Perbicaraan rasuah bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Encik Nadiem Makarim, menyaksikan perkembangan baru pada 22 April apabila peguam bela beliau bertindak keluar dari sesi perbicaraan sebagai tanda protes terhadap proses yang disifatkan sebagai tidak adil dan tidak seimbang.

Pasukan pembelaan memaklumkan kepada media bahawa antara isu utama adalah keputusan mahkamah untuk meneruskan sesi hingga lewat malam, malah berlarutan sehingga selepas tengah malam.

Mereka turut mendakwa mahkamah tidak memberi masa mencukupi kepada pihak pembelaan untuk menyediakan kes secara adil, selain wujud jurang ketara antara peluang yang diberikan kepada pendakwa dengan tertuduh untuk mengemukakan bukti, saksi dan saksi pakar.

Menurut pasukan itu, pihak pendakwa diberikan 11 sesi dalam tempoh tiga bulan, manakala pihak pembelaan hanya diberikan tiga sesi dalam tempoh dua minggu, sesuatu yang disifatkan mustahil untuk dipenuhi serta tidak mengambil kira keadaan kesihatan Encik Nadiem yang semakin merosot.

Pihak pendakwa pula menyatakan ketidakhadiran pasukan pembelaan pada sesi 22 April sebagai penghinaan terhadap mahkamah.

“Isu utama ialah ketidakadilan dalam proses.

“Pertama, tiada keseimbangan seperti yang ditetapkan dalam Kanun Tatacara Jenayah baharu. Pembahagian masa juga perlu seimbang, dengan tertuduh diberikan tempoh yang sama seperti pendakwa,” kata peguam bela, Encik Dodi Abdul Kadir, kepada Berita Harian (BH).

Pasukan pembelaan turut mendakwa saksi dipengaruhi melalui soalan yang bersifat ‘memandu’ jawapan oleh pihak pendakwa dan hakim.

“Soalan seperti itu tidak sepatutnya dibenarkan di mahkamah, dan hakim tidak seharusnya mengemukakan soalan sedemikian.

“Perkara ini menunjukkan usaha untuk mempengaruhi proses pemeriksaan. Kami secara rasmi membantah tindakan tersebut,” kata Encik Dodi.

Kes itu berkaitan program pendigitalan Kementerian Pendidikan antara 2019 dengan 2022 ketika Encik Nadiem menjadi menteri.

Pendakwa menuduh beliau menyalahgunakan kuasa dengan memihak kepada perolehan peranti berasaskan Chrome, yang didakwa menyebabkan negara kerugian sekitar 2.18 trilion rupiah ($190 juta).

Namun, Encik Nadiem menafikan semua tuduhan tersebut dan menegaskan beliau tidak memperoleh manfaat daripada 809 bilion rupiah yang dikaitkan dengan pelaburan Google dalam syarikat Gojek yang diasaskannya, memandangkan sebahagian besar pelaburan itu berlaku sebelum beliau dilantik sebagai menteri oleh mantan Presiden Joko Widodo bagi penggal 2019 hingga 2024.

Dalam sesi pada 21 April, Encik Nadiem, yang kelihatan sugul, bergari dan memakai jaket tahanan berwarna oren, tidak dapat menahan air mata ketika menjawab soalan wartawan sebelum dibawa kembali ke kenderaan penjara.

Beliau berkata keterangan saksi pakar pada hari itu menunjukkan kejanggalan dalam kes berkenaan.

Pendakwa mendakwa sistem Pengurusan Peranti Chrome (CDM) menyebabkan kerugian negara, namun, saksi pakar menyatakan sistem itu sebenarnya meningkatkan ketelusan dan mencegah kerugian.

“Program ini tidak menyebabkan kerugian.

“Sebaliknya, ia menjimatkan perbelanjaan kerana pilihan yang dibuat lebih murah daripada harga pasaran, dan perisian tersebut juga percuma.

“Inilah paradoks dan ironi kes ini, apabila golongan muda yang mahu menghapuskan unsur rasuah pula dituduh melakukan rasuah,” kata Encik Nadiem.

“Saya hanya mahu semua ini berakhir. Saya benar-benar letih,” katanya sambil menangis.