Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump, Xi dijangka bincang Iran, Taiwan dan AI dalam pertemuan di Beijing
Trump, Xi dijangka bincang Iran, Taiwan dan AI dalam pertemuan di Beijing
Sidang kemuncak dijangka lebih tumpu kepada usaha redakan ketegangan perdagangan dua kuasa ekon terbesar dunia
Trump, Xi dijangka bincang Iran, Taiwan dan AI dalam pertemuan di Beijing
WASHINGTON/BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka memberi tekanan kepada Presiden China, Encik Xi Jinping, berhubung perang Iran, ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di Beijing minggu ini, namun sidang kemuncak berprofil tinggi itu dijangka lebih tertumpu kepada usaha meredakan ketegangan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
Lawatan Encik Trump ke China dari 13 hingga 15 Mei merupakan kunjungan pertamanya ke negara itu sejak kembali memegang jawatan presiden bagi penggal kedua.
Rumah Putih berkata lawatan itu akan dipenuhi acara simbolik dan protokol rasmi termasuk kunjungan ke Kuil Syurga di Beijing serta jamuan negara mewah yang dianjurkan pemerintah China.
Namun di sebalik unsur simbolik tersebut, pegawai Amerika menegaskan bahawa Encik Trump akan menggunakan lawatan itu untuk memperkukuhkan kepentingan ekonomi Washington serta membincangkan beberapa isu strategik utama termasuk Iran, Taiwan, kecerdasan buatan (AI), perdagangan, tarif perdagangan dan galian kritikal.
“Sudah tentu Presiden Trump tidak pernah melakukan lawatan hanya untuk kepentingan simbolik semata-mata,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar Utama Rumah Putih, Cik Anna Kelly.
“Rakyat Amerika boleh menjangkakan presiden akan membawa pulang lebih banyak perjanjian yang menguntungkan negara,” katanya kepada wartawan.
Cik Kelly berkata lawatan itu akan memberi tumpuan kepada usaha “mengimbangi semula hubungan dengan China” dan memastikan prinsip timbal balik serta keadilan ekonomi diperkukuhkan.
Encik Trump dijadual tiba di Beijing pada petang 13 Mei selepas lawatan itu sebelum ini ditangguhkan pada Mac akibat perang Iran yang tercetus selepas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Teheran 28 Februari lalu.
Menurut Rumah Putih, Encik Trump dan Encik Xi akan menghadiri upacara sambutan rasmi pada pagi 14 Mei sebelum mengadakan mesyuarat dua hala.
Kedua-dua pemimpin kemudian dijadual melawat Kuil Syurga sebelum menghadiri jamuan negara pada sebelah malam.
Pada 15 Mei, Encik Trump dan Encik Xi akan mengadakan sesi minum teh serta makan tengah hari kerja sebelum Encik Trump berlepas pulang ke Washington.
Cik Kelly turut berkata Encik Xi dan isterinya dijangka melakukan lawatan balas ke Washington lewat 2026 ini.
Walaupun hal perdagangan dijangka mendominasi pertemuan itu, pegawai kanan pentadbiran Encik Trump berkata presiden Amerika itu akan terus mendesak Beijing agar menggunakan pengaruhnya terhadap Iran.
“Saya menjangkakan presiden akan memberi tekanan berkaitan Iran,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika yang enggan dinamakan.
Pegawai itu berkata Encik Trump telah beberapa kali membangkitkan isu pendapatan Iran dan Russia daripada jualan minyak kepada China dalam perbualannya dengan Encik Xi.
Beliau turut menyentuh penjualan barangan dwiguna yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan dan awam.
“Saya menjangkakan perbincangan itu akan diteruskan,” katanya.
Amerika juga dijangka membangkitkan isu sekatan yang dikenakan ke atas China berkaitan perang Iran.
Pada masa sama, Washington dan Beijing sedang berbincang mengenai kemungkinan melanjutkan gencatan perang perdagangan selama setahun yang dipersetujui kedua-dua pemimpin pada Oktober 2025.
Namun, hubungan kedua-dua negara masih tegang berikutan tarif besar-besaran yang dikenakan Trump terhadap barangan China.
Seorang lagi pegawai Amerika berkata masih belum pasti sama ada lanjutan perjanjian perdagangan itu akan diumumkan ketika lawatan Encik Trump kali ini.
“Masih belum jelas sama ada ia akan dilanjutkan sekarang atau kemudian. Kami sentiasa berhubung dengan pihak China,” katanya. “Saya fikir kedua-dua pihak mahukan kestabilan.”
Pegawai Amerika berkata kedua-dua negara dijangka mengumumkan beberapa mekanisme baharu bagi memperkukuhkan perdagangan dan pelaburan dua hala.
China juga dijangka mengumumkan pembelian melibatkan pesawat Boeing, produk pertanian Amerika dan tenaga.
Washington dan Beijing turut dijangka mengumumkan pembentukan “Lembaga Perdagangan” dan “Lembaga Pelaburan” bagi mengenal pasti bidang kerjasama yang memberi manfaat bersama.
Selain itu, kedua-dua pihak akan membincangkan lanjutan perjanjian galian nadir bumi yang membolehkan bekalan bahan kritikal dari China terus mengalir ke Amerika.
Perjanjian itu dicapai pada 2025 lalu selepas perang perdagangan yang menyaksikan Amerika mengenakan tarif tiga angka terhadap produk China manakala Beijing mengancam menyekat eksport galian nadir bumi.
Pada Februari lalu, Mahkamah Agung Amerika memutuskan Encik Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebahagian tarif globalnya, namun Encik Trump berikrar akan menggunakan saluran undang-undang lain untuk mengenakan semula cukai tersebut.
Isu Taiwan juga dijangka menjadi antara topik utama dalam pertemuan Encik Trump dan Encik Xi.
China terus menuntut Taiwan sebagai wilayahnya, manakala Amerika kekal sebagai penyokong antarabangsa dan pembekal senjata utama kepada pulau yang diperintah secara demokrasi itu.
Pegawai Amerika berkata Encik Trump dan Encik Xi telah lama berbincang mengenai Taiwan dalam beberapa komunikasi terdahulu.
“Dalam beberapa interaksi terakhir mereka, Taiwan sentiasa menjadi topik perbincangan,” kata seorang pegawai.
China sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan kehadiran ketenteraan berhampiran Taiwan, namun pegawai Amerika menegaskan dasar Washington terhadap pulau itu tidak akan berubah.
Kedua-dua negara juga dijangka membuka saluran komunikasi mengenai AI.
Pegawai Amerika berkata Washington semakin bimbang terhadap pembangunan model AI canggih oleh China dan mahu mewujudkan mekanisme komunikasi bagi mengelakkan konflik berkaitan teknologi tersebut.
“Kami mahu menggunakan peluang pertemuan pemimpin ini untuk membuka perbincangan sama ada perlu diwujudkan saluran komunikasi berkaitan AI,” kata seorang pegawai Amerika.
Amerika juga berharap dapat memulakan rundingan berkaitan senjata nuklear dengan China, namun Beijing dilaporkan masih enggan membincangkan senjata nuklearnya.
Menurut pegawai Amerika, China secara peribadi telah memberitahu Washington bahawa mereka “tidak berminat” untuk berbincang mengenai kawalan senjata nuklear buat masa ini. – Agensi berita.
