Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua pegawai kanan Pertamina, perunding Chromebook dipenjara dalam kes rasuah
Dua pegawai kanan Pertamina, perunding Chromebook dipenjara dalam kes rasuah
Dua pegawai kanan Pertamina, perunding Chromebook dipenjara dalam kes rasuah
JAKARTA: Dua pegawai kanan syarikat tenaga negara Indonesia dan seorang perunding teknologi dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Jakarta dalam dua kes rasuah berprofil tinggi membabitkan kerugian berbilion rupiah kepada negara itu.
Mahkamah Rasuah Jakarta pada 12 Mei menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas Presiden Pengarah Pertamina Patra Niaga, Alfian Nasution, atas kes rasuah berkaitan pemerolehan dan pengurusan bahan api yang didakwa menyebabkan kerugian negara mencecah 285 trilion rupiah ($20.7 bilion).
Dalam kes sama, bekas Pengarah Pemasaran dan Perdagangan Pertamina, Hanung Budya Yuktyanta, turut dijatuhi hukuman enam tahun penjara.
Kes itu menjadi antara skandal rasuah terbesar dalam sektor tenaga Indonesia dan mencetuskan perhatian ramai terhadap pengurusan subsidi minyak serta amalan pengadaan dalam syarikat milik negara itu.
Panel hakim Mahkamah Daerah Jakarta Pusat mendapati kedua-dua tertuduh bersalah meluluskan pelantikan pengendali terminal simpanan minyak yang tidak memenuhi piawaian, membenarkan pembayaran subsidi Pertalite yang tidak sepadan dengan data pengagihan sebenar, serta menjual diesel di bawah kos pengeluaran.
Bagaimanapun, hakim menyatakan pihak pendakwa gagal membuktikan kedua-dua tertuduh telah memperkayakan diri sendiri secara langsung menerusi skim tersebut.
Hukuman itu jauh lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwa yang sebelum ini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Alfian.
Kes berprofil tinggi itu turut melibatkan beberapa eksekutif lain daripada Pertamina International Shipping dan syarikat swasta yang sedang dibicarakan secara berasingan.
Antara suspek utama ialah ahli perniagaan minyak, Mohammad Riza Chalid, yang kini masih menjadi buruan pihak berkuasa dan dipercayai berada di luar negara.
Pendakwa raya mendakwa Chalid, pemilik Orbit Terminal Merak, menyewakan kemudahan simpanan minyak kepada Pertamina pada harga yang dinaikkan secara tidak munasabah.
Pada Februari lalu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap bekas Presiden Pengarah Pertamina Patra Niaga, Riva Siahaan, dalam kes berkaitan.
Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Rasuah Jakarta turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap perunding teknologi, Ibrahim Arief, dalam kes rasuah pemerolehan komputer riba Google Chromebook untuk pelajar sekolah di Indonesia.
Projek itu dilaksanakan antara 2020 dengan 2022 di bawah dasar pendigitalan sekolah ketika kementerian itu diterajui bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim.
Hakim Purwanto Abdullah, berkata mahkamah mendapati Ibrahim terlibat dalam tindakan yang menyebabkan kerugian negara dan memberi manfaat kepada beberapa pihak termasuk individu dan syarikat tertentu.
“Mahkamah menyatakan tertuduh terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan jenayah rasuah bersama pihak lain seperti dalam pertuduhan subsidiari,” katanya.
Selain hukuman penjara, Ibrahim turut dikenakan denda 500 juta rupiah atau tambahan hukuman penjara 120 hari jika gagal membayarnya.
Pihak pendakwa sebelum ini mendakwa bahawa projek perolehan Chromebook itu telah menyebabkan kerugian negara sebanyak 2.18 trilion rupiah.
Mahkamah mendapati Ibrahim, walaupun bukan pegawai pemerintah, mempunyai kedudukan strategik kerana mempunyai akses langsung kepada Nadiem dan pegawai kanan kementerian lain.
Hakim turut menyatakan Ibrahim sebelum ini pernah membangkitkan kelemahan teknikal Chromebook, tetapi kemudian menyokong penggunaan peranti tersebut dalam perbincangan dengan pemerintah.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu bukan sebulat suara apabila dua hakim mengemukakan pandangan berbeza dan berpendapat Ibrahim sepatutnya dibebaskan kerana hanya bertindak sebagai perunding teknikal tanpa kuasa membuat keputusan.
Selepas keputusan dibacakan, Ibrahim berkata dia menghormati proses undang-undang tetapi menganggap terdapat ketidakadilan dalam keputusan itu.
“Saya tetap menghormati proses undang-undang yang berjalan, tetapi secara peribadi saya rasakan ada ketidakadilan yang jelas,” katanya kepada wartawan.
Peguamnya, Encik Afrian Bondjol, berkata pihak pembelaan akan menggunakan tempoh tujuh hari yang diberikan mahkamah sebelum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan.
Kes Chromebook itu turut melibatkan beberapa bekas pegawai kanan kementerian pendidikan Indonesia yang didakwa memanipulasi proses tender bagi memberi kelebihan kepada komputer riba keluaran Google walaupun pasukan penyelidik kementerian sebelum itu tidak mengesyorkan penggunaannya di kawasan yang mempunyai akses Internet lemah.
Sementara itu, Nadiem yang sedang dibicarakan turut menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai “tindakan menjadikan dasar pemerintah sebagai kes jenayah”.
“Sepanjang saya menjadi menteri, saya tidak pernah menandatangani apa-apa berkaitan pemerolehan Chromebook di kementerian,” katanya dalam satu prosiding mahkamah pada 11 Mei.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Nadiem untuk menjalani tahanan rumah atas faktor kesihatan. – Agensi berita.
