WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan telah mencapai persetujuan “secara prinsip” bagi satu perjanjian yang berpotensi menamatkan perang di Asia Barat, namun, kelulusan muktamad daripada pemimpin kedua-dua negara dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.

Seorang pegawai kanan Amerika berkata, persetujuan awal itu melibatkan pembukaan semula Selat Hormuz serta komitmen Iran untuk melupuskan bekalan uranium diperkaya tinggi miliknya.

Bagaimanapun, kaedah pelupusan uranium itu masih menjadi perkara utama dalam rundingan antara kedua-dua pihak.

“Persoalannya sekarang ialah bagaimana proses itu akan dilakukan,” kata pegawai terbabit kepada wartawan pada 24 Mei.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini menegaskan Washington mahu bahan nuklear itu dirampas sebagai sebahagian usaha membendung program nuklear Iran.

Walaupun Encik Trump pada 23 Mei mengumumkan di media sosial kedua-dua negara “hampir menyelesaikan” Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan keamanan, sehari kemudian beliau memberi isyarat yang lebih berhati-hati.

“Saya telah mengarahkan wakil rundingan supaya tidak tergesa-gesa mencapai perjanjian,” katanya menerusi platform Truth Social, pada 24 Mei.

Encik Trump, mengakui bahawa perjanjian dengan Iran masih belum dimuktamadkan sepenuhnya walaupun rundingan menunjukkan kemajuan.

Beliau berkata beberapa aspek utama telah dipersetujui, namun, terdapat butiran tertentu yang masih dalam proses perbincangan sebelum sebarang pengumuman rasmi dapat dibuat.

Menurut Encik Trump, kedua-dua pihak masih berunding bagi menyelesaikan perkara penting termasuk isu keselamatan dan program nuklear Iran.

Beliau turut menegaskan sekatan laut Amerika terhadap kapal Iran di Selat Hormuz akan terus dilaksana sehingga perjanjian dimeterai dan disahkan secara rasmi.

“Kedua-dua pihak perlu mengambil masa dan memastikan semuanya dilakukan dengan betul,” ujarnya.

Selat Hormuz menjadi tumpuan utama rundingan kerana ia merupakan laluan bagi kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia.

Pegawai Amerika berkata, Iran bersetuju secara prinsip untuk membuka semula laluan strategik itu sebagai pertukaran kepada penamatan sekatan laut Washington.

Amerika juga percaya Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, telah memberi sokongan terhadap rangka asas perjanjian tersebut.

Namun sehingga kini, pemerintah Iran masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai kandungan rundingan berkenaan.

Agensi berita Iran, Tasnim, yang rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pula melaporkan Washington masih menghalang beberapa tuntutan utama Teheran termasuk pembebasan dana Iran yang dibekukan di luar negara.

Sumber Iran berkata rundingan masa depan mungkin mencari “formula yang boleh dilaksanakan” untuk menyelesaikan pertikaian mengenai bekalan uranium diperkaya tinggi Iran.

Antara cadangan yang dibincangkan ialah mencairkan bahan itu di bawah pengawasan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iran selama ini menafikan dakwaan Amerika dan Israel bahawa ia sedang membangunkan senjata nuklear.

Teheran menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan awam dan penjanaan tenaga, walaupun tahap pengayaan uranium negara itu jauh melebihi keperluan biasa bagi pengeluaran tenaga elektrik.

Pegawai Amerika turut mengakui isu peluru berpandu Iran serta pengaruh kumpulan proksi Teheran di rantau itu belum disentuh dalam perjanjian awal.

Menurutnya, isu berkenaan hanya akan dibincangkan dalam rundingan susulan yang dijangka berlangsung dalam tempoh 30 hingga 60 hari.

Perkembangan itu turut mencetuskan kritikan dalam politik domestik Amerika.

Beberapa pengkritik termasuk mantan Setiausaha Negara, Encik Mike Pompeo, mendakwa rangka perjanjian baru itu tidak banyak berbeza daripada perjanjian nuklear Iran 2015 yang dirunding ketika pentadbiran mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama.

Encik Trump menarik Amerika keluar daripada perjanjian itu ketika penggal pertamanya sebagai presiden.

Senator Parti Demokrat, Encik Chris Van Hollen, berkata perjanjian yang dicadangkan itu hanya kembali ke keadaan sebelum perang.

“Saya fikir ini satu kesilapan besar,” katanya kepada Fox News Sunday.

“Apabila anda sedang menggali lubang, anda sepatutnya berhenti menggali.”

Namun, Encik Trump bagaimanapun mempertahankan pendekatannya dan menyelar pengkritiknya.

“Jika saya membuat perjanjian dengan Iran, ia akan menjadi perjanjian yang baik dan wajar,” katanya.

“Jangan dengar golongan yang kalah dan mengkritik sesuatu yang mereka sendiri tidak faham.”

Tanda-tanda kemungkinan perang semakin reda mula memberi kesan kepada pasaran sejagat.

Harga minyak Brent jatuh lebih 4 peratus ke AS$98.83 ($126.21) setong, kali pertama berada di bawah AS$100 sejak awal Mei.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika turut turun lebih 4 peratus ke AS$92.03 setong.

Namun, pakar tenaga memberi amaran walaupun perang tamat segera, aliran perdagangan penuh melalui Selat Hormuz dijangka hanya pulih sekitar 2027.

Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi berkata krisis tenaga sejagat masih belum akan reda dalam masa terdekat.

Konflik yang bermula pada penghujung Februari selepas serangan Amerika dan Israel terhadap Iran telah mengorbankan ribuan nyawa di Iran serta menggugat kestabilan rantau Asia Barat.

Serangan Israel di Lebanon dalam usaha memburu kumpulan Hezbollah turut menyebabkan ribuan terbunuh dan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.