SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Roblox perkenal kawalan kandungan untuk pengguna bawah 16 tahun di Indonesia

Roblox perkenal kawalan kandungan untuk pengguna bawah 16 tahun di Indonesia

Mar 25, 2026 | 2:44 PM

Roblox perkenal kawalan kandungan untuk pengguna bawah 16 tahun di Indonesia

Pelajar bermain permainan dalam talian Roblox pada 17 September 2025 ketika kegiatan kokurikulum Edublox di Solo Technopark, Surakarta, Jawa Tengah.
Pelajar bermain permainan dalam talian Roblox pada 17 September 2025 ketika kegiatan kokurikulum Edublox di Solo Technopark, Surakarta, Jawa Tengah. - Foto fail

JAKARTA: Wadah permainan video, Roblox, akan memperkenalkan kawalan kandungan dan komunikasi khusus bagi pengguna bawah usia 16 tahun di Indonesia bagi mematuhi peraturan baru pemerintah berhubung sekatan media sosial terhadap kanak-kanak.

Ketua Pegawai Keselamatan Roblox, Encik Matt Kaufman, berkata langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada keperluan serantau yang ditetapkan oleh pemerintah Indonesia.

“Dalam usaha memenuhi keperluan di Indonesia, kami akan memperkenalkan kawalan tambahan terhadap kandungan dan komunikasi bagi pemain bawah 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel pada 25 Mac.

Peraturan baru yang dikeluarkan awal Mac ini mewajibkan wadah digital menyahaktifkan akaun media sosial yang dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” bagi pengguna bawah 16 tahun.

Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, memaklumkan langkah itu akan berkuat kuasa pada 28 Mac.

Antara wadah yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi termasuk Instagram, YouTube milik Google, serta TikTok milik ByteDance.

Platform X turut mengesahkan bahawa mulai 28 Mac, pengguna di Indonesia perlu berusia sekurang-kurangnya 16 tahun untuk memiliki akaun.

Menurut syarikat itu, syarat tersebut adalah keperluan undang-undang tempatan dan bukan pilihan platform.

Langkah Indonesia mencerminkan kebimbangan sejagat terhadap keselamatan dan kesihatan mental pengguna muda, dengan beberapa negara termasuk Australia turut memperkenal sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.

Indonesia merupakan pasaran terbesar Roblox dari segi pengguna aktif harian, merangkumi lebih 13 peratus daripada keseluruhan pengguna globalnya.

Keadaan itu menjadikan pelaksanaan peraturan baru sebagai ujian penting terhadap keupayaan operasi wadah tersebut.

Pemerintah Indonesia menegaskan bahawa langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada ancaman seperti kandungan lucah, buli siber dan ketagihan digital.

Dalam konteks ini, Roblox dilihat berada dalam kedudukan yang agak bersedia berbanding pesaing lain.

Platform itu sebelum ini telah memperkenalkan sistem pengesahan umur berasaskan pengecaman wajah secara global bagi mengawal akses komunikasi dalam permainan.

Sistem itu membolehkan pemisahan pengguna mengikut kumpulan umur serta mengehadkan interaksi antara kanak-kanak dengan orang dewasa, selain memastikan pengalaman kandungan yang lebih sesuai.

Dengan tarikh akhir 28 Mac semakin hampir, keberkesanan sistem tersebut akan menjadi penentu sama ada Roblox mampu mengekalkan pangkalan penggunanya di Indonesia atau berdepan penyahaktifan akaun secara besar-besaran.

Bagi pemerhati industri, keadaan itu bukan sekadar isu pematuhan dasar, bahkan ujian terhadap model keselamatan digital wadah sejagat dalam menghadapi peraturan yang kian ketat. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg