Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dunia bergolak sepanjang 2025

Krisis geopolitik, isu kemanusiaan, kemusnahan, kebuluran dan alam sekitar cengkam dunia
Dec 22, 2025 | 5:30 AM
palestine, palestin, israel, jaluran gaza
Penduduk Palestin kelihatan terkejut ketika asap tebal menjulang dari Menara Mushtaha selepas serangan udara Israel di bahagian barat Bandar Gaza, Jaluran Gaza, pada 5 September. - Foto EPA

Tahun 2025 muncul sebagai salah satu tahun paling bergolak dalam sejarah moden.

Rentetan peristiwa politik, ketenteraan, kemanusiaan dan alam sekitar saling bertindan, membentuk semula hala tuju dunia.

Sepanjang tahun, dunia menyaksikan rangkaian episod yang menggoncang geopolitik, mencabar ketahanan manusia, dan menguji sistem antarabangsa daripada krisis iklim yang semakin mencengkam, hinggalah tragedi kemanusiaan di Asia Barat serta perubahan politik besar di Amerika Syarikat.

Akhirnya, 2025 muncul sebagai detik yang merumuskan semula krisis sejagat dan membuka kemungkinan peralihan kuasa dunia.

Di Timur Tengah, Gaza terus dibayangi kemusnahan dan kebuluran.

Di Amerika, Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih dan menukar haluan dasar Washington dengan pantas.

Dalam arus berita yang tidak pernah berhenti, imej yang mengisi 2025 – kanak-kanak kelaparan di Gaza; bandar yang hangus terbakar di California; dron yang menghujani Kyiv pada tengah malam; dan asap hitam menjulang dari bangunan tinggi Hong Kong — menjadi simbol dunia yang sedang berdepan titik genting.

Tahun 2025 melakar peta baru mengenai siapakah yang memimpin, siapa yang menderita, dan bagaimana dunia mungkin berubah dalam dekad mendatang.

Trump Kembali ke Rumah Putih: Perang Ekonomi, Tarif Gegar Dunia

Kemenangan Encik Trump dalam pilihan raya 2024 menandakan permulaan era kedua kepimpinannya yang lebih tegas, bersifat populis dan berkonfrontasi.

Sejurus dilantik, Encik Trump mengambil langkah drastik seperti menarik Amerika keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); meninggalkan Perjanjian Iklim Paris; memperketat had imigresen dan visa; mengumumkan peraturan tegas terhadap TikTok; menilai semula dasar jantina, tenaga, dan kebebasan bersuara.

Tindakan itu memberi mesej jelas Amerika di bawah Encik Trump memilih dasar ‘America First’ (Dahulukan Amerika) yang lebih keras, kurang diplomasi dan lebih bersifat sepihak.

Pada 4 Mei, Encik Trump mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem luar negara, mencetuskan kemarahan industri hiburan antarabangsa.

Pada Ogos, tarif besar-besaran dikenakan ke atas lebih 90 negara, termasuk China dan India.

Dunia memasuki fasa ketegangan perdagangan baru, dengan beberapa negara melancarkan tindak balas.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ketika tiba untuk menyampaikan ucapan mengenai ekonomi dan kemampuan sara hidup di Mount Airy Casino Resort di Mount Pocono, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 9 Disember.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ketika tiba untuk menyampaikan ucapan mengenai ekonomi dan kemampuan sara hidup di Mount Airy Casino Resort di Mount Pocono, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 9 Disember. - Foto REUTERS

Gaza 2025: Darurat Kemanusiaan Paling Parah dan Harapan Rapuh Gencatan Senjata

Konflik Gaza terus menjadi tumpuan moral dunia.

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang meragut 1,200 nyawa dan menyaksikan 251 orang dijadikan tebusan, serangan Israel telah menyebabkan lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh serta memaksa majoriti 2.3 juta penduduk Gaza melarikan diri.

Gencatan senjata yang dicapai pada Januari memberikan satu-satunya ruang bernafas sejak pencerobohan 2023.

Bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza, walau dalam jumlah terhad.

Pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin mencetuskan sedikit kelegaan.

Namun, pada Mac, keadaan berubah secara drastik apabila Israel melancarkan serangan baru yang meragut lebih 400 nyawa.

Israel mendakwa Hamas enggan memanjangkan gencatan senjata, tetapi Hamas menafikan.

Dari Mac hingga Mei, Israel mengenakan sekatan total selama 11 minggu yang menghentikan kemasukan makanan, air dan ubat-ubatan.

Laporan kebuluran mula muncul, kanak-kanak mencari sisa makanan, ibu bapa merayu di pusat bantuan yang kosong, dan hospital kehabisan bekalan asas.

Pada Julai, lebih 100 organisasi kemanusiaan antarabangsa mendesak Israel agar membuka laluan bantuan sepenuhnya.

Israel menuding jari kepada Hamas, tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Barat menegaskan jumlah makanan yang dibenarkan masuk hanya sekitar 15 hingga 20 peratus daripada keperluan minimum.

Gencatan senjata kedua pada Oktober dirangka pentadbiran Encik Trump – mencetuskan detik bersejarah apabila 20 tebusan Israel terakhir dibebaskan; lebih 1,700 tahanan Palestin dilepaskan; tentera Israel berundur ke garisan tertentu dan laluan bantuan dibuka semula.

Kegembiraan jelas terpancar, namun cabaran lebih besar menanti.

Selepas dua tahun peperangan, utara Gaza hanya tinggal timbunan batu dan debu.

Prasarana runtuh, bekalan air dan elektrik tidak wujud, dan ribuan keluarga kembali ke rumah yang sudah tidak kelihatan bentuknya.

Gaza memasuki fasa pascakonflik yang tidak stabil, dan dunia memerhatikan sama ada gencatan senjata itu mampu bertahan.

Seorang lelaki duduk di hujung sebuah bangunan yang musnah di kawasan kejiranan Al-Saftawi, di sebelah barat bandar Jabalia di utara Jaluran Gaza pada 10 Disember.
Seorang lelaki duduk di hujung sebuah bangunan yang musnah di kawasan kejiranan Al-Saftawi, di sebelah barat bandar Jabalia di utara Jaluran Gaza pada 10 Disember. - Foto AFP

Konflik Sempadan Thailand–Kemboja: Asia Tenggara Diseret ke Medan Ujian Baru

Asia Tenggara yang sering digambarkan sebagai rantau yang stabil tidak terkecuali daripada pergolakan pada 2025.

Konflik sempadan Thailand-Kemboja yang sudah berlarutan selama beberapa dekad kembali marak dan menjadikan kawasan sekitar kuil kuno, Preah Vihear, serta kompleks lain seperti Ta Muen Thom sebagai titik panas ketenteraan.

Sengketa mengenai sempadan di sekitar tapak warisan itu bermula sejak era selepas penjajahan dan kembali menjadi isu besar dari 2008 hingga 2011 dengan beberapa siri pertempuran kecil dan pertukaran tembakan artileri.

Pada awal 2025, ketegangan mula meningkat semula apabila kejadian kecil, termasuk pertikaian simbolik seperti larangan menyanyikan lagu kebangsaan Kemboja di kawasan kuil yang dipertikaikan, menimbulkan sentimen nasionalis di kededua negara.

Ketegangan itu akhirnya memuncak pada Julai apabila pertempuran berat tercetus di sekitar kawasan Preah Vihear dan Ta Krabey.

Artileri berat digunakan, kampung-kampung sempadan terjejas, dan puluhan mangsa dilaporkan terkorban atau cedera.

Di bawah tekanan serantau dan antarabangsa, satu perjanjian gencatan senjata menyeluruh akhirnya dicapai pada 26 Oktober melalui Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani di Sidang Kemuncak Asean di ibu negara Malaysia.

Perjanjian itu disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Encik Trump.

Namun, kedamaian itu sekali lagi terbukti rapuh.

Pada awal Disember, laporan mengenai tembakan baru, serangan mortar dan penggunaan jet pejuang Thai F-16 di kawasan sempadan mula tersebar.

Kededua pihak menuduh satu sama lain melanggar perjanjian damai.

Trak tentera membawa kereta kebal ketika pertempuran maut antara Thailand dengan Kemboja berlaku di kawasan sempadan yang dipertikaikan, di wilayah Surin, Thailand, pada 11 Disember.
Trak tentera membawa kereta kebal ketika pertempuran maut antara Thailand dengan Kemboja berlaku di kawasan sempadan yang dipertikaikan, di wilayah Surin, Thailand, pada 11 Disember. - Foto REUTERS

Konflik Iran–Israel: Amerika Sertai Serangan

Pada Jun, Israel menyerang tapak nuklear Iran.

Amerika menyertai dengan menyerang tiga lokasi kritikal, termasuk kemudahan Natanz.

Israel mendakwa ia menyasarkan “jantung program peluru berpandu Iran”.

Iran membalas dengan menyerang Israel dan pangkalan Amerika di Qatar sebelum gencatan senjata dicapai.

Episod tersebut mencetuskan kebimbangan Asia Barat berisiko memasuki perang serantau yang lebih besar.

Anggota kecemasan bekerja di kawasan kediaman yang terjejas selepas serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel, dalam kemelut konflik Israel-Iran, di Be’er Sheva, Israel, 24 Jun.
Anggota kecemasan bekerja di kawasan kediaman yang terjejas selepas serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel, dalam kemelut konflik Israel-Iran, di Be’er Sheva, Israel, 24 Jun. - Foto REUTERS

India-Pakistan: Wilayah Bergolak Selepas Serangan Pahalgam

Serangan di Pahalgam, Kashmir, pada 22 April yang membunuh 26 orang termasuk seorang warga Nepal membuka lembaran baru ketegangan Asia Selatan.

India menyalahkan kumpulan pengganas berpangkalan di Pakistan dan mengambil langkah keras dengan menggantung Perjanjian Air Indus serta melancarkan ‘Operasi Sindoor’ ke atas sasaran militan.

Pakistan menafikan dakwaan itu.

Kebangkitan dron ketenteraan menambah bahaya.

Dalam operasi itu, India menggunakan dron Harpy, bagi memusnahkan radar Pakistan menandakan evolusi peperangan moden di rantau berisiko nuklear.

Dua wanita Kashmir meratap di dalam rumah mereka yang rosak akibat bedilan rentas sempadan dari Pakistan, di kampung Salamabad di Uri, utara Srinagar, ibu kota Kashmir, India pada 8 Mei.
Dua wanita Kashmir meratap di dalam rumah mereka yang rosak akibat bedilan rentas sempadan dari Pakistan, di kampung Salamabad di Uri, utara Srinagar, ibu kota Kashmir, India pada 8 Mei. - Foto EPA

Gen Z Gegarkan Dunia

Di tengah-tengah kekacauan dunia, satu fenomena menarik muncul iaitu pengaruh politik Generasi Z (Gen Z) yang semakin berkembang.

Generasi yang dibesarkan dalam era digital dan lebih celik emosi itu menjadi suara utama dalam bantahan besar di Nepal.

Kemarahan mereka terhadap rasuah, ketidaksamaan dan kegagalan pemerintah dalam menyediakan masa depan yang stabil memaksa kejatuhan pentadbiran sedia ada.

Gelombang Gen Z tidak hanya berlaku di Nepal. Di banyak negara seperti di Indonesia, Maghribi – anak muda menuntut ketelusan politik, menolak budaya kerja yang memaksa mereka mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan.

Mereka memperjuangkan isu iklim dan mengutamakan kesihatan mental.

Tahun 2025 menunjukkan masa depan politik dunia akan bergantung kepada generasi yang lebih berani mencabar norma lama dan lebih bersedia menuntut perubahan nyata dan Gen Z muncul sebagai kekuatan politik penting pada 2025.

Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika demonstrasi di luar Parlimen di Kathmandu pada 8 September, sebagai bantahan terhadap larangan media sosial dan dakwaan rasuah oleh pemerintah.
Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika demonstrasi di luar Parlimen di Kathmandu pada 8 September, sebagai bantahan terhadap larangan media sosial dan dakwaan rasuah oleh pemerintah. - Foto AFP

Krisis Iklim: Tahun Rekod Bencana Alam

Tidak ada isu sejagat yang lebih jelas menonjol pada 2025 selain keganasan bencana alam akibat perubahan iklim.

Banjir yang melanda Asia Tenggara pada penghujung 2025 muncul sebagai antara tragedi alam paling dahsyat.

Hujan lebat luar biasa yang dipacu angin ribut tropika mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di Indonesia, Sri Lanka, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Angka korban meningkat kepada ribuan, puluhan ribu kediaman musnah atau rosak teruk, manakala jutaan penduduk terpaksa berpindah mencari perlindungan.

Pada Januari, kebakaran besar Eaton dan Palisades memusnahkan ribuan rumah di California, menjadikannya kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Amerika.

Saintis menjelaskan kira-kira 25 peratus bahan pencetus kebakaran itu berasal daripada kesan perubahan iklim, yang mempercepat tumbuhan sebelum akhirnya mengeringkannya hingga menjadi bahan mudah menyala.

Bencana seterusnya berlaku pada Julai apabila empat bulan hujan turun hanya dalam beberapa jam di Texas, Amerika menyebabkan banjir kilat yang mengorbankan lebih 130 orang.

Pada Oktober, Taufan Melissa pula membadai Caribbean dengan kekuatan luar biasa, memusnahkan Jamaica, Haiti, Cuba dan Bahamas dengan angin dan ribut terkuat dalam lebih 150 tahun.

Di Eropah, 2025 direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah, disertai gelombang haba dan kebakaran hutan yang memusnahkan ratusan kilometer kawasan tumbuhan.

Pemandangan menunjukkan sisa-sisa pokok yang tumbang dan hanyut di kawasan Pondok Pesantren dan Masjid Darul Mukhlisin selepas banjir kilat melanda kawasan, Aceh Tamiang di Sumatera Utara, Infdonesia, pada 10 Disember.
Pemandangan menunjukkan sisa-sisa pokok yang tumbang dan hanyut di kawasan Pondok Pesantren dan Masjid Darul Mukhlisin selepas banjir kilat melanda kawasan, Aceh Tamiang di Sumatera Utara, Infdonesia, pada 10 Disember. - Foto AFP

Peperangan Russia-Ukraine: Dron Jadi Senjata Paling Berpengaruh

Dalam tahun keempat peperangan Russia-Ukraine, tiada tanda konflik akan berakhir.

Russia terus memperluaskan kawalan di wilayah Donbas dan meningkatkan serangan udara terhadap Kyiv.

Dron menjadi peralatan utama peperangan moden, murah, tepat dan sukar dikesan.

Di Ukraine, Russia melancarkan ratusan dron setiap malam untuk menyerang prasarana tenaga.

Pada September, Russia melancarkan serangan dron terbesar lebih 800 dron serentak menghentam bangunan pemerintah di Kyiv buat kali pertama.

Ukraine pula melancarkan serangan balas memusnahkan puluhan pesawat Russia di pangkalan yang berada ribuan kilometer dari medan perang.

Dunia kini menyaksikan satu perlumbaan senjata baru bukan dengan jet pejuang, tetapi dron autonomi.

Namun penderitaan rakyat Ukraine tidak berkurangan.

Pada November, serangan Russia terhadap loji tenaga negara itu menyebabkan jutaan rakyat berada dalam kegelapan menjelang musim sejuk.

Rundingan damai antara Kyiv, Moscow dengan Washington pula gagal menunjukkan kemajuan, meskipun Encik Trump bertemu Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky; serta Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam usaha mencari ruang diplomasi.

Anggota bomba bekerja di lokasi sebuah bangunan pangsapuri yang terkena serangan dron Russia dalam serangan berterusan Moscow ke atas Ukraine, di bandar Okhtyrka, wilayah Sumy, Ukraine pada Oktober.
Anggota bomba bekerja di lokasi sebuah bangunan pangsapuri yang terkena serangan dron Russia dalam serangan berterusan Moscow ke atas Ukraine, di bandar Okhtyrka, wilayah Sumy, Ukraine pada Oktober. - Foto REUTERS

Perlumbaan Angkasa

Kuasa-kuasa besar dunia mempercepat langkah dalam meneroka angkasa.

Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) kini berada pada fasa akhir persiapan untuk menghantar mis, Artemis 2, ke bulan pada 2026.

China pula meneruskan misi, Chang’e-7, yang menyasarkan kawasan bulan di kutub selatan sebagai sebahagian daripada strategi saintifik jangka panjangnya.

Dalam sektor komersial pula, SpaceX mencatat pencapaian baru dengan 156 pelancaran Falcon 9, menandakan kapasiti pelancaran yang semakin dominan.

Keseluruhan perkembangan itu menunjukkan perlumbaan angkasa tidak lagi sekadar soal prestij, tetapi telah berkembang menjadi medan persaingan teknologi dan pertahanan strategik yang kian sengit.

Angkasawan, Encik Wang Jie, daripada kru Shenzhou-20 melambaikan tangan di luar kapsul kepulangan pesawat angkasa Shenzhou-21 yang mendarat di tapak pendaratan Dongfeng di Wilayah Autonomi Mongolia, China pada 14 November.
Angkasawan, Encik Wang Jie, daripada kru Shenzhou-20 melambaikan tangan di luar kapsul kepulangan pesawat angkasa Shenzhou-21 yang mendarat di tapak pendaratan Dongfeng di Wilayah Autonomi Mongolia, China pada 14 November. - Foto REUTERS

Tragedi Udara Air India 171

Pada 12 Jun, Air India 171 terhempas hanya 32 saat selepas berlepas dari Ahmedabad, India ke London.

Daripada 242 orang di dalam pesawat, hanya seorang terselamat.

Nahas itu menggegarkan dunia penerbangan dan mencetuskan semakan keselamatan sejagat terhadap pesawat Dreamliner.

Seorang lelaki bersiap untuk mengalihkan bangkai pesawat, Air India Boeing 787-8 Dreamliner, yang terhempas ketika berlepas dari lapangan terbang di Ahmedabad, India, pada 14 Jun.
Seorang lelaki bersiap untuk mengalihkan bangkai pesawat, Air India Boeing 787-8 Dreamliner, yang terhempas ketika berlepas dari lapangan terbang di Ahmedabad, India, pada 14 Jun. - Foto REUTERS

Bekas PM Bangladesh Sheikh Hasina dihukum

Sebuah mahkamah di Bangladesh menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun ke atas bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada 27 November atas tuduhan rasuah, seminggu selepas dia dijatuhi hukuman mati atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina melarikan diri dari Bangladesh dengan menaiki helikopter pada 5 Ogos 2024, menyusuli bantahan selama berminggu-minggu oleh sekumpulan pelajar yang menentang pemerintahan autokratiknya.

Para pelajar melaungkan slogan berhampiran mural bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang dirosakkan ketika mereka mengadakan bantahan menuntut perbicaraan terhadap Hasina, berhampiran Universiti Dhaka.
Para pelajar melaungkan slogan berhampiran mural bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang dirosakkan ketika mereka mengadakan bantahan menuntut perbicaraan terhadap Hasina, berhampiran Universiti Dhaka. - Foto AFP

Tragedi di Hong Kong: ‘Holocaust Bangunan Tinggi’

Pada 26 November, kebakaran besar memusnahkan sebuah kompleks lapan blok, Wang Fuk Court, di Hong Kong, mengorbankan lebih 100 orang dan memindahkan ribuan penduduk.

Kebakaran itu membangkitkan persoalan serius tentang keselamatan bangunan, kepadatan penduduk dan kelemahan sistem keselamatan bandar mega.

Encik Wong, 71 tahun, dalam keadaan sedih selepas memaklumkan isterinya terperangkap di dalam Wang Fuk Court ketika kebakaran besar berlaku di Tai Po, Hong Kong, China, pada 26 November.
Encik Wong, 71 tahun, dalam keadaan sedih selepas memaklumkan isterinya terperangkap di dalam Wang Fuk Court ketika kebakaran besar berlaku di Tai Po, Hong Kong, China, pada 26 November. - Foto REUTERS

Paris: Rompakan Permata Napoleon

Pada 19 Oktober, penjenayah menyamar sebagai pekerja pembinaan dan mencuri permata Napoleon dari Muzium Louvre, Paris dalam masa lapan minit.

Ia dianggap salah satu rompakan seni paling berani abad ini.

Petugas keselamatan memasang pengadang berhampiran Piramid kaca Muzium Louvre ketika muzium itu kekal ditutup sehari selepas rompakan permata yang dramatik di Paris, Perancis, pada 20 Oktober.
Petugas keselamatan memasang pengadang berhampiran Piramid kaca Muzium Louvre ketika muzium itu kekal ditutup sehari selepas rompakan permata yang dramatik di Paris, Perancis, pada 20 Oktober. - Foto REUTERS

New York Pilih Datuk Bandar Muslim Pertama

Pada 4 November, Encik Zohran Mamdani, mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya Datuk Bandar New York dengan 50.4 peratus undi, menewaskan Encik Andrew Cuomo.

Kemenangannya menandakan perubahan besar dalam politik bandar yang kaya dengan kepelbagaian etnik.

Datuk Bandar New York terpilih, Encik Zohran Mamdani, mendengar soalan seorang wartawan semasa sidang akhbar di Bandar New York, Amerika Syarikat, pada 9 Disember.
Datuk Bandar New York terpilih, Encik Zohran Mamdani, mendengar soalan seorang wartawan semasa sidang akhbar di Bandar New York, Amerika Syarikat, pada 9 Disember. - Foto REUTERS

“Sepanjang tahun, dunia menyaksikan rangkaian episod yang menggoncang geopolitik, mencabar ketahanan manusia, dan menguji sistem antarabangsa daripada krisis iklim yang semakin mencengkam, hinggalah tragedi kemanusiaan di Asia Barat serta perubahan politik besar di Amerika Syarikat. Akhirnya, 2025 muncul sebagai detik yang merumuskan semula krisis sejagat dan membuka kemungkinan peralihan kuasa dunia.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg