SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS longgar sekatan, kapal minyak Russia dibenar masuk ke Cuba

AS longgar sekatan, kapal minyak Russia dibenar masuk ke Cuba

Mar 30, 2026 | 2:49 PM

AS longgar sekatan, kapal minyak Russia dibenar masuk ke Cuba

Cuba, United States, Amerika Syarikat, minyak, oil, Russia, sekatan
Washington sebelum ini memberi amaran akan mengenakan tarif kepada negara lain yang menghantar minyak ke Cuba, dengan tindakan itu menyebabkan bekalan minyak ke negara tersebut terhenti selama hampir tiga bulan. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi isyarat perubahan dasar terhadap Cuba apabila menyatakan beliau tidak menghalang mana-mana negara menghantar bekalan minyak ke negara itu.

Ini ketika sebuah kapal tangki Russia menghampiri pelabuhan Cuba.

Kapal yang dikenakan sekatan itu dilaporkan membawa ratusan ribu tong minyak mentah dan dijangka tiba dalam masa terdekat, sekali gus menjadi talian hayat penting kepada ekonomi Cuba yang terjejas akibat kekurangan tenaga.

Sebelum ini, Washington menyekat eksport minyak Venezuela ke Cuba dan memberi amaran akan mengenakan tarif kepada negara lain yang menghantar minyak ke Havana.

Tindakan itu menyebabkan bekalan minyak ke Cuba terhenti selama hampir tiga bulan.

Presiden Cuba, Encik Miguel Diaz-Canel, berkata keadaan tersebut memburukkan krisis tenaga negara itu, dengan gangguan bekalan elektrik dan catuan bahan api semakin kerap.

Krisis itu turut memberi kesan kepada sektor kesihatan, apabila pegawai kesihatan Cuba memberi amaran kekurangan tenaga boleh meningkatkan risiko kepada pesakit, termasuk pesakit barah.

Bercakap kepada media, Encik Trump berkata beliau tidak mempunyai masalah jika mana-mana negara, termasuk Russia, mahu menghantar minyak ke Cuba.

“Jika ada negara mahu menghantar minyak ke Cuba sekarang, saya tiada masalah,” katanya.

Beliau menambah, keutamaan adalah memastikan rakyat Cuba mendapat bekalan asas seperti tenaga untuk kegunaan harian.

Langkah itu dilihat sebagai pendekatan lebih pragmatik Washington dalam menangani keadaan kemanusiaan, tanpa mengubah pendirian politiknya terhadap pemerintah Cuba.

Data pemantauan menunjukkan kapal tangki Russia, Anatoly Kolodkin, berlepas dari pelabuhan Primorsk membawa kira-kira 650,000 hingga 730,000 tong minyak mentah.

Media Cuba menyifatkan penghantaran itu sebagai cabaran langsung terhadap sekatan minyak Amerika, apatah lagi apabila kapal tersebut diiringi tentera laut Russia ketika melalui Selat Inggeris.

Penganalisis tenaga menyatakan penghantaran tersebut mampu menampung keperluan tenaga Cuba selama dua hingga empat minggu, bergantung kepada tahap penggunaan dan langkah catuan sedia ada.

Pada 17 Mac lalu, Encik Trump berikrar untuk “mengambil” Cuba ketika negara pulau itu berdepan gangguan bekalan elektrik susulan sekatan minyak yang dikenakan Washington.

Encik Trump mengeluarkan kenyataan itu ketika Cuba bergelap selepas berlaku gangguan bekalan elektrik secara menyeluruh yang berpunca daripada krisis tenaga di negara berkenaan.

Selepas hampir tujuh dekad menentang Amerika, pemerintah komunis di Havana kini berdepan tekanan hebat daripada pentadbiran Encik Trump yang mahu mengubah keadaan di negara itu.

Langkah Washington melonggarkan pendirian dilihat sebagai pendekatan pragmatik bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih serius, walaupun tekanan terhadap pemerintah Cuba masih berterusan.

Perkembangan itu menunjukkan perubahan taktikal dalam dasar Amerika, dengan keutamaan kini diberikan kepada keperluan asas rakyat di tengah ketidaktentuan geopolitik sejagat. – Agensi berita.

“Jika ada negara mahu menghantar minyak ke Cuba sekarang, saya tiada masalah.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg