SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bas bawa 24 anggota jemaah umrah Indonesia terbakar, semua selamat

Bas bawa 24 anggota jemaah umrah Indonesia terbakar, semua selamat

Mar 30, 2026 | 12:23 PM

Bas bawa 24 anggota jemaah umrah Indonesia terbakar, semua selamat

jemaah umrah, kebakaran bas
Semua penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, dengan proses pemindahan dilakukan segera dan teratur sejurus selepas kejadian di lebuh raya berhampiran Madinah, Arab Saudi. - Foto POLRI.GO.ID

MADINAH: Sebuah bas yang membawa 24 anggota jemaah umrah Indonesia terbakar di lebuh raya berhampiran Madinah, Arab Saudi, namun semua penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Konsul Jeneral Indonesia di Jeddah, Encik Yusron Ambary, mengesahkan tiada kematian atau kecederaan berlaku, dan kesemua jemaah telah dipindahkan dengan selamat menggunakan bas gantian.

Menurut beliau, kejadian berlaku pada 26 Mac waktu tempatan, ketika bas dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar selepas melepasi pusat pemeriksaan terakhir.

“Pemandu segera memberhentikan kenderaan selepas tayar pecah dan asap muncul dari bahagian hadapan bas. Semua penumpang diarahkan turun,” katanya.

Encik Yusron berkata kebanyakan penumpang berasal dari Sumatera Barat, manakala pemandu bas adalah warga Mesir.

“Semua anggota jemaah selamat dan tiada kecederaan fizikal. Pasport juga tidak terbakar,” katanya, sambil memaklumkan semua bagasi dan barangan peribadi yang ditinggalkan dalam bas musnah dalam kebakaran.

Pasukan Perlindungan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jeddah turut bertemu ketua rombongan dan wakil jemaah di Madinah bagi memastikan keadaan mereka.

Siasatan awal mendapati tiada unsur kecuaian pemandu, sebaliknya kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal kenderaan.

Menurut KJRI, jemaah kini berada dalam keadaan baik dan ditempatkan di hotel di Madinah, walaupun beberapa kanak-kanak mengalami trauma ringan akibat kejadian itu.

Kesemua jemaah dijadual pulang ke Indonesia pada 31 Mac menaiki penerbangan Garuda Indonesia dari Madinah.

Pejabat Urusan Haji di bawah Kementerian Haji dan Umrah Indonesia turut meminta pihak berkaitan memberikan pampasan sewajarnya kepada mereka yang terjejas.

Pegawai Teknikal Haji, Encik M. Ilham Effendy, berkata pihaknya sedang berhubung dengan penyedia perkhidmatan bagi memastikan hak jemaah dipenuhi, memandangkan semua barangan mereka musnah.

Dalam masa sama, kementerian menggesa semua penganjur umrah meningkatkan standard keselamatan pengangkutan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah di Tanah Suci. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg