawat dengan keperluan untuk memastikan tadbir urus yang telus serta berwibawa.

Dalam konteks ini, kejadian di Batam menjadi ujian penting terhadap keupayaan Indonesia untuk memperkukuh sistem pengawasan dan memulihkan kepercayaan pelancong.

Walaupun pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu terlibat, persoalan yang lebih besar kekal sama ada kes itu hanya terpencil atau mencerminkan masalah sistemik yang lebih luas.

Seperti yang ditegaskan oleh Encik Emerson, tanpa pendakwaan tegas dan pembaharuan menyeluruh, risiko berulangnya kejadian serupa akan terus wujud.

“Dalam dunia pelancongan moden, kepercayaan adalah aset paling berharga.

“Sekali tercalar, ia bukan sahaja menjejas imej sesebuah destinasi, malah juga memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan reputasi negara,’’ ujar Encik Emerson. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg