Topik diikuti
Pergi ke BHkuBola sepak jadi wadah belia dan asatizah bantu projek naik taraf masjid
Bola sepak jadi wadah belia dan asatizah bantu projek naik taraf masjid
Masjid Alkaff Kampung Melayu hantar pasukan Belia Alkaff dan Abang Abang Alkaff warnai Pesta Bola Sepak 2026
Bola sepak jadi wadah belia dan asatizah bantu projek naik taraf masjid
Masjid Alkaff Kampung Melayu (MAKM) mewarnai Pesta Bola Sepak, atau Football Fiesta 2026, dengan penyertaan pasukannya, Belia Alkaff dan Abang Abang Alkaff, di Pusat Latihan Lion City Sailors pada Ahad, 7 Jun lalu.
Pasukan Belia Alkaff terdiri daripada para belia aktif masjid yang menunjukkan semangat kesukanan dan komitmen tinggi sepanjang kejohanan.
Sementara itu, pasukan Abang Abang Alkaff dianggotai oleh Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum, selaku Pegawai Pembangunan Belia (YDO) MAKM serta beberapa asatizah daripada pelbagai masjid dan pertubuhan Islam yang tampil secara sukarela untuk mewakili MAKM.
Penyertaan mereka bukan sekadar beraksi di padang, malah sebagai tanda sokongan terhadap Projek Peningkatan Masjid (MUP) MAKM.
Dengan hadiah utama sebanyak $5,000 menanti juara, pasukan Abang Abang Alkaff berazam menyumbang sepenuhnya wang kemenangan kepada projek tersebut sekiranya berjaya muncul juara.
Pasukan Belia Alkaff turut mencuri perhatian sebagai pasukan paling muda dalam kejohanan tersebut.
Walaupun berdepan dengan pasukan-pasukan besar yang mewakili pertubuhan dan syarikat seperti Singapore Press Holdings (SPH) dan Samsung, mereka tetap menunjukkan semangat juang tinggi serta keberanian mahu bersaing di pentas yang lebih besar.
Perjalanan pasukan Abang Abang Alkaff dalam kejohanan itu pula amat memberangsangkan.
Mereka berjaya mengharungi hampir setiap pusingan dengan cemerlang sebelum tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.
Walaupun terlepas peluang ke peringkat seterusnya, pasukan tersebut tetap berjaya menamatkan kejohanan di tempat kelima.
Menurut salah seorang pemain, Ustaz Badrul Hisyam Azman, keputusan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka.
“Saya bangga dengan pasukan saya kerana mereka telah memberikan yang terbaik. Walaupun tersangkut pada peringkat sepakan penalti, niat utama kami mahu membanggakan Masjid Alkaff Kampung Melayu. Apa jua kejayaan yang kami capai adalah kemenangan buat MAKM,” kata Ustaz Badrul.
Beliau turut mengajak masyarakat agar terus menyokong Projek Peningkatan Masjid yang sedang dijalankan.
Semangat yang dipamerkan kedua-dua pasukan membuktikan bahawa usaha membangunkan masjid bukanlah tanggungjawab individu semata-mata.
Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak yang datang daripada latar belakang berbeza tetapi berkongsi matlamat yang sama mahu menyumbang kepada pembangunan dan masa depan masjid.
Ustazah Nursakina Khalida berkata beliau amat terkesan melihat kesungguhan para belia tersebut.
“Saya melihat sendiri dedikasi mereka sepanjang perlawanan. Kami berbangga dengan sumbangan yang mereka berikan. Saya berharap usaha mereka akan terus dihargai.
“Semoga pengalaman ini menjadi kenangan bermakna yang membina keyakinan diri mereka sebagai belia dan pewaris masa depan masyarakat,” jelas Ustazah Nursakina.
Walaupun pulang tanpa trofi kejuaraan, kedua-dua pasukan berjaya membawa pulang sesuatu yang lebih bernilai – semangat kebersamaan, sokongan terhadap masjid, dan inspirasi bahawa setiap usaha, walau dalam apa jua bentuk, mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’ di ruangan ‘Rujukan’ dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
3. Kirim cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’ kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek.
4. Hadir di pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, dari 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi hingga 5 petang.
5. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.
