Topik diikuti
Pergi ke BHkuBas terbalik di Mesir ragut sekurang-kurangnya 22 nyawa
Bas terbalik di Mesir ragut sekurang-kurangnya 22 nyawa
KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 28 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbalik di Semenanjung Sinai, Mesir, pada 2 September, kata Kementerian Kesihatan negara itu.
Kemalangan berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan antara Dahab dengan Nuweiba, dua bandar peranginan popular di pesisir Laut Merah, berhampiran Teluk Aqaba.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, Dr Hossam Abdel Ghaffar, berkata puluhan ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
Mereka yang cedera dibawa ke beberapa hospital di kawasan berkenaan, termasuk Hospital Pusat Nuweiba dan Hospital Antarabangsa Sharm El-Sheikh, untuk mendapatkan rawatan.
Pihak berkuasa Mesir belum mengeluarkan maklumat lengkap mengenai kewarganegaraan semua mangsa yang terbunuh dan cedera.
Punca nahas juga masih belum diketahui.
Namun, Kementerian Luar Jordan mengesahkan beberapa rakyat negara itu merupakan antara mangsa.
Saluran televisyen rasmi Jordan, Al-Mamlaka, melaporkan 10 rakyat Jordan terbunuh dalam nahas berkenaan.
“Hingga 10 rakyat Jordan meninggal dunia selepas sebuah bas penumpang terbalik di jalan Dahab-Nuweiba di wilayah Sinai Selatan, Mesir,” lapor saluran itu.
Menurut laporan media, bas tersebut membawa 43 penumpang, termasuk 22 warga Jordan.
Laporan media tempatan pula menyatakan bas itu dimiliki sebuah syarikat Mesir yang menyediakan khidmat pengangkutan penumpang antara Kahirah dengan Amman, ibu kota Jordan.
Kawasan selatan Semenanjung Sinai merupakan antara destinasi pelancongan utama Mesir, terutama bagi pengunjung yang mahu menikmati pantai dan kegiatan menyelam di Laut Merah.
Kawasan itu menempatkan beberapa bandar peranginan terkenal termasuk Sharm El-Sheikh, Dahab dan Nuweiba, yang menerima ramai pelancong tempatan dan asing setiap tahun.
Kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa kerap berlaku di Mesir akibat pemanduan berbahaya, penyelenggaraan kenderaan yang lemah, serta penguatkuasaan undang-undang yang longgar.
Nahas terkini itu berlaku ketika Mesir berusaha menangani peningkatan jumlah kematian di jalan raya.
Pada Ogos, satu lagi kemalangan di wilayah Ismailia, timur laut Mesir, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan menyebabkan lebih 30 yang lain cedera.
Pada 2023 pula, sekurang-kurangnya 32 orang maut dan 63 cedera apabila sebuah bas dan beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan di utara Kahirah.
Data Agensi Pusat Mobilisasi Awam dan Perangkaan Mesir menunjukkan 5,829 orang maut akibat nahas jalan raya di negara itu sepanjang 2025.
Jumlah tersebut meningkat lebih 10 peratus berbanding 2024.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 84,553 orang mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya, dengan jumlah mangsa cedera menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2021.
Peningkatan angka korban mendorong pemerintah Mesir memperketat hukuman terhadap kesalahan lalu lintas pada Disember lalu, termasuk menaikkan denda bagi kesalahan memandu melebihi had laju.
Kemalangan di jalan Dahab-Nuweiba itu sekali lagi menimbulkan keprihatinan berhubung keselamatan jalan raya di Mesir, khususnya di laluan yang menghubungkan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan utama negara tersebut. – Agensi berita.
