SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Isyarat bercanggah AS, Iran dan Israel kaburkan prospek damai

Isyarat bercanggah AS, Iran dan Israel kaburkan prospek damai

Iran, Israel nafi kenyataan Trump yang rundingan damai sedang berlangsung
Mar 24, 2026 | 2:51 PM

Isyarat bercanggah AS, Iran dan Israel kaburkan prospek damai

rundingan damai
Petugas kecemasan menjalankan operasi di lokasi kejadian susulan serangan peluru berpandu Iran di kawasan tengah Israel, di Tel Aviv pada 24 Mac. Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa Washington telah mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai Iran yang tidak dinamakan, namun dakwaan itu dinafikan Teheran, sementara Israel menegaskan operasi ketenteraan terhadap Iran akan diteruskan sehingga keputusan jelas dicapai. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Kenyataan bercanggah daripada Amerika Syarikat, Iran dan Israel menimbulkan kekeliruan sama ada rundingan damai benar-benar sedang berlangsung, ketika perang di Timur Tengah terus berlarutan tanpa tanda berakhir dalam masa terdekat.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mendakwa Washington dan Teheran sedang mengadakan “perbincangan yang sangat kukuh” untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari lalu, malah menyatakan kedua-dua pihak telah mencapai “hampir semua perkara” persetujuan.

Beliau pada 23 Mac turut mengumumkan penangguhan ancaman untuk menyerang loji tenaga Iran sehingga Jumaat, 28 Mac bagi memberi ruang kepada rundingan.

“Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat kukuh. Kita lihat ke mana hala tuju ini. Saya rasa hampir semua perkara telah dipersetujui,” katanya kepada wartawan.

Namun, kenyataan itu segera disangkal Iran.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menafikan rundingan sedang berlangsung dan menuduh Encik Trump membuat kenyataan tidak benar bagi meredakan kebimbangan pasaran tenaga.

Dalam masa sama, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tidak mengesahkan kewujudan rundingan, namun berkata Encik Trump percaya pencapaian ketenteraan boleh dimanfaatkan untuk mencapai perjanjian.

“Kami akan teruskan operasi terhadap Iran dan Hezbollah,” katanya, menegaskan Israel tidak akan mengendurkan serangan.

Pegawai Iran turut menegaskan bahawa negara itu akan terus berperang, meskipun mengakui wujud pertukaran mesej melalui pihak perantara bagi meredakan ketegangan, khususnya untuk mengelakkan serangan terhadap infrastruktur tenaga.

Menurut sumber Iran, komunikasi tersebut hanyalah perbincangan awal untuk mengurangkan ketegangan, bukan rundingan damai sebenar.

Dalam usaha diplomatik, Encik Trump berkata rundingan diketuai oleh utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, dan menantunya, Encik Jared Kushner, dengan komunikasi didakwa berlaku secara langsung dengan seorang pemimpin Iran.

Namun, beberapa pegawai mengesahkan bahawa perbualan antara Encik Witkoff dengan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, hanyalah pada peringkat awal dan tidak boleh dianggap sebagai rundingan rasmi.

Amerika masih berpegang kepada tuntutan agar Iran menghentikan pengayaan uranium dan memusnahkan stok uranium yang berpotensi digunakan untuk senjata nuklear, syarat yang sebelum ini ditolak Teheran.

Di peringkat antarabangsa, beberapa negara termasuk Pakistan, Turkey dan Mesir cuba memainkan peranan sebagai perantara, dengan cadangan rundingan diadakan di Islamabad seawal minggu ini.

Seorang pegawai Eropah berkata walaupun tiada rundingan langsung berlaku, mesej sedang disampaikan melalui negara perantara termasuk negara Teluk.

Di sebalik retorik diplomasi, perang terus memuncak di pelbagai medan.

Tentera Amerika dan Israel melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Iran, manakala Israel meneruskan operasi ketenteraan di Lebanon.

Iran pula melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu ke arah Israel, menurut tentera Israel, tidak lama selepas Encik Trump menangguhkan ancaman serangan terhadap grid tenaga republik itu.

Serangan tersebut mencetuskan siren amaran di beberapa kawasan termasuk Tel Aviv, dengan bunyi letupan kedengaran hasil pemintasan sistem pertahanan udara.

Di utara Israel, beberapa rumah rosak akibat serpihan, namun tiada kematian dilaporkan.

Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyatakan serangan terhadap sasaran Amerika akan diteruskan dan menyifatkan kenyataan Encik Trump sebagai “operasi psikologi” yang tidak memberi kesan kepada pendirian Teheran.

Konflik yang berlarutan ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa, kebanyakannya di Iran dan Lebanon, sejak perang tercetus pada 28 Februari lalu.

Pada masa sama, Iran dilaporkan berbincang dengan Oman mengenai perkembangan Selat Hormuz, dan bersetuju untuk meneruskan perundingan lanjut.

Konflik ini turut memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Harga minyak dan gas melonjak mendadak sejak akhir Februari, dengan krisis ini disifatkan lebih teruk berbanding kejutan minyak pada 1973 dan 1979 oleh Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa.

Kenyataan Encik Trump mengenai rundingan sempat meredakan pasaran buat sementara waktu, namun ketidaktentuan kembali meningkat apabila mesej bercanggah terus muncul dari kedua-dua pihak.

Harga minyak Brent kembali meningkat kepada lebih AS$104 ($132) setong, manakala minyak mentah Amerika turut mencatat kenaikan melebihi AS$91 setong.

“Situasi asas masih sangat rapuh dan mudah mencetuskan ketegangan,” kata penganalisis pasaran IG, Encik Tony Sycamore.

Penutupan Selat Hormuz oleh Iran – laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair dunia terus menjadi kebimbangan utama, dengan kesannya terhadap pasaran global semakin ketara.

Walaupun Encik Trump memberi jaminan laluan itu akan dibuka semula “tidak lama lagi”, tiada kepastian mengenai mekanisme atau tempoh sebenar.

Dengan serangan yang berterusan dan rundingan yang masih kabur, prospek penyelesaian damai kekal tidak menentu, manakala risiko konflik lebih luas terus menghantui rantau Timur Tengah. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg