Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dunia tutup tirai 2025, tahun dipacu Trump, gencatan senjata dan ketidaktentuan global

Dec 31, 2025 | 11:28 AM
Angka 2026 dipamerkan sempena sambutan Malam Tahun Baru di Times Square, New York, Amerika Syarikat, pada 30 Disember 2025.
Angka 2026 dipamerkan sempena sambutan Malam Tahun Baru di Times Square, New York, Amerika Syarikat, pada 30 Disember 2025. - Foto REUTERS

SYDNEY: Sambutan ambang Tahun Baru pada 31 Disember menandakan berakhirnya tahun 2025, satu tempoh yang penuh dengan ketegangan geopolitik, krisis kemanusiaan dan cabaran ekonomi global, daripada tarif perdagangan Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump, gencatan senjata rapuh di Gaza, hinggalah harapan yang semakin pudar terhadap keamanan di Ukraine.

Tahun 2025 turut direkodkan sebagai antara tahun paling panas dalam sejarah, dengan gelombang haba mencetuskan kebakaran hutan di Eropah, kemarau berpanjangan di Afrika, serta hujan lebat yang meragut nyawa di beberapa negara Asia Tenggara.

Di Sydney, bandar pelabuhan Australia yang sering menggelarkan dirinya sebagai “ibu kota Tahun Baru dunia”, sambutan kali ini berlangsung dalam suasana yang lebih suram dan berhati-hati.

Tidak sampai dua minggu berlalu sejak insiden tembakan di sebuah festival Yahudi di Pantai Bondi, yang didakwa dilakukan oleh seorang bapa dan anak lelakinya, mengorbankan 15 nyawa dalam kejadian tembakan rambang paling berdarah di Australia dalam hampir tiga dekad.

Sebagai tanda penghormatan, sambutan di Sydney akan dihentikan selama satu minit pada jam 11 malam waktu tempatan, apabila Jambatan Harbour Sydney disinari cahaya putih sebagai simbol keamanan.
“Ia merupakan tahun yang sukar bagi ramai orang,” kata penduduk Sydney, Steph Grant, 32 tahun, yang bekerja dalam bidang pengiklanan. “Saya berharap dunia akan menjadi tempat yang lebih cerah pada 2026,” katanya.

Ratusan ribu orang dijangka memenuhi kawasan pesisir Sydney bagi menyaksikan pertunjukan bunga api apabila sembilan tan bahan piroteknik dilancarkan tepat pada tengah malam. Kawalan keselamatan diperketatkan, dengan pasukan polis bersenjata lengkap ditempatkan di sekitar lokasi sambutan.

Sydney menjadi bandar pertama dalam rangkaian sambutan global yang merentasi bandar-bandar utama dunia, daripada New York yang gemerlapan hinggalah perayaan Hogmanay di jalan-jalan sejuk Scotland.
Di Brazil, lebih dua juta orang dijangka membanjiri Pantai Copacabana di Rio de Janeiro, dalam apa yang digambarkan pihak berkuasa sebagai sambutan Malam Tahun Baru terbesar di dunia.

Tarif, gencatan senjata dan ketidaktentuan global

Sepanjang 2025, dunia menyaksikan pelbagai peristiwa yang mencorakkan sentimen global. Anak patung Labubu menjadi fenomena antarabangsa, muzium Louvre menjadi sasaran rompakan berani, dan kumpulan K-pop BTS kembali ke pentas selepas penantian panjang peminat.

Dunia turut kehilangan tokoh zoologi tersohor Jane Goodall, Vatican melantik Paus baru, manakala pembunuhan aktivis sayap kanan Charlie Kirk menyerlahkan lagi jurang politik yang mendalam di Amerika Syarikat.

Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025 dan melancarkan siri tarif perdagangan yang mencetuskan kegelisahan pasaran global. Dari pulau-pulau Pasifik Selatan hingga kilang-kilang besar di Shanghai, kesan tarif tersebut dirasai secara meluas, dan ramai menjangkakan tekanan ekonomi akan berterusan pada 2026.

“Keadaan ekonomi sangat teruk, dan saya bimbang akan kehilangan sumber pendapatan,” kata Ines Rodriguez, 50, seorang peniaga di Mexico City. “Rakan-rakan kami semua berada dalam keadaan yang sama. Kerja semakin kurang dan keuntungan sangat tipis,” kata Fernando Selvaggi, 61 tahun, pemilik perniagaan di Buenos Aires.

Di Asia Barat, selepas dua tahun peperangan yang memusnahkan sebahagian besar Gaza, tekanan Amerika Syarikat membantu mewujudkan satu gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas pada Oktober. Namun, kedua-dua pihak sudah saling menuduh pelanggaran perjanjian, menimbulkan persoalan mengenai tempoh ketahanan gencatan tersebut.

Serangan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023 mengorbankan lebih 1,200 orang, kebanyakannya orang awam. Serangan balas Israel ke atas Gaza pula mengorbankan lebih 70,000 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas, angka yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai munasabah.

Di Eropah Timur, perang Ukraine yang bermula susulan pencerobohan Russia pada 2022 semakin menghampiri ulang tahun keempat pada Februari 2026. Walaupun terdapat harapan terhadap usaha diplomatik baharu pada 2025, Russia menolak sebarang cadangan gencatan senjata sementara menjelang akhir tahun.

Rundingan terus berlangsung antara Moscow, Washington dan Kyiv, namun kebuntuan utama kekal, dengan Ukraine enggan menyerahkan wilayah dan Russia tidak bersedia mengembalikannya.

Sukan, angkasa dan kecerdasan buatan

Menjelang 2026, dunia turut menantikan perkembangan besar dalam bidang sukan, penerokaan angkasa dan teknologi kecerdasan buatan. Lebih 50 tahun selepas misi Apollo terakhir, manusia dijangka kembali menumpukan perhatian ke bulan. Misi Artemis II oleh Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dengan sokongan Elon Musk, merancang penerbangan ujian selama 10 hari mengelilingi bulan dengan angkasawan di dalamnya.

Dalam masa yang sama, kecerdasan buatan mula berdepan penelitian lebih ketat, dengan pelabur mempersoalkan sama ada ledakan AI yang berpanjangan mula menyerupai gelembung pasaran.

Dalam arena sukan, atlet dunia akan berkumpul di banjaran Dolomites di Italy untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk, manakala antara Jun dan Julai, dunia akan menyaksikan Piala Dunia bola sepak terbesar dalam sejarah. Buat pertama kali, 48 pasukan akan bertanding di kejohanan paling ditonton di dunia itu, yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada, dengan jutaan peminat dijangka hadir dari seluruh pelosok dunia.

Tatkala dunia melangkah ke tahun baharu, sambutan kali ini mencerminkan gabungan kelegaan, keletihan dan harapan berhati-hati, dengan banyak persoalan besar masih belum terjawab ketika tirai 2026 dibuka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg